Tag: Suami isteri didakwa

  • Suami isteri didakwa subahat, salah guna kedudukan

    Suami isteri didakwa subahat, salah guna kedudukan

    SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas dakwaan bersubahat dan menyalahguna kedudukan untuk kerja-kerja berkaitan penilaian berjumlah lebih RM570,000 bagi Majlis Perbandaran Klang (MPK) antara 2019 dan 2020.

    Hazliza Md Salleh, pengarah penilaian dan pengurusan harta di MPK dan suaminya, Shahril Nizam Mokhtar, masing-masing berhadapan dengan dua pertuduhan. 

    Hazliza, 48, didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan pelantikan Nilai Harta Consultant Sdn Bhd yang Shahril Nizam mempunyai kepentingan dalam syarikat terbabit bagi melaksakan kerja penilaian berkenaan.

    Cadangan tersebut bagi melaksanakan kerja-kerja penilaian kadaran bagi harta-harta khas (Klang Utara) dengan harga kerja RM251,000 dan kerja-kerja penilaian kadaran fasa 4 bagi sebahagian harta di kawasan operasi 2 melibatkan harga kerja RM324,360. 

    Pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

    Sementara itu, Shahril Nizam, 48, dituduh bersuhabat dengan Hazliza bagi menggunakan kedudukan isterinya untuk mencadangkan Syarikat Nilai Harta Consultant Sdn Bhd yang mempunyai kepentingan terhadapnya untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 23(1) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama. 

    Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin yang berlainan serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Selangor Noryusriza Zulkifli manakala Hazliza diwakili peguam, V.S Selvanteran dan Shahril Nizam diwakili peguam, Nurfatin Amirah Mohd Shaari.

     Kes akan disebut semula pada 22 Sept.- BERNAMA

  • Suami isteri tak mengaku dera dua beradik

    Suami isteri tak mengaku dera dua beradik

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEPASANG suami isteri tidak mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan mendera dua beradik lelaki yang berada di bawah jagaan mereka sebelum ini.

    Kedua-dua tertuduh, R. Kartik, 32, dan isterinya, B. Darga Devi, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

    Mengikut pertuduhan pertama, pasangan itu bersama dua lagi individu yang telah dituduh didakwa mendera kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan memukul menggunakan rotan, penyangkut baju dan batang mop; meletakkan pisau panas ke tangan; mencucuh rokok di seluruh badan dan menghantuk kepala ke dinding sehingga mendatangkan trauma dan kecederaan.

    Dalam pertuduhan kedua, mereka sekali lagi bersama-sama dua individu itu didakwa mendera kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun dengan menggunakan cara sama selain mencucuh puntung rokok di kemaluan dan menyiram air panas ke seluruh badan.

    Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 8 malam hingga 1 pagi antara Jun hingga September lalu di Flat Selesa Jaya, Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan perbuatan itu bersifat ganas dan kejam, selain turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mangsa sekiranya didekati tertuduh.

    “Kes ini juga telah dilaporkan dalam media dan mendapat perhatian umum, selain itu kedua-dua tertuduh juga telah melarikan diri selepas polis menahan ibu dan kakak Kartik,” katanya.

    Peguam tertuduh, Munirah Najihah Shaari bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan dalam jumlah yang rendah khususnya buat Darga Devi yang merupakan seorang suri rumah dan mempunyai tanggungan tiga anak kecil berusia 3 dan 2 tahun serta bayi sembilan bulan.

    Kartik pula tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengambil upah memasak serta menjadi penanggung utama keluarga.

    Mahkamah kemudian menetapkan Kartik dibenarkan jamin dengan jumlah RM30,000 manakala Darga Devi sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin dan beberapa syarat tambahan seperti perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke balai polis berhampiran dua minggu sekali dan dilarang mendekati mangsa atau saksi kejadian.

    Wan Mohd. Norisham turut menetapkan tarikh 24 November ini untuk sebuah semula kes dan serahan dokumen.

    Pada 6 Oktober lalu, ibu Kartik, B. Mariamah, 60, dan kakaknya, R. Deeba, 37, telah dituduh di mahkamah namun kedua-duanya mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mendera dua beradik berkenaan.

    Difahamkan, kedua-dua kanak-kanak itu masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru atas kecederaan yang dialami mereka.