Tag: Sultanah Nur Zahirah

  • Tiada arahan daripada Sultanah Nur Zahirah lantik Jho Low dalam TIA

    Tiada arahan daripada Sultanah Nur Zahirah lantik Jho Low dalam TIA

    BEKAS Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang arahan atau titah daripada Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah supaya melantik ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam urusan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

    Ahmad, 67, yang memegang jawatan itu sejak 2008 hingga 2014, menegaskan bahawa beliau juga tidak pernah menerima sebarang pandangan atau nasihat berhubung TIA daripada Sultanah Nur Zahirah.

    Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguam Datuk Haziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah, pada perbicaraan kes saman terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi berkenaan dakwaan Rewcastle-Brown dalam buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose menggambarkan baginda sebagai seorang yang berpengaruh serta mempunyai kuasa untuk mempengaruhi Kerajaan Negeri Terengganu.

    “Selaku ketua eksekutif kanan negeri itu, yang telah menubuhkan TIA, saya tidak pernah sekali pun melihat Sultanah Nur Zahirah terlibat dengan TIA. Saya, mahupun kerajaan negeri atau barisan Exco tidak pernah melantik Jho Low sebagai penasihat mahupun ahli lembaga pengarah atau apa-apa jawatan dalam TIA.

    “Tidak pernah sekalipun saya bertemu atau bersua dengan Sultanah Terengganu ketika TIA ditubuhkan, sebab itu saya menafikan sekeras-kerasnya. Saya tidak pernah menerima arahan, titah atau sebagainya yang mengatakan (kerajaan negeri) perlu melantik Jho Low atau sesiapa sahaja,” katanya ketika memberi keterangan secara dalam talian.

    Dalam pernyataan saksinya, Ahmad yang juga saksi plaintif ketiga dan terakhir, menegaskan bahawa dakwaan Sultanah Nur Zahirah menggunakan kedudukan serta peranan baginda untuk mempengaruhi penubuhan TIA adalah palsu dan tidak berasas sama sekali kerana baginda tidak pernah mempunyai peranan, apatah lagi mempengaruhi atau melibatkan diri dalam penubuhan TIA yang sememangnya ditubuhkan oleh kerajaan negeri semasa beliau memegang jawatan Menteri Besar.

    “Sebagai Sultanah iaitu isteri kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Terengganu pada kebiasaannya baginda, hanya mengiringi DYMM Tuanku Sultan dalam sebarang majlis-majlis rasmi, di mana DYMM Tuanku Sultan telah perkenan mencemar duli untuk hadir, selain sebarang majlis-majlis lain yang DYMM Tuanku Sultanah telah perkenan mencemar duli untuk hadir atas kapasiti baginda sendiri selaku Sultanah Terengganu, terutamanya dalam majlis-majlis rasmi di Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin, di mana DYMM Tuanku Sultanah adalah Tuanku Canselor bagi kedua-dua universiti tersebut,” kata Ahmad.

    Sultanah Nur Zahirah, yang memfailkan saman itu pada 21 Nov 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan TIA, yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu Jho Low, yang kini dalam buruan, menjadi penasihat TIA.

    Baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan serta memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu dan supaya pencetak berhenti mencetak buku tersebut.

    Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee bersambung.- BERNAMA

  • Rewcastle-Brown gagal tangguh bicara kes saman Sultanah Terengganu

    Rewcastle-Brown gagal tangguh bicara kes saman Sultanah Terengganu

    EDITOR Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan perbicaraan kes saman yang difailkan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dalam buku, The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.

    Peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Sultanah Nur Zahirah berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee menolak permohonan Rewcastle-Brown dengan kos RM5,000.

    “Mahkamah menetapkan 4 April untuk pengurusan kes seterusnya menetapkan tarikh perbicaraan,” kata peguam itu ketika dihubungi pemberita selepas prosiding hari ini yang diadakan secara dalam talian.

    Sementara itu, peguam Mervyn Lai yang mewakili Rewcastle-Brown, berkata mahkamah menolak permohonan anak guamnya selepas mendapati permohonan itu akan melucutkan hak plaintif (Sultanah Nur Zahirah) daripada mendengar dan memutuskan kesnya.

    Menurut peguam itu, mahkamah juga memutuskan bahawa tiada keadaan khusus yang mewajarkan penangguhan dan isu utama adalah perkara jenayah masih di peringkat permulaan dan tidak diketahui berapa lama ia akan mengambil masa.

    Berdasarkan notis permohonan yang difailkan menerusi Tetuan Tommy Thomas pada 13 Dis 2021, Rewcastle-Brown memohon perintah supaya prosiding kes saman itu ditangguhkan, sementara menunggu penyelesaian kes jenayah yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

    Wanita itu memfailkan permohonan tersebut atas alasan terdapat persamaan membabitkan isu dan fakta berhubung kedua-dua kes kerana ia berkaitan dengan penerbitan buku “The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose”.

    Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 Nov 2018, menamakan Rewcastle-Brown; penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin; dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd; selaku defendan pertama hingga ketiga.

    Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

    Baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan juga memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu dan supaya pencetak berhenti mencetak buku tersebut.

    Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

    Rewcastle Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam pentadbiran kerajaan berkaitan urusan 1MDB. – BERNAMA