Tag: SPRM

  • Bersatu hantar surat kepada SPRM mohon pembekuan akaun dibatalkan, kata Muhyiddin

    Bersatu hantar surat kepada SPRM mohon pembekuan akaun dibatalkan, kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk memohon supaya pembekuan akaun parti itu dapat dibatalkan.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, meskipun siasatan masih dijalankan ketika ini, namun, sekiranya tiada sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa selepas disemak SPRM, akaun parti itu tidak perlu dibekukan.

    Berikut kenyataan penuh beliau semasa sidang media selepas menghadiri pemukiman ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di ibu negara hari ini:

    Merujuk kepada akaun bank Bersatu yang dibekukan. Saya nak ulangi penegasan saya bahawa Bersatu tidak menerima sebarang wang daripada dana pakej wang rangsangan ekonomi bernilai RM92.5 bilion seperti didakwa sesetengah pihak itu yang pertamanya.

    Pada masa ini SPRM telahpun memperolehi penyata kewangan dan sebenarnya dokumen-dokumen berkenaan dengan kewangan Bersatu yang berkaitan dan saya percaya siasatan SPRM yang dijalankan secara profesional akan membersihkan nama Bersatu.

    Saya juga ingin menegaskan bahawa dasar yang telah ditetapkan oleh bersatu ialah setiap sumbangan kepada parti mesti dimasukkan ke dalam akaun parti. Tidak ada sumbangan dana politik dimasukkan ke dalam akaun peribadi saya ataupun pegawai-pegawai dalam parti saya atau mana-mana organisasi yang mempunyai kepentingan di mana saya mempunyai kepentingan. Ada yayasan yang saya taja dan sebagainya langsung tidak ada.

    Dan saya tahu bahawa SPRM telah pergi untuk buat siasatan kepada badan-badan seperti itu termasuk parti Bersatu bahagian Pagoh, tiada kat sini dia pergi sana itu tidak apalah itu tugas dia.

    Selain itu saya ingin menegaskan, ini juga telah disemak oleh SPRM, saya percaya siasatan ke atas penyata akaun Bersatu akan mendapati tidak ada wang berbilion ringgit dalam akaun parti. Kalau ada itu pelik juga lah.kaya raya lah kita tak ada,itu telahpun diselesaikan.

    Malahan kita telahpun serahkan juga beberapa akaun yang telah diaudit yang telah pun dibentangkan dalam perhimpunan agung parti kita, iaitu akaun 2020 sudah audit dan penyataan oleh pengaudit tidak ada apa-apa perkara luar biasa, semuanya betul.

    Tahun 2021 akaun dah ditutup dan diaudit, dan penyataan tegas dan jelas menyatakan tiada apa-apa luar biasa bermakna dia telah teratur.

    Akaun 2022 juga akan kita bentang pada perhimpunan agung kita bulan Mac depan. Harapan kita juruaudit kita boleh buat kerja untuk menyelesaikan perkara itu dengan adanya kerjasama oleh pihak SPRM. Mereka dah ambil dokumen tadi macamana nak buat pengauditan, Jikalau itu kita dapat maka kita akan bentang juga bermakna itu semua berlaku dengan teratur mengikut kehendak-kehendak oleh pendaftar pertubuhan dan prosedur berkaitan auditan akaun-akaun pertubuhan sepertimana yang ada dalam Bersatu.

    Jumlah wang yang masuk ke akaun parti dan jumlah baki wang dalam akaun bersatu sebelum dibekukan semuanya adalah dalam pengetahuan SPRM.

    Saya yakin bahawa rekod keluar masuk wang dalam akaun Bersatu adalah teratur daripada sumber yang sah di sisi undang-undang.

    Justeru Bersatu telah menulis dan kita akan hantar surat hari ini kepada pihak SPRM supaya perintah pembekuan akaun Bersatu ini dapat dibatalkan. Dan bila akaun dibekukan, kami sebagai pertubuhan politik yang besar ini tidak ada duitlah nak membayar gaji pentadbiran bukan sahaja untuk sebulan tetapi sepanjang masa.Kalau sekarangni dia kata untuk tiga bulan, tiga bulan itu susah kalau pegawai saya tiada gaji nak bayar pinjaman tak boleh, nak bayar sewa tidak ada, itu membawa kesan kepada kelicinan pentadbiran parti dan juga peranan kita sebagai parti yang penting dalam negara dalam Perikatan Nasional.

