Tag: suntikan vaksin

  • Pelajar tahfiz, sekolah agama ambil vaksin di Pulau Pinang masih rendah

    Pelajar tahfiz, sekolah agama ambil vaksin di Pulau Pinang masih rendah

    HANYA 1,534 orang atau 27.1 peratus daripada keseluruhan 5,654 pelajar sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok pengajian di Pulau Pinang menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin Covid-19 setakat ini.

    Jumlah yang sangat rendah itu menimbulkan kebimbangan apatah lagi tarikh akhir bagi kesemua 10 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara hadir terus (walk-in) di Pulau Pinang hanya akan dibuka ialah sehingga 31 Oktober ini.

    Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin menggesa ibu bapa atau waris kepada kira-kira 4,120 (72.9 peratus) pelajar berkenaan segera membawa mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin.

    Katanya, langkah segera perlu diambil memandangkan sesi persekolahan secara bersemuka juga akan mula dibuka tidak lama lagi.

    “Jika pelajar-pelajar ini tidak mendapatkan vaksin di 10 PPV yang masih beroperasi ketika ini, kita bimbang mereka perlu mendapatkan di klinik swasta pada masa depan yang kemungkinan dikenakan caj bagi perkhidmatan di situ berbanding percuma di PPV,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Norlela berkata, seramai 85.9 peratus atau 121,489 daripada 141,500 remaja di Pulau Pinang telah menerima vaksin dos pertama dan mereka juga mula menerima dos kedua sejak semalam.

    “Daripada jumlah itu, seramai 126,452 orang adalah pelajar dari 400 buah sekolah yang berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan seramai 112,126 atau 89.3 peratus telah menerima suntikan dos pertama,” katanya.

    Sementara itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan dapat mempertimbangkan untuk memberikan suntikan penggalak kepada 40,000 petugas barisan hadapan dan 482,000 warga emas dan pesakit komordid di Pulau Pinang dengan segera.

  • 20 juta vaksin diberikan menerusi PICK-Adham Baba

    20 juta vaksin diberikan menerusi PICK-Adham Baba

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah memberikan 20,014,549 dos vaksin COVID-19 sejak 24 Februari lalu hingga semalam.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menerusi perkongsian infografik dalam Twitter miliknya berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 13,500,479 adalah suntikan vaksin dos pertama manakala 6,514,070 lagi adalah dos kedua.

    “Mengikut peratusan, 41.3 peratus daripada populasi negara sudah mendapat dos pertama, manakala 19.9 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 mereka,” katanya menerusi hantaran itu.

    Bagi vaksinasi harian pula, Dr Adham berkata, sebanyak 512,097 dos diberikan semalam, dengan 315,737 adalah pemberian dos pertama, manakala 196,360 lagi dos kedua.