Tag: SPRM

  • Tiga direman SPRM kes seleweng perjanjian sukuk RM596 juta

    Tiga direman SPRM kes seleweng perjanjian sukuk RM596 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dalam perjanjian sukuk bernilai RM596 juta bagi melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

    Memetik laporan Berita Harian, kesemua suspek lelaki yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

    Bagaimanapun, hanya tiga daripada empat suspek berkenaan direman tiga hari bermula hari ini hingga 17 Mac manakala seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.

    Ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM untuk reman suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

    Menurut sumber, semua suspek terbabit adalah Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan dan seorang pemegang saham bagi tiga syarikat terbabit secara langsung dalam membangunkan sistem berkenaan.

    “Sukuk itu diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan dan hasil projek berkenaan perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang ditetapkan.

    “Namun, akaun khas ini kemudiannya ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022 disyaki bagi mengelakkan daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang-pemegang sukuk,” kata sumber itu.

    Difahamkan, perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat yang dilantik sudah dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun.

    Sukuk ini dijadual mencapai tempoh matang pada Mei 2023.

    Tindakan membenarkan syarikat terbabit untuk mewujudkan satu akaun lain dikatakan akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap pemegang sukuk.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

  • Jana Wibawa: SPRM cekup pasangan didakwa ‘scam’ keluarga sendiri, anak ahli politik

    Jana Wibawa: SPRM cekup pasangan didakwa ‘scam’ keluarga sendiri, anak ahli politik

    SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas program Jana Wibawa membongkar kemelut membabitkan saudara mara seorang ahli politik terkenal.

    Memetik laporan Malaysiakini, sepasang suami isteri dikatakan cuba memperdayakan anak ahli politik berkenaan, yang mempunyai kaitan dengan mereka melalui ikatan perkahwinan salah seorang ahli keluarga, supaya membayar sejumlah RM400,000 sebagai rasuah untuk mengelak daripada ditahan SPRM

    Bercakap dengan syarat enggan dinamakan, seorang pegawai tinggi SPRM mendakwa sepasang suami isteri didakwa menipu ahli keluarga mereka sendiri untuk memberikan sogokan bernilai RM400,000.

    Dakwaan penipuan itu terbongkar apabila SPRM melancarkan siasatan terhadap kontraktor Jana Wibawa yang disyaki mendapatkan projek melalui hubungan dikatakan dengan seorang ahli politik terkemuka.

    Pegawai itu memberitahu Malaysiakini bahawa SPRM dimaklumkan bahawa anak ahli politik itu juga didakwa terbabit.

    Abang ipar keluar RM400,000

    Apabila mengetahui bahawa anak lelaki ahli politik itu berada dalam siasatan suruhanjaya itu, sumber mendakwa bahawa pasangan itu (Suspek 1 dan 2) merangka rancangan dengan tiga yang lain untuk meminta rasuah daripada lelaki itu, mendakwa bahawa mereka boleh menghalang penahanannya.

    Salah seorang rakan sejenayah mereka ialah pegawai SPRM (Suspek 3), yang pernah menjadi sebahagian daripada operasi membanteras rasuah terhadap Jana Wibawa tetapi tidak dalam kedudukan untuk menentukan arah siasatan.

    “Suspek 1 berjumpa dengan anak ahli politik itu dan mendakwa boleh mengatur supaya dia tidak ditahan.

    “Anak lelaki ahli politik itu kemudian dilaporkan pergi kepada abang iparnya, seorang lagi ahli perniagaan yang juga abang kepada Suspek 2, untuk mendapatkan bantuan.

    “Abang ipar (abang kepada Suspek 2) yang mengeluarkan RM400,000 untuk membantu membayar rasuah,” dakwa pegawai itu.

    Menurutnya, wang RM400,000 itu didakwa telah dibayar pada 6 Mac lalu.

    Apabila SPRM mendapat maklumat itu, sumber berkata operasi untuk menahan suspek telah dilancarkan dan sebahagian daripada wang itu ditemui apabila pasukan pencegah rasuah itu menyerbu beberapa premis.

    Pada 9 Mac lalu, SPRM menahan empat suspek termasuk pegawainya yang bersubahat dengan mereka.

    Suspek dalang

    Suspek kelima yang dipercayai oleh SPRM sebagai dalang telah berjaya mengelak daripada ditahan.

    Malaysiakini difahamkan dia telah menghubungi SPRM melalui peguam, menyatakan hasratnya untuk menyerah diri.

