Tag: sukar bernafas

  • Penyanyi sambilan ditahan pukul anak angkat hingga muntah, sukar bernafas

    Penyanyi sambilan ditahan pukul anak angkat hingga muntah, sukar bernafas

    SEORANG remaja perempuan mendakwa dipukul ibu angkatnya yang juga penyanyi sambilan sehingga muntah, badan menggeletar dan susah bernafas dalam kejadian di rumahnya di Ukay Perdana, Ampang Jaya.

    Perkara tersebut terbingkar selepas remaja berusia 16 tahun itu berjumpa guru kaunseling kelmarin.

    Remaja itu datang ke bilik gurunya pada pukul 8 pagi dalam keadaan sukar bernafas dan badan menggeletar sebelum muntah.

    Gurunya kemudian bertanya sebelum dia mendakwa dipukul ibu dan diugut bunuh sebelum guru berkenaan tampil membuat laporan polis.

    Mangsa turut dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan selepas dilihat dalam keadaan lemah.

    Difahamkan kejadian berpunca apabila mangsa ingin pergi solat tarawih namun tidak dipercayai ibu angkatnya yang mengesyaki dia mahu bertemu rakan lelaki menyebabkan berlakunya insiden dipukul.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Farouk Eshak berkata, susulan laporan diterima, polis kemudian menahan wanita berusia 46 tahun itu di pangsapuri di Ukay Perdana semalam.

    Menurutnya, semakan terhadap suspek mendapati dia memiliki satu rekod lampau jenayah tidak dikehendaki polis.

    “Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek negatif dadah.

    “Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

  • Aiman Tino masuk hospital, alami kesukaran bernafas

    Aiman Tino masuk hospital, alami kesukaran bernafas

    PENYANYI Aiman Tino dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Setapak di Kuala Lumpur, semalam selepas mengalami kesukaran bernafas.

    Ibu Aiman, Hazelina Mat Jalil ketika diminta mengulas perkembangan anaknya berkata, Aiman mengalami gejala batuk berpanjangan.

    Aiman dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara

    “Risau dengan keadaannya itu, kami bawa Aiman ke hospital untuk buat pemeriksaan.

    “Aiman kemudian ditahan wad untuk pemeriksaan lanjut. Pemantauan juga dibuat bagi memastikan sama ada berlaku jangkitan kuman pada paru-parunya,” katanya kepada BH Online.

    Hazelina dalam laporan itu berkata, anaknya dikhuatiri terkena serangan asma walaupun dia tidak mempunyai sejarah penyakit berkenaan.

    “Saya pernah nasihatkan Aiman supaya kurangkan atau berhenti daripada menghisap vape kerana bimbang kesihatannya terganggu.

    “Alhamdulillah, Aiman kini stabil dan perlu berehat serta menggunakan tabung oksigen untuk menstabilkan pernafasan,” katanya.

    Sebagai ibu, dia mengakui amat risau dengan keadaan yang menimpa anaknya itu.

    Justeru, Hazelina berharap peminat dapat mendoakan kesejehteraan Aiman dan diberi kesembuhan segera.

    “Hati ibu mana yang tidak risau setiap kali anak-anak sakit. Saya sentiasa anggap anak-anak masih kecil apabila mereka sakit.

    “Sebab itu, saya lebih suka minta mereka segera dapatkan rawatan supaya doktor dapat memantau kesihatan mereka,” katanya.

    Berita mengenai Aiman dikongsi Hazelina menerusi hantaran Facebook (FB) kira-kira sejam lalu.

    Melalui perkongsian itu, Hazelina memuat naik foto penyanyi Ku Rela Dibenci itu sedang terbaring di katil dengan menggunakan alat bantuan pernafasan.

    Tertera di foto itu adalah kapsyen ringkas berbunyi: “Mak doakan Aiman Cepat Sembuh.”