Tag: surat RoS

  • Pengecualian bukti usul tiada pertandingan UMNO langgar akta, kata KJ

    Pengecualian bukti usul tiada pertandingan UMNO langgar akta, kata KJ

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan mengecualikan parti itu daripada mematuhi satu peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966 membuktikan usul tiada pertandingan melanggar undang-undang.

    “Jika tidak, tiada keperluan untuk pengecualian,” katanya dalam video TikTok, lapor Free Malaysia Today.

    Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengesahkan UMNO diberikan pengecualian di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan bagi pemilihan parti akan datang.

    Katanya, pengecualian itu diberikan mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan.

    Di bawah Seksyen 70, menteri diberi kuasa menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau sebarang peruntukan Akta Pertubuhan.

    Merujuk perlembagaan UMNO dan peraturan mesyuarat, Saifuddin berkata, kementeriannya memutuskan untuk mengecualikan UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan berhubung usul tambahan yang diluluskan.

    Seksyen 13(1)(c)(iv) memperuntukkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) boleh membatalkan pendaftaran sebuah pertubuhan, jika ia melanggar mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

    Khairy berkata, kenyataan Saifuddin tidak mengenal pasti pelanggaran itu.

    Bulan lalu, JPPM dilaporkan menyiasat kemungkinan pelanggaran perlembagaan parti selepas usul itu diluluskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Januari lalu.

    Siasatan itu menyusul dua ahli UMNO membuat aduan kepada JPPM mendakwa pembentangan usul itu di perhimpunan agung melanggar Artikel 10 perlembagaan parti.

    Mereka bertegas usul itu perlu dibentangkan dua minggu sebelum PAU atau tujuh hari jika dibentangkan Majlis Kerja Tertinggi.

    Khairy, yang pernah membantah usul itu, mendakwa perwakilan “diimport” untuk membantu “memusnahkan” usul itu dalam PAU. Dakwaan itu kemudiannya dinafikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

  • Surat RoS usul tambahan UMNO tidak sah, PN tuntut penjelasan Saifuddin

    Surat RoS usul tambahan UMNO tidak sah, PN tuntut penjelasan Saifuddin

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail digesa membuat penjelasan berhubung kewujudan satu surat yang didakwa dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung pemilihan UMNO.

    Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mendakwa, surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO itu, antara lain menyatakan bahawa usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, sebagai tidak sah.

    Mengikut surat bertarikh 2 Mac lalu, Ketua Whip Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa ROS berpandangan usul tambahan berkenaan tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

    Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas, menegaskan jika surat itu tulen, ia bertentangan dengan kenyataan media Saifuddin Nasution hari ini, yang memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

    “Ini adalah satu isu kepentingan awam. Jika inilah amalan yang dilakukan, adakah pertubuhan lain boleh mencontohi atau perkara ini menjadi duluan kepada perkara seperti ini (pada masa depan).

    “Adakah ini satu duluan yang mengikat semua pertubuhan, termasuk pertubuhan sebelah sana (parti kerajaan) dan sebelah sini (parti pembangkang). Ini adalah perkara cukup penting untuk dijelaskan oleh kerajaan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Berita Harian.

    Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

    Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

    Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

    Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO yang dikatakan dipetik dalam surat RoS yang dibacakan Takiyuddin, memperuntukkan semua jawatan tertinggi UMNO, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, perlu dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun.

    Sabtu lalu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pihaknya sudah menerima surat daripada KDN, yang mengesahkan bahawa RoS menerima usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti.

    Menurut Zahid, UMNO menerima surat dua halaman itu bertarikh 3 Mac lalu.

    Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Zahid untuk mendedahkan surat berkenaan.

    Susulan itu, Ahmad Zahid memaklumkan pihaknya akan mendedahkan surat RoS berkenaan bagi menoktahkan polemik berkaitan usul tambahan PAU 2022 yang menghalang pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO.

    Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO memfailkan notis bantahan kepada RoS berhubung ketetapan PAU 2022 untuk tidak mempertandingkan dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

  • ‘Kalau betul tolak, tunjuk surat RoS’, kata Ismail Sabri

    ‘Kalau betul tolak, tunjuk surat RoS’, kata Ismail Sabri

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta menunjukkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang didakwa menerima resolusi parti supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

    Memetik laporan Berita Harian, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengulas perkara itu berkata, ia berikutan polemik status usul tambahan yang diluluskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 membabitkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan.

    “Minta dia (Ahmad Zahid) tunjuk surat RoS itu, elok juga kalau boleh tunjukkan (surat) sebab ada dua laporan media berbeza.

    “Satu kata RoS tolak tapi tak sampai satu hari kata dah luluskan pula. Semua orang keliru.

    “Saya pun baca laporan media juga,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Malam tadi, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO sudah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan RoS menerima resolusi parti itu iaitu tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

    Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, RoS meluluskan usul PAU 2022 supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

    Katanya, perkembangan terbaru itu diterima menerusi surat daripada KDN semalam.

    Bagaimanapun, sebuah portal berita melaporkan RoS yang selesai menjalankan siasatan berhubung aduan diterima daripada dua ahli UMNO, memutuskan usul tambahan terbabit tidak sah.

    Portal berita terbabit bagaimanapun tidak memetik mana-mana individu atau sumber.

    Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.

    Aduan itu dikemukakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap ROS dapat menentukan sekiranya wujud pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.

    Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

    Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri turut menggesa RoS membuat keputusan segera bagi menentukan sama ada keputusan PAU itu sah atau tidak sebelum pemilihan parti pada 18 Mac ini.

    Ia bagi memberi laluan kepada ramai calon lain bertanding merebut dua jawatan tertinggi UMNO termasuk mereka yang sudah mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden jika tindakan UMNO itu menyalahi perlembagaannya.