Tag: suami

  • Tegur suami hisap dadah bersama rakan di rumah, isteri cedera dipukul

    Tegur suami hisap dadah bersama rakan di rumah, isteri cedera dipukul

    SEORANG wanita cedera ditumbuk suaminya yang mengamuk setelah ditegur mangsa kerana membawa rakan menghisap dadah di rumah mereka dalam kejadian di Matang Jaya dekat Padawan Sarawak, Ahad lalu.

    Wanita itu mengalami pendarahan pada mata kiri dan lebam pada kepala susulan insiden berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari, di rumah yang disewa mereka.

    “Ketika kejadian wanita berusia 23 tahun itu menegur suaminya membawa rakan datang ke rumah untuk menghisap dadah sehingga rakan suspek balik (keluar dari kediaman terbabit).

    “Suspek marah dan bertindak agresif menumbuk mangsa berulang-ulang kali di kepala sehingga mengalami kecederaan,” katanya lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut, Abang Zainal berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan menahan suspek yang berusia 26 tahun di rumah sewa terbabit, kelmarin.

    Katanya, suspek yang juga penganggur itu kini ditahan di lokap Balai Polis Beratok untuk siasatan lanjut.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

  • Baru seminggu disatukan, suami maut nahas langgar jalan lubang

    Baru seminggu disatukan, suami maut nahas langgar jalan lubang

    KETIKA inai masih melekat di jari, Azimah Zahari, 31, kehilangan suaminya buat selama-lamanya selepas lelaki itu maut akibat kemalangan dekat Kampung Megat Segama di Temerloh, kelmarin.

    Hairul Hafizi Mursid, 34, yang bekerja sebagai penolong penyelia pasar raya di Temerloh ketika kejadian kira-kira pukul 10 malam itu sedang menunggang motosikal sebelum kenderaan tersebut dipercayai terlanggar lubang sebelum terjatuh di tempat kejadian.

    Mangsa kemudiannya meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada hari sama.

    Kejadian yang menimpa mangsa turut tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen selain bersedih dengan tragedi tersebut.

    Menurut Azimah, dia dan suami baharu sahaja melangsungkan perkahwinan mereka pada 4 Februari lalu.

    Anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Jengka 17 selepas tamat waktu bekerja.

    “Selalunya kami pergi dan balik kerja bersama, sama ada naik motosikal atau kereta. Tapi, semalam (Jumaat), kami naik berasingan. Suami naik motosikal sebab katanya nak ‘service’ motosikal.

    “Dalam perjalanan balik malam itu, saya ikut rapat belakang suami dengan kereta. Cuma bila tiba dekat dengan lokasi kejadian, saya agak ke belakang sedikit sebab keadaan jalan berselekoh dan berbukit.

    “Saya melepasi tempat suami terjatuh, tapi saya pusing semula sebab saya kenal dengan warna motosikal tu dan memang tak sangka, suami saya terjatuh terlanggar lubang. Itu yang orang awam beritahu pada saya,” kata Azimah, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Azimah berkata, keadaan suaminya ketika itu dalam keadaan separuh sedar dan mengerang kesakitan sebelum dihantar ke hospital.

    “Bila tiba di hospital, saya terus mendaftarkan nama suami tetapi selepas lima atau 10 minit selepas itu, doktor panggil saya dan maklum, suami saya sudah meninggal dunia.

    “Lepas doktor cakap macam tu, saya betul-betul terkejut, tergamam… Macam tak percaya benda ni boleh berlaku.

    “Ada juga saya rasa ralat sangat. Kalau saya tahu akan berlaku macam ni, saya takkan benarkan suami naik motosikal,” jelas Azimah yang ditemui di kediaman keluarga di Kampung Baru Chenor, semalam.

    Jenazah Allahyarham Hairul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunian, Chenor kira-kira pukul 4.28 petang semalam.

    Azimah berkata, suaminya adalah seorang anak yatim piatu dan mereka telah mengenali antara satu sama lain sejak 2016.

    “Suami juga anak bongsu dari empat adik-beradik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap pada hari kejadian kecuali sebelum ini ada meluahkan rasa rindu pada arwah ibunya.

    “Arwah seorang periang, suka tersenyum dan kuat menyakat dan kami memiliki hobi sama, suka ubah suai kenderaan tetapi saya akan tetap anggap dia masih ada di sisi saya.

    “Banyak kenangan bersama suami sejak awal perkenalan,” akui Azimah lagi.

    Dalam pada itu, dia berharap kejadian yang menimpa suaminya menjadi pengajaran pada semua pihak selain segera diselenggara sebaik mungkin oleh pihak terbabit.

    “Itu lah laluan kami untuk balik kerja. Jalan tu selalu ada air dan saya perasan memang ada lubang.

