Tag: SPRM

  • Wanita mengaku tak bersalah palsukan dokumen bernilai RM150,000

    Wanita mengaku tak bersalah palsukan dokumen bernilai RM150,000

    SEORANG wanita dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan permohonan dana sebanyak RM150,000 pada sembilan tahun lalu.

    Bagaimanapun tertuduh, Sarah Diana Michele Durai, 44 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jason Juga.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai pegawai perhubungan perniagaan di WK Consortium Sdn Bhd menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen.

    Dokumen yang dimaksudkan ialah Surat Tawaran Kerja-kerja Projek Membersih Kawasan Kem Lok Kawi yang dituduh digunakan bagi tempoh kontrak dari 1 April 2014 hingga 1 April 2015.

    Pada 21 Mac 2014, tertuduh yang juga pemilik syarikat kekal bersama SZ Enterprise itu mengemukakan dokumen tersebut atas nama syarikatnya kepada Pejabat MARA Negeri Sabah bagi tujuan memohon pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress bernilai RM150,000.

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

    Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh hingga dua tahun, atau didenda, atau kedua-duanya.

    Tertuduh yang diwakili peguam Sylvester Kuan memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 daripada RM15,000 yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan deposit RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.

    Menurut laporan Astro AWANI, tertuduh juga dikehendaki melapor diri setiap dua bulan sekali di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dan diarah menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.

    Mahkamah memutuskan 12 April ini bagi pengurusan kes.

  • SPRM kaji semula dakwaan seleweng wang zakat MAINS

    SPRM kaji semula dakwaan seleweng wang zakat MAINS

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.

    Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya, dan arahan telah dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit.

    “SPRM ingin menjelaskan bahawa kes berkenaan telah pun dibuka dan disiasat pada 2019, dengan fokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 9 Feb lepas, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dilaporkan berkata, siasatan berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan MAINS Zakat Sdn Bhd tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    MAINS juga dilaporkan turut mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial, berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

    Sebelum ini, tular di aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan tersebut. – BERNAMA

  • Dipercayai terima suapan ejen pengurusan jenazah, Penolong Pegawai Perubatan direman

    Dipercayai terima suapan ejen pengurusan jenazah, Penolong Pegawai Perubatan direman

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki berusia 57 tahun kerana disyaki meminta dan menerima suapan sebanyak RM17,859 daripada ejen-ejen pengurusan jenazah bagi mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di sebuah hospital, di Temerloh.

    Memetik laporan Astro AWANI, lelaki itu yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan di Unit Perubatan Forensik di sebuah hospital telah ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Temerloh, semalam.

    Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 Febuari 2023 bagi membantu siasatan berkaitan kes terbabit.

    Dia yang berpakaian lokap SPRM berwarna jingga tiba di perkarangan mahkamah sekitar pukul 11.30 pagi tadi.

    Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohamed Shah Reza Noot Azman bagi membantu siasatan mengikut peruntukan Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Berdasarkan sumber, suspek dipercayai telah menerima suapan sebanyak RM17,859.00 sekitar tahun 2021 hingga 2022.

  • Semua terima sumbangan, tiada parti boleh hidup sendiri, kata Mohd Amar

    Semua terima sumbangan, tiada parti boleh hidup sendiri, kata Mohd Amar

    NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu bersikap terbuka dan sedia memberi kerjasama sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menyiasat akaun parti berkenaan.

    Menurut beliau, SPRM boleh menyiasat Pas sekiranya ada keperluan.

    “Namun kita berharap segala tindakan sama ada daripada SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bersifat politik dan memilih.

    “Kalau bercakap soal duit, semua parti menerima sumbangan. Tiada parti yang boleh hidup dengan sendiri.

    “Jadi kalau nak siasat, siasat semua dan sekiranya terdapat salah laku, boleh ambil tindakan,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Pas memang bersikap terbuka sejak dahulu berhubung perkara itu.

