Tag: suram

  • Bufet Ramadan di restoran, hotel tahun ini ‘suram’, kata pengusaha

    Bufet Ramadan di restoran, hotel tahun ini ‘suram’, kata pengusaha

    MESKIPUN sudah masuk minggu kedua berpuasa, ramai pengusaha restoran dan hotel mendakwa pakej bufet Ramadan tahun ini semakin suram dengan ramai pengusaha restoran dan hotel masih belum mendapat tempahan penuh.

    Menurut seorang pemilik restoran dan ketering di Putrajaya, Karim Shah menyifatkan keadaan tersebut sangat berbeza dengan tahun lepas apabila sambutan pelanggan yang “luar biasa” menyaksikan tempahan penuh sepanjang Ramadan dibuat seminggu sebelum bermula.

    Bagaimanapun situasi berbeza tahun ini apabila tempahan awal yang diuar-uarkan bermula awal Mac lalu dengan tawaran harga yang rendah masih tidak mampu memenuhkan slot tempahan hariannya.

    “Restoran kita bokeh muatkan sehingga 120 orang sekali gus.

    “Tetapi sampai Ramadan ke-12, kita tengok hanya ada tiga meja sahaja ditempah,” katanya menurut laporan MalaysiaNow.

    Mengulas lanjut Karim berkata, kadangkala satu meja ditempah hanya memuaskan dua pelanggan sahaja.

    Selain merugikan perniagaan, Karim yang berasal dari Pakistan itu berkata dia tidak sanggup melihat makanan yang disediakan setiap hari dibazirkan begitu sahaja.

    Pada hari biasa, dia menjalankan perniagaan masakan dari tanah Arab dan negara asalnya.

    Bagaimanapun, pada bulan puasa dia sudah mengupah tukang masak khas yang akan menyediakan makanan tradisional orang Melayu dan Barat bagi hidangan 120 orang.

    “Dengan kurang 10 orang sehari, bagaimana kita nak teruskan perniagaan? Membazir dan rugi.” 

    Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Malaysia Christina Toh turut mengakui trend yang sama berlaku pada bufet Ramadan di hotel-hotel seluruh negara. 

    Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata dari maklum balas ahli-ahli persatuan, terdapat kelemahan dan faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut.

    Toh berkata, kemungkinan besar disebabkan masyarakat baru sahaja selepas tempoh panjang cuti sekolah dan mereka sudah berbelanja untuk bercuti dalam tempoh berkenaan. 

    Ditambah pula dengan musim perayaan Aidilfitri yang semakin hampir, mereka mengandaikan pelanggan sudah mula berjimat dan tidak mahu mengeluarkan duit membayar hidangan bufet Ramadan di hotel. 

    “Kita ingat masa tempahan awal itu ada orang beli tapi masa sampai bulan puasa, bila tengok bisnes pula kebanyakan hotel kurang dari tahun lepas,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Menurutnya lagi, ketika tempahan awal dibuka ramai pengusaha restoran hotel mendapat sambutan yang baik.

    Bagaimanapun, ianya tidak mampu bertahan lama.

    “Mungkin juga disebabkan tahun ini kos barang meningkat jadi harga jualan menjadi tinggi sedikit dari 10% hingga 25%.”

    Atas sebab itu, Toh dan ahli-ahli persatuannya percaya pelanggan menjadi terbeban dengan harga bufet yang baru pada tahun ini.

    Dalam pada itu, Azmi Abdullah seorang pemilik dewan untuk majlis perkahwinan di Skudai, Johor mengesahkan tentang kenaikan harga bufet Ramadan. 

    Dia dan isteri sudah tujuh tahun menjalankan perniagaan bufet Ramadan kerana dewannya tidak mendapat sebarang tempahan sepanjang bulan tersebut.

    Sejak pertama kali membuka bufet Ramadan, dia tidak pernah menaikkan harga tempahan iaitu sebanyak RM58 untuk satu orang dewasa dan hanya RM15 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun. 

    Bagaimanapun, tahun ini, dia terpaksa menaikkan harga kepada RM78 satu kepala dan RM30 bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun memandangkan peruntukan modal untuk menyediakan makanan sudah jauh meningkat berbanding tahun lalu.

    Paling terkesan, harga barangan mentah seperti ayam, daging dan sayur-sayuran khususnya cili, tomato dan bawang.

    “Jika kita kurangkan bilangan menu, pelanggan akan rasa lebih kecewa kerana tak banyak pilihan.

    “Kalau kekalkan menu-menu yang digemari pelanggan, kita terpaksa naikkan harga.

    “Tapi nampaknya pelanggan tak suka, mereka tak datang. Kita memang tak boleh buat apa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

    Dia mendapati tempahan untuk slot berbuka hanya mendapat sambutan sehingga hari keempat berpuasa, manakala hari-hari seterusnya tidak sampai separuh kapasiti dewan yang disediakan itu kira-kira untuk 200 pelanggan.

    Sedih dengan situasi itu, Azmi menyifatkan dia sudah mempunyai puluhan pelanggan tetap yang datang ke bufet Ramadan miliknya untuk menikmati juadah berbuka sejak beberapa tahun lalu. 

    “Ada yang datang hari Isnin, hari Jumaat dia datang lagi dengan keluarga.

    “Sampai sebulan berpuasa tu, dekat lima atau enam kali mereka saja yang datang.

    “Tapi tahun ini, sekali pun saya belum nampak lagi.” 