    “Jangan jadi pada orang lain pula. Sebelum ni, ada juga dengar orang patah tangan, kaki…. Cuma nyawa je tak melayang lagi.

    “Sekarang, berlaku pada suami saya. Jadi, saya minta dan berharap, pihak berkaitan dapat baiki atau selenggara sekerap jalan itu,” tambah dia lagi.

    Sementara itu, ketika tinjauan dibuat di lokasi kejadian pada Sabtu mendapati laluan tersebut telah diturap. – Sinar Harian

  • Suri rumah mengaku tidak bersalah peras wang suami

    Suri rumah mengaku tidak bersalah peras wang suami

    SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap suami sendiri dengan mengambil wang tunai mangsa berjumlah RM13,000 di sebuah hotel dekat sini, bulan lepas.

    Alimi Wahidah Shamsul, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

    Dia didakwa berniat jahat melakukan pemerasan terhadap suami, Mat Yassin Junus, 60, dengan cara mengambil wang tunai berkenaan sebagai cagaran sehingga membawa ketakutan kepada mangsa di sebuah hotel dekat Kota Bharu kira-kira 6.19 petang, 21 Sept lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nazuha Mohd Nasir menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang diwakili peguam Aryani Mohd Amin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon jumlah jaminan tidak lebih RM2,000.

    “Tertuduh mempunyai dua anak yang masih bersekolah malah turut menjaga ibunya yang berusia 75 tahun dan uzur,” kata peguam itu.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Dis untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Suami isteri warga Indonesia mati ditembak

    Suami isteri warga Indonesia mati ditembak

    SEPASANG suami isteri warga Indonesia ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tembak pada badan mereka dalam satu kejadian di Kampung Beraya Bekenu, Miri, Sarawak pagi ini.

    Jasad pasangan itu, masing-masing berusia 60 tahun dan 40 tahun ditemukan adik lelaki mangsa dalam bilik tidur rumah mereka kira-kira pukul 7 pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari mengesahkan kejadian itu.

    Menurut beliau, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Miri dan anggota dari Balai Polis Bekenu dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan kes itu.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan bagaimana kejadian berlaku,” katanya kepada BH, hari ini.

    Hakemal berkata, mayat pasangan berkenaan dibawa ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat.

    Difahamkan, mayat pasangan itu ditemui adik lelaki mangsa, selepas terdengar anak mereka menangis.

    Adik mangsa yang curiga kemudian pergi ke rumah mangsa, namun pintu berkunci dan cubaannya memanggil mereka juga tidak dibalas.

    Dia yang kemudiannya cuba meninjau melalui cermin tingkap bilik pasangan itu terkejut apabila melihat kedua-duanya berlumuran darah.

    Selaras senapang patah juga dijumpai di atas dada mangsa lelaki.

  • Balu Allahyaraham Siddiq tabah hadapi pemergian suami

    Balu Allahyaraham Siddiq tabah hadapi pemergian suami

    TABAH dan cekal, jelas terpancar pada raut wajah Shima Mustapha, 29, balu kepada Allahyarham Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli yang selamat di kebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Siniawan Seberang, di sini pada jam 10 pagi tadi.

    Menurut Shima, Allahyarham suaminya seorang yang penyayang malah sebelum turun bertugas pada hari kejadian, arwah sempat berpesan untuk makan tengah hari bersama pada keesokkan hari namun hasrat tersebut tidak kesampaian apabila terkorban dalam insiden tembakan di Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada pagi Jumaat lepas.

    “Pada pagi hari kejadian, mulanya saya tidak percaya sehinggalah dimaklumkan oleh ibu mentua bahawa suami saya telah terkorban.

    “Saya redha apabila mendengar nama arwah disebut, bagi saya dia adalah hero dan cukup kuat, arwah cuba bertahan demi isteri dan anak ketika dirawat di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak.

    “Mengenangkan semangat arwah yang kuat, membuatkan saya tidak mahu berjauhan dengannya sehingga selesai pengebumian, itu sahaja kenangan terakhir kami bersama,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian dengan istiadat ketenteraan.

     Allahyarham turut meninggalkan tiga orang anak, iaitu Sharifah Syafa Shakira Al Attas, 5, Sharifah Syafa Syahirah Al Attas,3  dan Sharif Erdogan Al-Attas yang berusia dua bulan.

    Anak anak kedua daripada tujuh beradik itu telah berkhidmat dalam TUDM  kira-kira 12 tahun dan baru dua tahun berkhidmat di sini. 

    Upacara pengebumian yang berlangsung dalam suasana hujan renyai, dihadiri kira-kira 50 orang  termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan TUDM.- BERNAMA