    Bagaimanapun katanya, ia menjadi sukar dan masalah buat parti tertentu sekiranya akaun dibekukan memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin dekat.

    “Apa yang saya lihat, kerajaan hari ini seolah-olah mahu membalas dendam terhadap Perikatan Nasional (PN),” katanya

    Media sebelum ini melaporkan, beberapa akaun milik Bersatu masih lagi dibekukan.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan masih berjalan dan pembekuan akaun belum dibatalkan.

    Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah simpanan dalam akaun yang dibekukan SPRM kerana pegawai penyiasat masih dalam proses melaksanakan tugas.

  • Lagi desakan siasat akaun PH dan BN

    Lagi desakan siasat akaun PH dan BN

    Oleh BADLISHAH MAT

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat secara terbuka berhubung dakwaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang berbelanja mewah ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, pihaknya mempunyai banyak bukti berhubung dakwaan tersebut yang menimbulkan pelbagai keraguan.

    Katanya, SPRM perlu menjalankan siasatan telus dan tidak mengikut telunjuk parti politik tertentu.

    “Seperti kita tahu, baru-baru ini berlaku siasatan terhadap Bersatu yang mana akaun dibekukan kerana dakwaan tidak berasas konon kita terima dana tak betul untuk kempen PRU15. Kita minta SPRM jangan hanya siasat akaun Bersatu, Pas dan Gerakan sahaja.

    “Siasat juga akaun PH dan BN. Jangan hanya dakwaan dan siasatan terpilih untuk memenuhi selera politik pimpinan atau parti politik tertentu menjadikan Bersatu mangsa kepada politik kotor,” katanya selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Kedah di Alor Setar hari ini.

    Tambahnya, pemimpin PH dan BN berbelanja besar apabila mampu mengadakan papan iklan, memberi cabutan bertuah kepada pengundi serta menggunakan helikopter sepanjang berkempen.

    “Sedangkan kita tahu syarat atau kelayakan bagi kerusi Parlimen seorang calon boleh berbelanja tidak lebih RM200,000. Saya buat laporan ini agar SPRM siasat secara telus dan adil kepada parti yang disebut termasuk Ahli Parlimen, ejen pilihan raya atau mana-mana orang lain bagi pihaknya.

    “Itu termasuk struktur organisasi parti sama ada berlaku transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau rasuah semasa tempoh PRU15.

    “Sebelum ini juga media pernah melaporkan bahan kempen yang diguna oleh kedua-dua parti ini sangat mencurigakan apabila mampu menyewa papan iklan di lebuh raya, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan helikopter semasa berkempen, serta ada cabutan bertuah dengan hadiah yang mewah dan mahal,” katanya.

    Tambah Khairul Anuar, SPRM juga perlu menyiasat Anwar serta anaknya, Nurul Izzah yang dilaporkan tidak mengambil gaji bulanan.

    “Kedua-dua laporan tersebut menimbulkan persoalan bagaimana anak beranak ini menyara kehidupan atau adakah mereka menerima dana daripada sumber yang rahsia,” katanya.

  • Rasuah tukar sampel air kencing: Kakitangan makmal direman seminggu

    Rasuah tukar sampel air kencing: Kakitangan makmal direman seminggu

    SEORANG kakitangan makmal perubatan sebuah hospital kerajaan di Johor direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM20,000.

    Memetik laporan Berita Harian, perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurzihan Rehman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Suspek lelaki berusia 51 tahun itu direman seminggu bermula hari ini hingga 14 Februari ini.

    Semalam, SPRM cawangan Segamat menahan suspek di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira jam 8.30 pagi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, suspek yang bertugas di sebuah makmal perubatan telah meminta dan menerima wang rasuah daripada pemilik-pemilik sampel air kencing bagi pengesanan kandungan dadah sebagai balasan untuk menukar keputusan sampel air kencing itu.

    Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias yang mengesahkan penahanan itu berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

  • Tuntutan palsu lebih RM100,000, kakitangan sekolah direman 3 hari

    Tuntutan palsu lebih RM100,000, kakitangan sekolah direman 3 hari

    SEORANG kakitangan di sebuah sekolah di Johor yang ditahan semalam bagi membantu siasatan disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000, direman tiga hari bermula hari ini.

    Perintah reman hingga 9 Feb terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret R.Salini di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ia bagi membolehkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Semalam, SPRM Cawangan Batu Pahat menahan individu itu di pejabat SPRM di Johor Bahru pada 5 petang selepas hadir memberikan keterangan.

    Menurut sumber, pada 2021, individu itu menyediakan dokumen atas nama sebuah syarikat bagi menuntut bayaran kerja pembekalan modul bahan pengajaran dan pembelajaran untuk kegunaan pelajar sekolah itu bagaimanapun kerja pembekalan itu didapati tidak dilaksanakan. – BERNAMA

  • Dari RM600 bilion turun jadi RM300 juta, Anwar bohong lagi?

    Dari RM600 bilion turun jadi RM300 juta, Anwar bohong lagi?

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘berbohong’ berhubung kenyataannya tidak campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Bersatu, sedangkan tuduhan angka yang didakwa diseleweng semakin berubah-ubah daripada RM600 bilion kepada RM300 juta.

    Wan Saiful menegaskan, Bersatu telus apabila mengisyhtiharkan akaun parti setiap tahun dan telahpun mendedahkan dokumen itu untuk akses umum.

    Bagaimanapun katanya, beliau pelik dakwaan Anwar yang mengatakan Bersatu seleweng RM600 bilion kini berubah menjadi RM300 juta sekali gus membuktikan campur tangan politik berlaku.

    “Kita melihat ada campur tangan politik berlaku. Walaupun PM kata tidak ada sebarang campur tangan oleh kerajaan, bagi saya ini satu penipuan yang dilakukan oleh kerajaan penipu ini.

    “Pertama, dia tuduh kita mencuri RM600 bilion. Bila tahu angka dia salah, dia turun jadi RM92.5 bilion. Bila dia tahu angka itu pun salah, dia turun konon-konon ada RM4.5 bilion. Bila Bersatu dedahkan akaun parti yang setiap tahun kita isytihar, dapat diketahui setahun lebih kurang RM150 juta yang kita terima. Tiba-tiba ada dakwaan lagi ada RM300 juta kononnya.

    “Saya cabar Anwar Ibrahim dedahkan dari mana dia dapat angka ini sebab kalau tidak, ternyata satu penipuan oleh kerajaan penipu ini,” katanya, lapor BeritaBersatu.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan nelayan bersama Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, di Jeti Nelayan Padang Benggali, kelmarin..

    Tiga hari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak pernah mengarahkan SPRM membekukan akaun Bersatu.

    Pada 5 Disember tahun lalu, Anwar dilaporkan berkata terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

    Pada sidang medianya, Anwar berkata agensi itu bertindak bebas dalam tindakan membekukan akaun Bersatu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menegaskan kerajaan yang dipimpin Anwar tidak sepatutnya mempengaruhi SPRM.

    Ini kerana, katanya, SPRM adalah sebuah badan bebas yang dihormati rakyat.

    Membuktikan campur tangan politik berlaku, Wan Saiful berkata ketika ini yang disiasat hanyalah Bersatu.

    “Jadi ini campur tangan politik yang tidak sepatutnya berlaku ke atas sebuah badan bebas yang dihormati oleh rakyat seperti SPRM.

    “Sekiranya tiada campur tangan politik, sudah pasti semua parti yang menyertai PRU15 akan disemak oleh pihak berkuasa. Tapi apabila hanya Bersatu sahaja menjadi sasaran, sudah pasti timbul persoalan kenapa siasatan begitu spesifik terhadap satu parti sahaja dan bukan semua?” soalnya.

