Tag: Sultan Johor

  • Sultan Johor nafi keluar kenyataan palsu

    Sultan Johor nafi keluar kenyataan palsu

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti mana yang disebarkan dalam gambar yang tular dalam media sosial.

    Kenyataan dalam gambar tersebut adalah palsu dan disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

    Baginda bertitah bahawa segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan baginda atau keluarga diraja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office (Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga DiRaja Johor) dalam laman sosial rasmi.

    “Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan atau berita palsu yang disebarkan di dalam media sosial,” titah baginda, hari ini.

  • Guru Harus Jadi Contoh Kepada Murid Ambil Suntikan Vaksin – Sultan Johor

    Guru Harus Jadi Contoh Kepada Murid Ambil Suntikan Vaksin – Sultan Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.

    Baginda bertitah, kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga, serta masyarakat.

    “Guru-guru patut jadi contoh dan melindungi anak murid, bukannya membahayakan mereka, apatah lagi sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi. Saya dan keluarga juga sudah lengkap mengambil dua dos vaksin.


    Jangan mudah terpengaruh dengan golongan anti vaksin sebagaimana saya tegaskan sebelum ini. Percayalah pakar perubatan kita yang bertauliah. Mereka yang menolak vaksin tanpa sebab yang sahih seolah-olah merelakan diri dijangkiti,” titah Sultan Johor pada hari ini.

    Baginda bertitah demikian sebagai mengulas laporan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

    “Saya berharap agar semua rakyat Johor dapat suntikan vaksin dengan segera, supaya boleh kembali bekerja, berniaga dan menjalani kehidupan seperti biasa,” titah Tuanku.

    Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, semalam berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.

  • Sultan Johor terima menghadap TPM

    Sultan Johor terima menghadap TPM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri

    Ismail Sabri Yaakob di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.

    Ismail Sabri tiba pada jam 10.45 pagi dan pertemuan bersama baginda berlangsung selama lebih sejam.

    Foto pertemuan tersebut turut dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda, hari ini.

  • Sidang DUN bukan tempat berebut kuasa -Sultan Johor

    Sidang DUN bukan tempat berebut kuasa -Sultan Johor

    Oleh Rahimi Mohamad

    SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor agar tidak membawa sebarang usul yang tidak berkenaan sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini yang bermula hari ini.

    Titah Sultan Johor, ini bukan masa untuk berbalah tetapi waktu terbaik untuk bersatu dan bekerjasama serta tidak mempersoalkan apa yang dilakukan pihak lain untuk membantu rakyat, sebaliknya mencerminkan muka sendiri bagi melihat apa yang telah dilaksanakan.

    “Saya ingatkan bahawa dewan negeri ini adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor.

    “Jangan cemarkan dewan saya ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan yang mulia, bukan dewan sangkar beruk, ingat pesanan saya Tuan Speaker. Jalankan kerja baik-baik.

    “Tidak perlu berbahas atau membawa usul tidak berkenaan, awak semua mesti pentingkan rakyat di luar sana yang tengah susah, ada yang kelaparan, hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak Covid-19,” titah baginda.

    Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

    Sultan Ibrahim juga sekali lagi bertitah untuk tidak akan teragak-agak membubarkan DUN kali ini sekiranya terdapat usaha mana-mana pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.

    Baginda juga memberi peringatan bahawa tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sehingga mengganggu-gugat Johor dan kerajaan negeri.

    “Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukan kepentingan rakyat.

    “Apabila wabak Covid-19 sudah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih ahli dewan yang baharu.

    “Selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah baginda.

    Justeru, Sultan Ibrahim mahu DUN Johor menjadi pentas untuk wakil-wakil rakyat berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan Johor.

  • Sultan Johor kecewa pemimpin berebut kuasa tatkala rakyat dalam keadaan susah

    Sultan Johor kecewa pemimpin berebut kuasa tatkala rakyat dalam keadaan susah

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan perasaan kecewa baginda apabila berlaku perebutan kuasa tatkala rakyat negara ini dalam keadaan susah dan gelisah akibat penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

    Baginda bertitah, semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah.

    Titah baginda, bukannya kepentingan diri sendiri perlu diutamakan sehingga mengugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanahair.

    “Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang menggangu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

    “Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah hari ini, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin Bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah SWT dan Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki,” titah Sultan Ibrahim.

    Sultan Ibrahim bertitah, sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat yang susah dan gelisah akibat pandemik Covid-19.

    Titah baginda, ini bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan.

    “Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” titah Sultan Ibrahim lagi.

