Tag: Sultan Ibrahim

  • Tunku Putera Johor selamat dalam kemalangan pada perlumbaan GT Australia

    Tunku Putera Johor selamat dalam kemalangan pada perlumbaan GT Australia

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa syukur anakanda baginda, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar tidak mengalami kecederaan selepas kereta dipandu ketika pusingan kelayakan GT World Challenge Australia terbabas dan terbalik di litar Mount Panorama, Bathurst, New South Wales, Australia, hari ini.

    “Saya bersyukur Tunku Putera tidak cedera. Pastinya tengah terkejut tetapi dia ok. Saya memberitahunya untuk terus kuatkan semangat, teruskan usaha dan harumkan nama Johor.

    “Dia hampir melayakkan diri di tempat ketiga untuk perlumbaan esok dan ia adalah penampilan pertama Tunku Abu Bakar di litar itu. Dia dan Tunku Panglima (Tunku Abdul Rahman) menunjukkan potensi serta persembahan yang baik. Semoga kita mendapat keputusan yang baik esok,” titah Sultan Ibrahim dalam hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda.

    Menurut hantaran itu, pemanduan lebih 200 kilometer sejam melalui bahagian McPhillamy Park litar itu menyebabkan Tunku Abu Bakar hilang kawalan dan terbabas ke penghadang tayar sebelum kereta Mercedes-Benz GT3 yang dipandu terbalik.

    Orang ramai menarik nafas lega sejurus melihat Tunku Abu Bakar berjaya keluar dari kereta dan menunjukkan isyarat ‘peace’ kepada penonton sebelum menaiki kenderaan kakitangan litar dan perubatan.

    Berikutan insiden dan kerosakan yang dialami, Tunku Abu Bakar dan rakan sepasukan, Jamie Whincup terpaksa menarik diri daripada saingan perlumbaan ‘endurance’ tiga jam esok.

    Tunku Abdul Rahman bersama rakan sepasukan Broc Feeney pula akan meneruskan cabaran JMR Triple Eight Race Engineering, bermula dari petak kedua grid. – BERNAMA

  • Sultan Johor titah sektor swasta bantu tangani Covid-19

    Sultan Johor titah sektor swasta bantu tangani Covid-19

    Oleh:Bernama

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah menyarankan agar sektor swasta turut bersama-sama menyumbang bantuan dalam usaha menangani pandemik COVID-19 di negeri ini.

    Baginda bertitah sumbangan wang tunai daripada sektor swasta penting untuk memastikan sistem kesihatan hospital-hospital di Johor terus dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan untuk terus merawat pesakit COVID-19.

    “Kita perlu menangani COVID-19 secara bersama dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan, saya berharap sektor swasta turut tampil dalam menghulurkan bantuan kewangan supaya peralatan-peralatan perubatan dapat disampaikan kepada hospital.

    “Sumbangan boleh disampaikan kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor untuk pembelian barangan perubatan, manakala sumbangan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor akan digunakan untuk bantuan makanan kepada golongan memerlukan,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, di sini.

    Sultan Ibrahim turut menerima permohonan bantuan senarai peralatan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menangani pandemik berkenaan termasuk katil, oxygen regulator (bull nose), oxygen regulator (pin index), oxygen flow meter, 10L cylinder medical oxygen gas/regulator/trolly, set tekanan darah tinggi dan sebagainya.

    Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi RM5 juta bagi membeli peralatan untuk keperluan hospital-hospital di negeri ini.

    Sektor swasta yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor di talian 07-2355252 atau Yayasan Sultan Ibrahim Johor di talian 07-3564848.

    Sultan Johor pada masa sama bertitah mana-mana rakyat di negeri ini yang memerlukan bantuan makanan boleh menghubungi Pejabat-Pejabat Daerah atau Pejabat Penghulu di kawasan masing-masing.- BERNAMA

  • Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri Johor masih rendah

    Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri Johor masih rendah

    Oleh:Bernama

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan baginda mengenai kadar vaksinasi di negeri Johor yang masih rendah.

    Mengikut statistik media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemberian vaksin bagi Johor hingga 4 Ogos menunjukkan 33.3 peratus (1,260,049 orang) menerima vaksin dos pertama manakala 13.1 peratus (495,730 orang) telah menerima dos kedua.

    “Saya sebagai Sultan Johor bertanggungjawab dan diamanahkan untuk menjaga rakyat saya. Nyawa tidak boleh dijual beli. Saya selalu fikirkan penderitaan rakyat saya, terutamanya mereka yang jatuh sakit dengan COVID-19 dan telah meninggal dunia.

    “Keadaan penularan yang sememangnya membimbangkan kini menjadi lebih parah dengan merebaknya kes-kes varian Delta. Strateginya amat jelas iaitu kita mesti memvaksinasi seramai mungkin populasi negeri kita dengan kadar secepat mungkin,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, malam tadi.

    Sultan Ibrahim bertitah baginda bersama anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail sudah lama berbincang dengan pihak tertentu dan meminta vaksin yang lebih banyak untuk rakyat Johor.

    Sehubungan itu, baginda amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di Johor malah di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.

    “Amat mengecewakan apabila kami seolah-olah perlu merayu untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk keselamatan rakyat kita sendiri,” titah baginda. – BERNAMA