Tag: suri rumah

  • Buka ‘klinik gigi’ di bilik hotel, suri rumah mengaku tak salah

    Buka ‘klinik gigi’ di bilik hotel, suri rumah mengaku tak salah

    SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di sini, dua tahun lepas.

    Tertuduh Norazia Abdul Rahman, 41, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nazlyza Mohd Nazri.

    Wanita itu dituduh menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dengan menjalankan perkhidmatan pemasangan veneer yang merupakan suatu amalan pergigian di bilik sebuah hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini pada 20 Ogos 2021 pukul 5.55 petang.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(a) akta sama, yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM300,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.

    Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Nozaizeli Abu Samah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA 

  • Suri rumah, buruh didakwa bunuh suami

    Suri rumah, buruh didakwa bunuh suami

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya di rumah mereka di Taman Daya di Johor Bahru, kira-kira dua minggu lalu.

    Margaret Law, 36, bersama-sama rakan lelakinya, Fam Mee Fat, 53, tahun didakwa melakukan perbuatan itu sebelum kedua-duanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Lee Ming How, 44, di No 03-14, Blok 11, Jalan Nipah, Taman Daya, pada pukul 2 petang, 14 Julai lalu.

    Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad dan Nur Aqiilah Ahmad Rafaei manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 27 September ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan tiada sebarang jaminan dibenarkan.

    Pada prosiding yang sama, kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan atas tuduhan memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.

    Margaret didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badan setelah air kencingnya diuji di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 1.30 petang, 15 Julai lalu.

    Mee Fatt yang juga seorang buruh pula didakwa melakukan perkara sama memasukkan methamphetamine ke dalam badan di tempat sama, pada pukul 12.01 tengah malam, 16 Julai lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

    Kedua-duanya mengaku salah atas pertuduhan itu dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,700 atau enam bulan penjara ke atas setiap tertuduh.

    Mereka berdua turut diperintahkan menjalani pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

    Pada 15 Julai lalu, media melaporkan, Ming How, ditemukan maut dalam keadaan terbaring di kediaman keluarganya, selepas dipercayai dipukul isterinya.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, terdapat kesan ikatan di kaki, pukul serta tikaman di tubuh mangsa lelaki itu.

    Beliau turut memaklumkan polis menemui dadah jenis syabu dan peralatan penagihan di rumah mangsa.

    Margaret ditahan polis pada 15 Julai lalu manakala Mee Fatt ditahan kira-kira 10 malam, hari yang sama sebelum kedua-duanya ditahan reman.

  • Suri rumah didenda RM10,000 hina Agong, Institusi Raja, Menteri

    Suri rumah didenda RM10,000 hina Agong, Institusi Raja, Menteri

    SEORANG suri rumah didenda RM10,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana mengeluarkan kata-kata menghasut dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Institusi Raja dan menteri, dalam laman sosial Twitternya.

    Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Nur Faizah Wahid, 28, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

    Nur Faizah dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut serta denda RM8,000 atau penjara enam bulan atas pertuduhan membuat komunikasi jelik.

    Mengikut pertuduhan pertama, Nur Faizah didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Twitter miliknya ‘Eija Boo’ dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap YDPA, Institusi Raja dan menteri.

    Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini, pada 8.33 malam, 22 Mei lepas dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

    Wanita itu juga dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitternya. menggunakan nama profil  “Fazrin Ismail” pada masa dan tarikh sama.

    Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 8 malam, 10 Jun lepas.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum kerana menyesal dan insaf dengan tindakannya, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa menghina Institusi Raja adalah satu kesalahan.

    Sementara itu, di mahkamah sama, pengawal keselamatan, Sharil Mohd Sarif, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap YDPA dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil  “Sharil bin Mohd Sarif” pada 7.43 pagi, 20 April 2021.

    Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 8 malam, 10 Jun lepas serta didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman serupa.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept ini untuk sebutan semula kes.- BERNAMA