  • Sultan Johor titah sektor swasta bantu tangani Covid-19

    Sultan Johor titah sektor swasta bantu tangani Covid-19

    Oleh:Bernama

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah menyarankan agar sektor swasta turut bersama-sama menyumbang bantuan dalam usaha menangani pandemik COVID-19 di negeri ini.

    Baginda bertitah sumbangan wang tunai daripada sektor swasta penting untuk memastikan sistem kesihatan hospital-hospital di Johor terus dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan untuk terus merawat pesakit COVID-19.

    “Kita perlu menangani COVID-19 secara bersama dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan, saya berharap sektor swasta turut tampil dalam menghulurkan bantuan kewangan supaya peralatan-peralatan perubatan dapat disampaikan kepada hospital.

    “Sumbangan boleh disampaikan kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor untuk pembelian barangan perubatan, manakala sumbangan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor akan digunakan untuk bantuan makanan kepada golongan memerlukan,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, di sini.

    Sultan Ibrahim turut menerima permohonan bantuan senarai peralatan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menangani pandemik berkenaan termasuk katil, oxygen regulator (bull nose), oxygen regulator (pin index), oxygen flow meter, 10L cylinder medical oxygen gas/regulator/trolly, set tekanan darah tinggi dan sebagainya.

    Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi RM5 juta bagi membeli peralatan untuk keperluan hospital-hospital di negeri ini.

    Sektor swasta yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor di talian 07-2355252 atau Yayasan Sultan Ibrahim Johor di talian 07-3564848.

    Sultan Johor pada masa sama bertitah mana-mana rakyat di negeri ini yang memerlukan bantuan makanan boleh menghubungi Pejabat-Pejabat Daerah atau Pejabat Penghulu di kawasan masing-masing.- BERNAMA

  • Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri Johor masih rendah

    Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri Johor masih rendah

    Oleh:Bernama

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan baginda mengenai kadar vaksinasi di negeri Johor yang masih rendah.

    Mengikut statistik media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemberian vaksin bagi Johor hingga 4 Ogos menunjukkan 33.3 peratus (1,260,049 orang) menerima vaksin dos pertama manakala 13.1 peratus (495,730 orang) telah menerima dos kedua.

    “Saya sebagai Sultan Johor bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga rakyat saya. Nyawa tidak boleh dijual beli. Saya selalu fikirkan penderitaan rakyat saya, terutamanya mereka yang jatuh sakit dengan COVID-19 dan telah meninggal dunia.

    “Keadaan penularan yang sememangnya membimbangkan kini menjadi lebih parah dengan merebaknya kes-kes varian Delta. Strateginya amat jelas iaitu kita mesti memvaksinasi seramai mungkin populasi negeri kita dengan kadar secepat mungkin,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, malam tadi.

    Sultan Ibrahim bertitah baginda bersama anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor.

    Sehubungan itu, baginda amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di Johor malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.

    “Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat kita sendiri,” titah baginda. – BERNAMA

  • 250 keluarga terima sumbangan Sultan Ibrahim

    250 keluarga terima sumbangan Sultan Ibrahim

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEBANYAK 250 keluarga yang terjejas dengan pandemik Covid-19 di Taman Universiti, Skudai di sini hari ini menerima sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

    Sumbangan disampaikan Mejar Cina, Datuk David Wong kepada Paderi Pusat Katolik Skudai, Christopher Lee untuk diagihkan kepada penerima.

    Seorang penerima yang juga ibu tunggal, Esah Manap, 45, terputus punca pendapatan selepas majikannya tidak dapat meneruskan operasi perniagaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Saya amat bersyukur mempunyai seorang Sultan yang berjiwa rakyat dan memahami kesusahan rakyatnya.

    “Bantuan ini amat besar nilainya kepada kami sekeluarga,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Royal Press Office (RPO), hari ini.

    Seorang lagi penerima bantuan, P. Malliga, 47, juga amat berterima kasih kerana bantuan disampaikan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi YSIJ yang diberi secara adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

    “Selama ini saya hanya mengharapkan bantuan daripada saudara dan jiran-jiran untuk meneruskan kehidupan.

    “Junjung kasih Tuanku di atas bantuan ini, patik amat bersyukur Tuanku sentiasa membantu semua kaum di negeri Johor,” ujarnya.

    Sementara itu, David Wong berkata, Sultan Johor sentiasa mengingatkan pihaknya supaya memastikan bantuan disampaikan secara adil kepada setiap kaum tidak kira apa jua kepercayaan mereka.

    “Baginda amat memahami kesusahan rakyat yang berdepan cabaran ekonomi serta kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19,” ujarnya.