Tag: Suami isteri ditahan

  • Suami isteri ditahan, pandu kereta lawan arus di lebuhraya

    Suami isteri ditahan, pandu kereta lawan arus di lebuhraya

    POLIS menahan sepasang suami isteri di Mambau, Seremban pada awal pagi semalam selepas memandu kereta secara melawan arus di kilometer 17-19 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, rakaman video berdurasi 32 saat berhubung perbuatan mereka itu tular dalam media sosial Facebook semalam antara pukul 5 hingga 6 petang.

    “Berdasarkan rakaman video itu menunjukkan kereta tersebut dipandu melawan arus dari arah Teluk Kemang menghala ke Seremban.

    “Bertindak atas maklumat, pada pukul 2 pagi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson telah membuat tangkapan terhadap pasangan berkenaan yang terlibat sebagai pemandu dan penumpang, di kediaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, hasil soal siasat kedua-dua suspek memaklumkan bahawa kenderaan mereka mengalami masalah di bahagian enjin dan tindakan memandu melawan arus itu adalah untuk mencari bengkel bagi membaiki kenderaan tersebut.

    “Kedua-duanya ditahan dan sebuah kereta yang dirakam dalam video tular itu dirampas untuk tindakan lanjut.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melanggar peraturan lalu lintas yang membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

    “Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati melalukan kesalahan berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Video tular dengan kapsyen ‘ bahayakan orang lain, Lebuhraya Seremban-Port Dickson’ itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada pelayar media sosial itu.

  • Suami isteri ditahan, dadah RM2 juta dirampas

    Suami isteri ditahan, dadah RM2 juta dirampas

    SEPASANG suami isteri ditahan dan polis merampas dadah jenis methamphetamine seberat lebih 20 kilogram di dua lokasi di Ipoh, Khamis lalu.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, nilai keseluruhan dadah itu lebih RM2 juta yang boleh digunakan 200,000 penagih.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kira-kira pukul 4.40 petang Khamis, sepasukan pegawai dan anggota polis telah menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan isterinya, warga Vietnam berusia 38 tahun di tepi jalan sekitar kawasan Taman Panorama Lapangan Perdana, Ipoh.

    “Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang dipandu suspek lelaki Cina tersebut, telah menjumpai 10 bungkusan plastik warga hijau bertulisan Guanyingwang bahan disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 10,356 gram.

    “Pemeriksaan susulan telah dilakukan terhadap sebuah kereta di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di sekitar Ipoh, telah menjumpai lagi 10 bungkusan plastik warna hijau bertulisan Guanyingwang, bahan disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 10,339 gram,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, polis turut menyita seutas jam tangan dengan tulisan Rolex, seutas rantai kaki, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan dengan anggaran jumlah keseluruhan lebih RM83,000.

    Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala isterinya negatif.

    Pasangan suami isteri itu dipercayai telah melakukan aktiviti tersebut sejak tiga bulan lalu dan semakan awal mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

    Suspek direman tujuh hari sehingga 28 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.