    Jadi sebab itu kita minta supaya seboleh mungkin selepas sudah disemak bila parti memang tiada bentuk penyelewengan, salah guna kuasa, wang masuk dalam akaun individu maka SPRM harus segerakan buat keputusan agar dapat dibatalkan.

    Ini adalah penting supaya pentadbiran parti bersatu dapat berjalan secara lancar termasuk pembayaran gaji pekerja dan lain-lain komitmen kewangan Bersatu dapat dilunaskan mengikut jadual.

    Bersatu juga memerlukan dana untuk membiayai kempen pilihan raya bagi enam buah negeri yang akan berlangsung dalam tempoh tidak beberapa lama lagi.

    Janganlah pembekuan akaun Bersatu ini menjadi motif sebenar pihak kerajaan PH-BN untuk melumpuhkan jentera Bersatu dan Perikatan Nasional dalam PRN yang akan datang.

    Ini saya jelaskan pasal ada orang kata ini motifnya politik jadi kalau langkah begini diambil maka ia tentu menghalang apa sahaja usaha dibuat untuk terlibat dalam aktiviti pilihan raya, bantu rakan-rakan dalam Perikatan Nasional dan sebagainya.

    Saya percaya SPRM akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional dan saya memberikan jaminan bahawa Bersatu akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan.

  • ‘Sedekah’ pengundi: SPRM kenal pasti 90 individu, rakam keterangan

    ‘Sedekah’ pengundi: SPRM kenal pasti 90 individu, rakam keterangan


    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti kira-kira 90 individu yang didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti politik pada pilihan raya umum ke-15.

    Malaysiakini yang memetik sumber daripada agensi itu, ia bagi membantu siasatan berhubung video tular yang menunjukkan orang ramai dikatakan menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran daripada Pas bagi tujuan mengundi.

    Menurut sumber yang rapat dengan siasatan itu, setakat ini, SPRM telah berjaya menjejaki hampir separuh daripada 90 individu tersebut dan mereka telah dipanggil untuk memberi keterangan.

    “Lelaki dalam video yang memberikan wang tunai kepada pengundi itu juga telah dipanggil untuk disoal siasat.

    “Sekarang SPRM sedang berusaha untuk memanggil seberapa ramai saksi bagi membantu siasatan. Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 90 penerima dikenal pasti (telah menerima wang tunai).

    “Ada sedikit kesukaran untuk mencari mereka kerana tidak semua mereka menetap di Terengganu. Ramai yang terlibat adalah pengundi luar,” kata sumber itu.

    Terima duit, angkat sumpah

    Katanya, siasatan dijangka dapat diselesaikan dalam masa kira-kira dua minggu.

    Tambahnya, SPRM berjaya mengenal pasti penerima wang tunai berdasarkan dokumen yang dirampas semasa siasatan.

    Ia termasuk dokumen yang perlu ditandatangani oleh penerima apabila mereka ingin mengutip wang berkenaan, selain perlu mengangkat sumpah.

    Selepas berakhirnya PRU 15 pada November lalu, timbul dakwaan di media sosial bahawa PAS telah memberi wang kepada pengundi.

    Pengarah pilihan raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun menafikan perkara itu.

    Sanusi berkata dakwaan itu merupakan helah daripada musuh politik untuk memburuk-burukkan Pas dan parti Islam itu tidak mempunyai dana untuk membayar pengundi.

    Pada Januari lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan mengagihkan wang tunai kepada pengundi.

    Beliau dilaporkan memberitahu media di Terengganu bahawa peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

    Bagaimanapun Abdul Hadi berkata undang-undang tidak menghalang orang ramai daripada “bersedekah”.

  • Pembekuan akaun Bersatu hanya babitkan Pusat, kata Ahli MPT

    Pembekuan akaun Bersatu hanya babitkan Pusat, kata Ahli MPT

    PEMBEKUAN akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya membabitkan akaun di peringkat Pusat, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, Datuk Razali Idris.

    Beliau berkata, akaun bank milik parti di peringkat negeri masih aktif, walaupun pembekuan di peringkat Pusat diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Setakat ini, kita dimaklumkan Ketua Badan Pimpinan BERSATU di seluruh negara yang akaun bank milik parti di peringkat negeri masih aktif dan tidak terbabit dengan pembekuan.

