Tag: Srikandi

  • ‘Srikandi Bersatu tak macam Wanita UMNO, ketepikan yang muda dan baharu’, kata Rina

    ‘Srikandi Bersatu tak macam Wanita UMNO, ketepikan yang muda dan baharu’, kata Rina

    SRIKANDI Bersatu disifatkan tidak sama dengan Wanita UMNO yang dilihat bersikap mengetepikan muka baharu dan muda dalam parti.

    Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun berkata, Srikandi sebaliknya sangat mengalu-alukan kehadiran semua wanita pelbagai peringkat umur demi pengukuhan parti.

    “Kita nak pastikan Perikatan Nasional (PN) memenangi PRN tidak lama lagi. Srikandi Bersatu sangat setia, sebab itu pada perhimpunan kali ini adanya adinda Srikandi Muda buat kali pertama.

    “Dalam perhimpunan juga saya menyatakan dua tahun lepas, bukan sahaja menerima, malah menyokong penubuhan Srikandi Muda.

    “Kita tak macam Wanita UMNO… ada yang baru, muda nak diketepikan. Kita tidak begitu, kita alu-alukan semua demi pengukuhan parti,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 di Menara PGRM, Cheras hari ini.

    Rina dalam pada itu turut mencadangkan agar mereka di kalangan ketua-ketua bahagian memberi peluang dan bantuan kepada Srikandi Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    “Saya juga harap Ketua-Ketua Bahagian, kita ini ibarat satu keluarga. Sedangkan lidah lagi tergigit, suami isteri pun berbalah pendapat. Dalam menuju peperangan, perpaduan yang perlu kita eratkan. Maka, pandang jugalah Srikandi di bahagian.

    “Bila nak PRN, ada yang cakap tak perlulah Srikandi (jadi calon) kita berilah kepada ketua bahagian. Kalau ketua bahagian yang bertanding, Srikandi akan membantu tetapi Srikandi yang nak bertanding, nanti ada yang nak boikot,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Srikandi akan menubuhkan Sekretariat Usahawan Srikandi bagi melahirkan usawahan wanita dan dalam masa sama akan dapat memberikan sumbangan kepada Bersatu yang kini berdepan kekurangan dana berikutan pembekuan akaun parti.

    “Kita nak belajar bukan hanya nak meminta-minta, tetapi kita nak belajar memberi kepada parti yang kita sayangi,” tambahnya.

  • PRN: Srikandi tubuh UKPS pastikan PN rampas tiga negeri

    PRN: Srikandi tubuh UKPS pastikan PN rampas tiga negeri

    SAYAP wanita Parti Bersatu, Srikandi mewujudkan Unit Khas Pilihan Raya Srikandi (UKPS) bagi memantapkan lagi gerak kerja dalam usaha membantu Perikatan Nasional (PN) menawan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selain mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata berkata Srikandi Bersatu akan memainkan lebih peranan dan bekerja lebih keras dalam memastikan PN terus diterima rakyat, sekali gus menjadi pilihan pengundi dalam PRN tersebut.

    “Srikandi Bersatu telah bersiap siaga sepenuhnya dan penubuhan UKPS akan memantapkan lagi gerak kerja kita ke arah mencapai matlamat tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan sewaktu Persidangan Srikandi Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di sini hari ini.

    Rina berkata Srikandi juga tekad berdiri teguh dan setia di belakang Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan yakin bekas perdana menteri itu tidak bersalah dalam pertuduhan mahkamah yang dihadapinya.

    Beliau berkata peristiwa tersebut membuka mata Srikandi tentang pentingnya bersatu padu dan ia menjadi landasan untuk seluruh anggota parti, khususnya Srikandi, untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir negatif.

    “Pendakwaan yang hanya untuk mencemarkan imej Tan Sri Muhyiddin, Bersatu dan PN ini sama sekali tidak akan menjejaskan fokus Srikandi dalam menghadapi PRN, sebaliknya akan menaikkan lagi semangat juang ke arah mencipta kemenangan,” katanya.

    Selain isu PRN serta politik, tumpuan perbahasan yang melibatkan 11 orang pembahas turut memfokuskan kepada isu wanita dan ekonomi. 

    Sementara itu, Srikandi turut menubuhkan tabung ‘hibah abah’ dan diedarkan kepada lebih 400 perwakilan yang menghadiri perhimpunan itu sebagai solidariti bagi membantu Muhyiddin yang didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa.

    Hari  ini, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta. – BERNAMA