  • Segera tamatkan siasatan akaun Bersatu, kata Wan Saiful

    Segera tamatkan siasatan akaun Bersatu, kata Wan Saiful

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyegerakan siasatan akaun Bersatu supaya gerak kerja dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak terganggu.

    Wan Saiful berkata, permohonan sudah dibuat melalui satu surat yang dihantar kepada SPRM melalui peguam yang dilantik Bersatu.

    “Kita (Bersatu) yakin kita tidak bersalah dan walaupun siasatan selesai, tiada apa yang akan berlaku kerana akaun kita bersih.

    “Masalah utama sekarang adalah pembekuan akaun. Kita sudah tulis kepada SPRM dan memohon siasatan disegerakan serta ditamatkan supaya kita boleh jalankan kerja parti seperti biasa,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan nelayan bersama Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, di Jeti Nelayan Padang Benggali, di Tasek Gelugor, hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, Bersatu memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan badan itu.

    Ujarnya, pegawai parti termasuk dirinya juga sudah dipanggil SPRM bagi memberi keterangan.

    “Kita beri kerjasama sepenuhnya kerana kita yakin, lebih cepat siasatan selesai, lebih cepat kita dibuktikan tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya.

    Sementara itu, Wan Saiful berkata, tindakan membekukan akaun parti itu turut menampakkan kecacatan demokrasi dan dilihat seolah-olah dibuat ekoran kebimbangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan kemaraan Perikatan Nasional (PN).

    Beliau berkata, PN dijangka menang besar di lima negeri dan menawan banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada PRN akan datang.

    Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu.

    Azam dilaporkan berkata, akaun milik Bersatu dibekukan untuk membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

  • Siasat pihak kutip dana PRU guna akaun peribadi: Pas sindir Isham

    Siasat pihak kutip dana PRU guna akaun peribadi: Pas sindir Isham

    KETUA Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pihak yang mengutip derma pilihan raya, tetapi menggunakan akaun peribadi sendiri.

    Tanpa merujuk kepada mana-mana parti atau pemimpin berkenaan, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu juga tidak membantah sekiranya SPRM turut menyiasat akaun bank PAS.

    “Boleh, dialu-alukan untuk siasatan (akaun bank Pas),” katanya dalam satu kenyataan, lapor Agenda Daily.

    Beliau dipercayai mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isham Jalil yang mengalu-alukan tindakan SPRM menyiasat sumber dana parti Bersatu, termasuk membekukan akaun bank.

    Isham dalam kenyataan dipetik daripada laporan NST berkata agensi anti rasuah itu juga perlu menyiasat dana sekutu rapat Bersatu, Pas.

    Beliau yang tidak terkejut dengan pembekuan akaun bank Bersatu berkata, SPRM juga perlu meneliti akaun PAS dan penglibatan parti itu dalam penyalahgunaan dana Covid-19 sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.

    “Memang bagus…tetapi saya harap SPRM tidak akan berhenti bersama Bersatu… saya tertanya-tanya bila pula giliran Pas,” kata Isham.

    Bagaimanapun, kenyataan Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkaitan kutipan derma pilihan raya, tetapi menggunakan akaun peribadi sendiri itu, dipercayai merujuk kepada Isham.

    “Cumanya, apa kata kita mulakan dengan orang yang lancarkan derma pilihan raya tapi menggunakan akaun peribadi?

    “Lebih teruk lagi, orang jenis ini pula yang beria-ia menyuruh siasat akaun parti lain.

    “Atau pada hakikatnya, sudah tiada air muka lagi untuk dijaga…?” kata Ahmad Fadhli.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, Isham yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Shah Alam melancarkan kutipan dana pilihan raya menggunakan akaun peribadi.

    Bagaimanapun, tindakan Isham itu mendapat perhatian daripada Twitter apabila akaunnya digantung.