Tag: surau

  • Johor larang aktiviti politik, kempen di masjid, surau

    Johor larang aktiviti politik, kempen di masjid, surau

    KERAJAAN Johor melarang sebarang aktiviti politik dan kempen termasuk calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dalam masjid dan surau.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, larangan itu bagaimanapun tidak membabitkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi atau pihak yang mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

    “Individu atau ahli politik bukan beragama Islam pula hendaklah mewakilkan kepada pegawai khas yang beragama Islam dalam program pengimarahan dengan syarat mematuhi garis panduan ditetapkan.

    “Antara syarat itu termasuklah mereka tidak dibenarkan sama sekali menyampaikan ucapan, menyempurnakan acara perasmian atau pelancaran, berceramah, memberi tazkirah, menjadi imam, serta memakai pakaian berlogo politik.

    “Sebaliknya, apa-apa acara membabitkan agihan bantuan atau sumbangan boleh dilaksana di luar kawasan masjid dan surau atau di tempat perhimpunan awam seperti dewan serbaguna, dataran, padang dan sebagainya.

    “Sekiranya acara tersebut perlu dilaksana di kawasan masjid dan surau, maka pembabitan adalah terhad kepada individu beragama islam dan mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan di Johor Bahru, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, apa-apa bentuk kerja pembinaan atau kerja baik pulih masjid dan surau oleh pihak berkenaan dibenarkan dengan syarat tidak meletakkan nama parti politik dalam projek.

    Malah katanya, menggantung bendera, logo, sepanduk parti dan apa-apa simbol yang mengandungi politik kepartian atau membina fizikal bangunan yang cenderung kepada maksud sesebuah parti politik juga tidak dibenarkan.

    Penganjur dan individu yang gagal mematuhi larangan itu boleh dikenakan tindakan berdasarkan Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

  • Terengganu larang ahli politik beri kuliah di masjid, surau

    Terengganu larang ahli politik beri kuliah di masjid, surau

    TERENGGANU melarang ahli politik memberikan kuliah, ceramah agama dan khutbah Jumaat di seluruh masjid serta surau negeri itu.

    Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan dibuat supaya semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.

    “Semua ahli yang berhormat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid.

    “Semua kepimpinan dan aktivis parti politik tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam Terengganu,” katanya dalam kenyataan.

    Bagaimanapun, beliau berkata pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran Maidam.

    Shaikh Harun berkata, arahan larangan itu dikeluarkan susulan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

    Jelas beliau, masjid adalah institusi agama sangat penting dan mulia bagi umat Islam selain menjadi simbol perpaduan umatnya, justeru ia perlu dimakmurkan sebaik mungkin.

    Menurutnya, masjid dan surau tidak boleh sama sekali digunakan untuk kegiatan menimbulkan keresahan atau perselisihan dalam kalangan masyarakat.

    Ini termasuk katanya, menggunakan masjid atau surau bagi melaksanakan apa-apa aktiviti yang pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.

    “Sultan Mizan turut menyeru semua pihak menghormati dan mematuhi segala peraturan dan arahan dikeluarkan Maidam dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT),” katanya, lapor FMT.

    Sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengeluarkan arahan masjid dan surau di negeri itu melarang ahli politik menyampaikan ceramah atau kuliah.

    Larangan itu dibuat bagi memelihara kesucian tempat ibadat Islam daripada dicemari politik kepartian.

    Susulan larangan itu, MAIS menarik balik tauliah yang pernah diberikan kepada beberapa ahli politik.

  • Remaja curi tabung surau diperintah dihantar ke Sekolah Henry Gurney

    Remaja curi tabung surau diperintah dihantar ke Sekolah Henry Gurney

    SEORANG remaja lelaki yang sebelum ini tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti jenazah akibat cuba mencuri tabung masjid, diperintah dihantar ke Sekolah Henry Gurney oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas dia mengaku salah mencuri wang tabung surau, tahun lepas.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni membuat keputusan itu semalam selepas meneliti laporan sosial dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap Daniel Iskandar, 20, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    “Tertuduh merupakan pesalah muda. Oleh itu, memerintahkan tertuduh dihantar ke Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai umur 21 tahun,” katanya. 

    Mahkamah turut memerintahkan remaja itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka bermula semalam.

    Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa mencuri wang RM74 daripada tabung milik surau Al Munir Batu 17 Kuang, Rawang pada 12.44 tengah hari 5 Dis 2022, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

    Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, tertuduh hendaklah dihukum penjara dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak melakukan kesalahan sama.

    Peguam Suhaida Mohd Sobri daripada Jabatan Bantuan Guaman, Negeri Selangor yang mewakili Daniel memohon hukuman ringan dengan mengambil kira laporan sosial yang dibacakan oleh wakil JKM selain anak guamnya merupakan pesalah muda serta telah insaf.

    “Sebelum ditangkap, tertuduh bekerja di bengkel kereta dan dijaga oleh datuknya. Ibu bapa anak guam saya telah bercerai dan dia anak sulung daripada tiga beradik yang seorang daripadanya ialah Orang Kurang Upaya (OKU),” kata peguam itu.

    Dalam pada itu, pegawai JKM Mohamad Hanafi Sedi memohon supaya Daniel diperintahkan ditahan di sekolah itu sehingga mencapai 21 tahun.

    Pada 13 Jan tahun lepas, Daniel dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Jan tahun lepas, mengetepikan hukuman penjara dan denda itu terhadap Daniel, menggantikannya dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu dilaksana dalam tempoh enam bulan, ditumpukan dengan khidmat di masjid-masjid. – BERNAMA

  • Johor larang kegiatan politik di masjid dan surau

    Johor larang kegiatan politik di masjid dan surau

    TOKOH dan pemimpin daripada mana-mana parti politik tidak dibenarkan mengadakan sebarang kegiatan politik di dalam masjid dan surau di seluruh negeri Johor berkuat kuasa serta-merta.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, ketetapan itu diambil oleh Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

    Beliau berkata, setiap kadi daerah dipertanggungjawabkan untuk memastikan tiada sebarang kegiatan politik termasuk majlis ceramah mahupun memberikan ucapan di masjid dan surau di kawasan mereka.

    “Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JAINJ mengambil ketetapan tidak dibenarkan mana-mana tokoh dan pemimpin politik walaupun daripada parti kerajaan yang memerintah, menggunakan masjid serta surau untuk sebarang kegiatan politik,” katanya pada sidang media di Kulai, hari ini.

    Tosrin berkata, sekiranya perkara seumpama itu berlaku, ia akan dirujuk kepada Bahagian Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi memutuskan tindakan lanjut.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala tarikh penamaan calon pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA