Tag: Sukma

  • Sukma: Ahmad Faizal kesal insiden kejar pengadil

    Sukma: Ahmad Faizal kesal insiden kejar pengadil

    MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kesal dengan insiden seorang pegawai yang bertindak mengejar pengadil pada aksi separuh akhir bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) malam tadi.

    Beliau berkata walaupun agak biasa untuk berlaku suasana tegang dalam perlawanan bola sepak, insiden tidak bersemangat kesukanan seperti itu tidak sepatutnya berlaku, terutamanya pada Sukma yang menjadi medan mencungkil bakat.

    “Memang kita peminat sukan kadang-kadang tak setuju dengan keputusan pengadil, tak suka dengan tindakan-tindakan pemain dari pasukan lawan dan sebagainya, tetapi kita berada di sini untuk mencungkil bakat baharu dan membangunkan sukan negara.

    “Selain kita nak mengejar kegemilangan, jauh lebih penting adalah untuk memajukan sukan itu sendiri. Sukma merupakan medan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah antara semua peserta.

    “Namun, perkara ini telah pun berlaku, kita belajar dari kesilapan dan bergerak ke hadapan. Saya harap perkara-perkara ini tidak akan berlaku lagi sampai bila-bila,” katanya pada sidang media selepas prapelancaran Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur (EISKL) 2022 di sini hari ini.

    Beliau diminta mengulas mengenai tindakan seorang pegawai pasukan Wilayah Persekutuan dilayangkan kad merah selepas melakukan provokasi terhadap pengadil yang menyaksikan beliau mengejar pengadil tersebut di tengah padang selepas diperintah keluar.

    Bagaimanapun, suasana terkawal dengan bantuan pihak polis.

    Pulau Pinang mencatatkan kemenangan tipis 1-0 menerusi sepakan penalti disempurnakan ketua pasukan Mohd Danial Irfan Mohd Nadzri pada minit ke-40 di Stadium UiTM Shah Alam, untuk bertemu juara hatrik edisi 2006-2010, Terengganu yang menewaskan Selangor 2-1.

    Ahmad Faizal berkata, walaupun Sukma kali ini mempunyai beberapa insiden tidak diingini seperti kes doping, secara keseluruhannya temasya itu dianjurkan dengan baik dan mendapat pujian daripada ketua-ketua kontinjen negeri.

    “Masalah doping sejak beberapa edisi sebelum ini, namun saya rasa usaha kita untuk memastikan atlet yang dah buat persiapan untuk bertanding tercapai. Yang saya kecewa adalah kerana ada acara-acara terpaksa digugurkan (kerana kurang penyertaan),” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan kadar pertumbuhan syarikat industri sukan meningkat 30 peratus dalam tempoh 10 tahun lagi.

    Beliau berkata, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan nilai industri sukan Malaysia pada 2017 adalah RM18.8 bilion dengan penglibatan 36,511 tenaga kerja, yang beliau percaya ia semakin meningkat.

    EISKL 2022 akan berlangsung bermula 6-8 Okt ini di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.- BERNAMA

  • Kelantan tidak pernah dianaktirikan anjur Sukma – KJ

    Kelantan tidak pernah dianaktirikan anjur Sukma – KJ

    KELANTAN tidak pernah dianaktirikan dalam pemilihan sebagai tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma), kata bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

    Khairy yang menyandang portfolio Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018 berkata, Kelantan pernah ditawarkan menjadi penganjur temasya itu melalui beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma selepas edisi Perlis 2014 berjaya dianjurkan dengan cemerlang.

    Beliau berkata, pemilihan tuan rumah temasya sukan itu dibuat secara saksama melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dianggotai 14 Exco Belia dan Sukan Negeri selain tertakluk kepada kesanggupan dan kesediaan negeri yang dipilih.

    “Mengikut penggiliran negeri penganjur, selepas Sukma Sarawak 2016, hak penggiliran penganjuran akan kembali ke negeri di Pantai Timur. Kelantan yang belum pernah menganjurkan Sukma merupakan pilihan namun kerajaan Kelantan ketika itu tidak bersedia untuk menganjurkannya atas beberapa kekangan.

    “Kita juga semasa membuat keputusan Sukma 2018 kepada Perak dan Sukma 2020 kepada Johor turut mengalu-alukan agar Kelantan mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah Sukma 2022 supaya temasya sukan itu dapat dibawa kepada rakyat Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, tanpa merujuk kepada mana-mana menteri Belia dan Sukan, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam video TikToknya antara lain mendakwa beliau ‘mengembalikan semula hak penganjuran’ Sukma kepada Kelantan.

    Mengulas lanjut, Khairy yang kini Menteri Kesihatan berkata, kenyataan Syed Saddiq itu yang menerajui Kementerian Belia dan Sukan dari 2018 hingga 2020, seolah-olah memperlihatkan menteri Belia dan Sukan sebelum ini menafikan hak negeri berkenaan menjadi tuan rumah temasya sukan tersebut. – BERNAMA