  • Cuaca ‘luar biasa’, Pulau peranginan Terengganu suram

    Cuaca ‘luar biasa’, Pulau peranginan Terengganu suram

    guane

    TIDAK seperti kebiasaannya setiap kali tiba musim cuti persekolahan industri pelancongan Terengganu sangat meriah dengan kehadiran orang ramai untuk bercuti ke negeri ‘penyu’ ini.

    Bukan itu sahaja, setiap awal tahun mulai bulan Mac, pulau-pulau peranginan di negeri ini seperti Redang, Perhentian, Kapas dan Tenggol sentiasa penuh sesak dengan kedatangan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.

    Perkembangan ini menyebabkan jalan-jalan utama di negeri ini mengalami kesesakan teruk sehingga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa menutup beberapa lampu isyarat di persimpangan laluan terbabit.

    Begitulah betapa hebatnya indutri pelancongan negeri ini yang tidak pernah sepi dengan kedatangan pelancong sejak dahulu lagi.

    Tarikan utama ialah keindahan pantai dan pulau-pulau peranginan yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti snorkeling, diving sambil melihat terumbu karang selain aktiviti memancing dan mencandat sotong.

    Bagaimanapun, sehingga hari ini, keadaan pulau-pulau di negeri ini masih lagi suram dan sepi tanpa kehadiran jumlah pelancong yang ramai.

    Jalan-jalan utama tidak begitu sesak kerana tidak ramai masyarakat dari luar Terengganu yang datang bercuti sempena musim cuti persekolahan pada kali ini.

    Kalau ada pun, anak Terengganu di luar negeri ini pulang untuk meraikan majlis kenduri perkahwinan keluarga atau kawan-kawan.

    Antara faktor utama ialah kedaaan cuaca pada kali ini dilihat agak ‘luar biasa’ berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    Keadaan angin begitu kencang, ombak pula besar dan ‘menggila’.

    Malah beberapa negeri di negara ini seperti Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan tanpa disangka-sangka turut dilanda banjir.

    Berdasarkan pengalaman penulis, sebaik monsun Timur Laut (MTL) berakhir pada bulan Mac iaitu selepas masyarakat Cina menyambut Chap Goh Meh, maka bermulalah aktiviti di laut dan pantai di negeri ini.

    Ia termasuklah acara Pekan Budaya, Swimathon Kapas-Marang, Tenggiri Challenge dan Pesta Candat Sotong yang merupakan acara dalam kalendar pelancongan negeri.

    Sebelum ini kerajaan Terengganu mengumumkan bahawa pulau-pulau peranginan di Terengganu yang ditutup secara tidak rasmi sejak November tahun lalu akibat musim tengkujuh bakal dibuka semula pada 1 Mac lalu.

    Ariffin Deraman

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman pernah memberitahu, para pemain industri pelancongan di semua pulau terbabit sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong.

    Beliau percaya perkara itu tidak menjadi masalah memandangkan sudah terdapat penginapan di pulau-pulau terbabit di buka dan menerima pelancong.

    Bagaimanapun, jangkaan dan harapan Ariffin meleset apabila kebanyakan pulau yang menjadi tumpuan pelancong masih ditutup ekoran cuaca yang ‘luar biasa’ ini.

    Kecuali Pulau Kapas yang perjalanannya dari Jeti Marang hanya mengambil masa 15 minit sahaja telah dibuka, tetapi jumlah pengunjungnya tidak begitu ramai.

    Biasanya, pada musim cuti umum, cuti persekolahan dan cuti hujung minggu semua bilik penginapan di pulau tersebut sentiasa penuh di tempah termasuk melibatkan aktiviti berkemah.

    Sewaktu penulis meninjau ke lokasi jeti pelancongan ke Pulau Kapas pagi ini, suasananya kelihatan agak lengang dan suram berbanding tahun lalu.

    Kebanyakan kaunter penjualan tiket sepi, begitu tempat duduk menunggu di Terminal jeti yang kelihatan kosong.

    Hanya terdapat beberapa buah bot sahaja kelihatan berulang alik membawa pelancong.

    Zakaria Sulong

    Seorang pengusaha bot pelancong Suria Link, Zakaria Sulong berkata, walaupun pulau Kapas tidak pernah ditutup secara rasmi dan sentiasa ada pelancong ke sana termasuk pada bulan Disember, namun pada tahun ini suasananya agak berbeza.

    Katanya, ia disebabkan cuaca agak ‘luar biasa’ di mana angin masih kencang dan ombak pula besar menyebabkan ramai yang takut untuk ke pulau.

    Katanya, Pulau Kapas bernasib baik kerana masih ada lagi pelancong walaupun tidak ramai kerana kedudukannnya yang dekat dengan daratan iaitu perjalanan sekitar 15 minit sahaja.

    “Tetapi, kalau Pulau Redang dan Perhentian yang terpaksa mengambil masa perjalanan lebih satu jam dalam kedaan angin kencang dan ombak besar ini sudah tentu ia merbahayakan keselamatan pelancong,”beritahunya.

    Justeru, penulis berharap dan mendoakan agar kedaan cuaca akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

    Ini keadaan, selain pelancong kebanyakan nelayan di negeri ini juga masih ‘berkurung’ di daratan kerana tidak dapat keluar ke laut mencari rezeki.

    Manakala aktiviti dalam kalendar pelancongan kerajaan negeri termasuk yang terdekat pada Sabtu depan iaitu Swimathon Kapas-Marang dapat diteruskan tanpa sebarang halangan.