    “Kita juga sudah melakukan semakan, akaun milik BERSATU negeri juga masih aktif,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai tindakan pembekuan akaun bank di peringkat Pusat oleh SPRM.

    Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu.

    Azam dilaporkan berkata, akaun milik Bersatu dibekukan untuk membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut mengesahkan akaun-akaun parti itu dibekukan oleh SPRM.

    Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, SPRM juga diminta turut melakukan siasatan akaun bank milik DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Barisan Nasional (BN).

    Katanya, parti itu juga berbelanja mewah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Kita di peringkat negeri tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak untuk berbelanja besar, tetapi kita dimaklumkan parti berkenaan berbelanja mewah sepanjang kempen pada PRU15,” katanya, lapor Berita Harian.

  • SPRM sahkan beku akaun Parti Bersatu

    SPRM sahkan beku akaun Parti Bersatu

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau berkata, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut.

    Menurutnya, ia juga bagi menyiasat beberapa sumbangan yang ditafsir sebagai suapan atau rasuah melibatkan parti tersebut.

    “Kita membekukan bagi membolehkan siasatan dijalankan yang kita klasifikasikan wang diterima secara rasuah atau ditafsir sebagai suapan.

    “Pembekuan itu dibuat sehingga siasatan selesai,” katanya kepada Astro AWANI.

    Difahamkan, pembekuan akaun Bersatu itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

    Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan COVID-19 daripada Kementerian Kewangan.

    SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

  • Dua lelaki ditahan SPRM bantu siasatan tuntutan palsu RM20.3 juta

    Dua lelaki ditahan SPRM bantu siasatan tuntutan palsu RM20.3 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki terdiri daripada pengarah dan pemilik dua syarikat berbeza bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran penternakan lembu tenusu di bawah program projek permulaan (EPP) 13 Kluster Tenusu, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM20.3 juta pada 2015.

    Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia 51 dan 52 tahun itu ditahan di dua lokasi berbeza hari ini.

    Katanya, pengarah syarikat berkenaan berusia 51 tahun terlebih dulu ditahan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 1 tengah hari.

    “Pemilik syarikat berusia 52 tahun itu pula ditahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Simpang Renggam, Johor kira-kira pukul 3 petang.

    “Kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Difahamkan pada 2015, beberapa syarikat disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran projek tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar tanpa membuat sebarang pembekalan.

    Sumber itu menambah, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

    “Ketika ini SPRM sedang giat mengesan saksi dan mengambil keterangan individu dipercayai terlibat.

    “Siasatan masih diteruskan bagi mengesan lain-lain individu yang mungkin terlibat dalam kes tersebut,” katanya.

  • Isu Menara KL: SPRM tahan dua datuk

    Isu Menara KL: SPRM tahan dua datuk

    DUA pengarah kanan syarikat bergelar ‘Datuk’ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

    Kedua-dua mereka berusia antara 49 dan 59 tahun ditahan petang tadi di Ibu Pejabat SPRM.

    Memetik laporan Berita Harian (BH), difahamkan, seorang yang ditahan ialah pengarah urusan syarikat yang didakwa terbabit mengambil alih saham Syarikat Menara KL.

    Seorang lagi pula ialah ahli perniagaan yang dipercayai menjadi ‘orang tengah’ dalam urusan pengambilalihan syarikat itu.

    Menurut sumber kepada BH, siasatan mendapati antara habuan yang diperolehi permintaan wang rasuah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah.

    Itu dikatakan hadiah kepada ‘orang atasan’ untuk membantu pengambilalihan itu.

    BH difahamkan, beberapa saksi termasuk pegawai kanan Telekom Malaysia (TM), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Digital, serta syarikat tertentu sudah diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Beliau enggan mengulas lanjut dan menasihati semua pihak agar tidak menimbulkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan SPRM.

    BH sebelum ini melaporkan, SPRM sudah memulakan siasatan berhubung isu pengambilalihan pengurusan Menara KL, yang didedahkan di media sosial.

    Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoal keputusan TM melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

    Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

  • SPRM ‘lawat’ Kementerian Komunikasi isu jual Menara KL

    SPRM ‘lawat’ Kementerian Komunikasi isu jual Menara KL

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkunjung ke pejabat Kementerian Komunikasi dan Digital di Putrajaya.

