Tag: Stadium Bandaraya

  • Penyokong Penang FC, Kedah FC ‘bertempur’ di luar padang

    Penyokong Penang FC, Kedah FC ‘bertempur’ di luar padang

    PEMINAT bola sepak Penang FC dan Kedah FC dilaporkan ‘bertempur’ di pekarangan Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang sejurus perlawanan Liga Super antara kedua-dua pasukan itu berakhir malam tadi.

    Beberapa video pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan itu yang berlaku kira-kira pukul 11 malam tadi juga turut tular di media sosial awal pagi ini.

    Satu video yang berdurasi satu minit 42 saat turut memaparkan provokasi di antara kedua-dua kumpulan penyokong sebelum berakhir dengan pergaduhan.

    Difahamkan, insiden tercetus rentetan keputusan pengadil membatalkan gol kedua yang diledakkan kapten tuan rumah, Rafael Vitor pada minit ke-66 gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti.

    Keputusan pengadil terbabit dikatakan turut mencetuskan ketegangan penyokong kedua-dua pasukan selain menyaksikan pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Adib Abdul Ra’op dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning yang kedua.

    Pada perlawanan malam tadi, Kedah FC berjaya menundukkan Penang FC 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara.

    Pada 1 April lalu, media turut melaporkan insiden pergaduhan yang tular di media sosial dipercayai membabitkan sekumpulan penyokong Perak FC dan Penang FC selepas berakhir perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya.

    Dalam kejadian itu, polis menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut.

    Sementara itu, Ketu Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian pergaduhan malam tadi dalam masa terdekat.

  • 3 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan bola sepak

    3 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan bola sepak

    TIGA lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 23 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di luar Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang malam semalam selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC menentang Perak FC.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, salah seorang suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

    Jelas beliau, hasil semakan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 1 April, pukul 12.30 tengah malam di luar stadium.

    ”Pergaduhan berpunca daripada provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan lawan, pihak polis berjaya mengawal keadaan serta menahan tiga lelaki tenpatan yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Video pergaduhan itu yang menunjukkan sekumpulan penyokong bola sepak membuat rusuhan di luar kawasan stadium dipercayai di kawasan Pulau Pinang turut tular di media sosial sejak awal pagi ini.

    Menurut Soffian, hasil awal saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan bebas daripada sebarang jenis dadah dan kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan polis setelah soal siasat selesai.

    Dalam pada itu, katanya, polis juga sedang giat mengesan individu-individu lain yang terlibat dengan kejadian ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

    “Kita juga menasihati orang ramai tidak menularkan rakaman video kejadian itu untuk mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.