    Lawatan itu difahamkan susulan tindakan Telekom Malaysia (TM) melepaskan kawalan Menara Kuala Lumpur, lokasi tumpuan pelancong yang menguntungkan, kepada sebuah syarikat yang kurang dikenali.

    Malaysiakini yang memetik sumber, SPRM mendapatkan dokumen berkaitan pemindahan saham dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd.

    “Beberapa pegawai kementerian juga ditemu bual,” kata sumber yang enggan identitinya didedahkan.

    Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas kementerian dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkaitan perkara itu.

    SPRM semalam memulakan siasatan terhadap isu penjualan 10 juta unit saham TM dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan Menara KL.

    SPRM menyiasat jika wujud unsur rasuah dalam penjualan 100 peratus sahamnya itu pada Oktober lalu.

    Minggu ini, isu penjualan saham itu didedahkan dan dipertikai di media sosial kerana syarikat itu sangat menguntungkan dan pembelinya yang tidak dikenali.

    TM memberi alasan mahu menumpukan kepada perniagaan teras iaitu perkhidmatan telekomunikasi.

    Menteri bertanggungjawab sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tiada kena mengena dengan pemindahan saham itu kerana syarikat tersenarai awam dan tidak memerlukan kebenaran menteri untuk berbuat demikian.

  • Saya dah ‘cerita’ pada SPRM, kata Annuar berkait dakwaan dana diberi Muhyiddin

    Saya dah ‘cerita’ pada SPRM, kata Annuar berkait dakwaan dana diberi Muhyiddin

    TAN Sri Annuar Musa mengesahkan beliau sudah dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu berkait dakwaan jutaan ringgit diserahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) l, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada UMNO pada pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dua tahun lalu.

    “Saya sudah memberi penjelasan kepada SPRM ‘cerita sebenar’ berhubung dakwaan itu. Saya sudah memberi kenyataan kepada SPRM minggu lepas.

    “Bila SPRM panggil saya untuk beri keterangan saya sangat suka hati dan saya beritahu semua jalan cerita sebenarnya yang telah saya lalui, saya ucap terima kasih dan akan terus beri kerjasama kepada SPRM, itu tanggungjawab saya,” katanya pada sidang media di pejabat Muafakat Nasional, lapor Free Malaysia Today (FMT).

  • Siasatan dana RM600b: SPRM panggil Muhyiddin, Khairy, Zafrul

    Siasatan dana RM600b: SPRM panggil Muhyiddin, Khairy, Zafrul

    TAN Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik COVID-19.

    Muhyiddin, Tengku Zafrul dan KJ dijangka dipanggil SPRM.

    Siasatan itu dijalankan SPRM susulan laporan yang diterima daripada beberapa pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik itu melanda negara mulai 2020.

    Ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan.

    Khairy yang juga Menteri Sains dan Teknologi pada permulaan pentadbiran Muhyiddin, kemudiannya bertukar portfolio itu dengan Datuk Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

    Laporan portal berita The Vibes yang memetik blog Datuk Ahirudin Attan atau dikenali sebagai RockyBru, Tengku Zafrul dipanggil SPRM berikutan beliau adalah Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional bagi menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020.

    “Ada pihak memberitahu saya bahawa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin yang menjadikan Tengku Zafrul seorang Senator dan Menteri Kewangan pada 2020, juga akan dipanggil oleh badan antirasuah itu.

    “Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga akan diminta membantu siasatan. Beliau memegang jawatan itu sejak Ogos 2021 dan di bawah Muhyiddin, beliau memegang portfolio Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,” katanya.

    Sementara itu, Berita Harian menghubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk mengesahkan perkara itu, namun tiada maklum balas setakat ini.

    Media semalam melaporkan, Azam mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion yang dilakukan kerajaan terdahulu.

    Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

  • Isu dana RM600b: SPRM buka kertas siasatan

    Isu dana RM600b: SPRM buka kertas siasatan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan perkara itu namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung siasatan yang sedang dilaksanakan agensi berkenaan. 

    “Ya, SPRM ada membuka kertas siasatan berhubung isu ini,” katanya ringkas. 

    Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu. 

    Menurut Anwar, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.

    Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini. – BERNAMA