    Pegawai itu mendakwa suspek telah cuba memanfaatkan keadaan untuk memerah wang daripada anak ahli politik itu.

    “Pegawai SPRM terbabit tidak bertanggungjawab dalam siasatan. Dia hanya terlibat dalam salah satu operasi,” tambahnya.

    Malaysiakini tidak menyebut nama suspek kerana mereka masih belum didakwa di mahkamah.

    Semalam, Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan suruhanjaya itu menahan empat orang termasuk seorang pegawainya sendiri kerana didakwa meminta dan mengambil rasuah berkaitan siasatan terhadap Jana Wibawa.

    Jana Wibawa, atau Program Penjanaan Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera, diperkenalkan pada November 2020 semasa pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

    Ia merupakan projek rangsangan yang bertujuan memperkasakan kontraktor bumiputera ketika pandemik Covid-19.

  • Selepas diburu SPRM, Datuk Roy serah diri

    Selepas diburu SPRM, Datuk Roy serah diri

    LELAKI dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ kerana didakwa menjadi perancang utama kes rasuah membabitkan program Jana Wibawa sudah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan agensi antirasuah itu.

    Free Malaysia Today memetik sumber berkata, lelaki dikenali sebagai Hussein Nasir, 54, hadir ke pejabat SPRM Kuala Lumpur petang tadi.

    “Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk mendapatkan perintah reman,” kata sumber itu kepada FMT.

    Terdahulu SPRM dalam satu kenyataan hari ini mendedahkan identiti ‘Datuk Roy’ sebagai Mohd. Hussein Mohd. Nasir.

    Lelaki berusia 54 tahun itu beralamat terakhir di RRM Semambu, Kuantan, Pahang.

    Difahamkan, lelaki itu pernah dipenjarakan kerana kesalahan rasuah sebelum ini.

    Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM, ditahan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan ke atas program kontroversi itu.

    Program Jana Wibawa diperkenalkan pada November 2020 oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

  • ‘Tak perlu merusuh seperti zaman Anwar mulakan reformasi dulu’, kata Muhyiddin

    ‘Tak perlu merusuh seperti zaman Anwar mulakan reformasi dulu’, kata Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya tidak akan ada huru-hara atau rusuhan disebabkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) terhadap PN sekarang ini.

    “Kami adalah parti yang aman damai. Kami menyayangi negara ini.

    “Kami tidak mahu mengikut jejak langkah Anwar Ibrahim ketika memulakan hari-hari reformasinya.

    “Ini kerana rakyat sekarang ini sedang menghadapi pelbagai masalah. Merusuh bukan sesuatu yang betul untuk dilakukan,” katanya kepada media selepas keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam ini, lapor Agenda Daily.

    Terdahulu, Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 11.15 pagi bagi memberi keterangan kepada SPRM.

    Kehadiran Muhyiddin bersama Timbalan Presiden Pz, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, serta pemimpin kanan PN dan penyokong diiringi laungan ‘Hidup Rakyat’ sebagai slogan rakyat menentang kezaliman yang dilakukan kerajaan PH-BN.

    Kerajaan PH-BN dianggotai PKR, DAP, AMANAH, UPKO, UMNO, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain, termasuk Bebas.

    SPRM kemudian mengumumkan Muhyiddin ditahan dan akan didakwa di mahkamah esok.

    Mengulas lanjut mengenai kehadiran ratusan penyokong di Ibu Pejabat SPRM pagi tadi, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berkata, penyokong PN malam ini mengadakan solat hajat.

    “Saya rasa esok pun akan ada ramai penyokong yang akan datang ke mahkamah. Tetapi kehadiran mereka itu bukan kerana Muhyiddin, tetapi kerana Perikatan Nasional,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir memberi sokongan.

    Mengenai soal siasat pegawai SPRM ke atas beliau sejak pagi tadi, Muhyiddin berkata ianya mengambil masa kerana cara SPRM menjalankan tugas adalah berhemah, tidak kasar dan saling menghormati.

    “Kita ambil masa untuk melihat satu persatu (soalan dan jawapan)… lepas itu merek buat rekod… lepas itu disemak balik. Kemudian itu barulah kita bersetuju dan kita tandatangani. Jadi sebab itu dia ambil masa.

    “Tapi saya rasa tidak tidak ada tekanan… dan saya amat menghargai kerjasama pihak pegawai SPRM yang telah soal siasat saya pada pagi tadi sampailah ke malam tadi,” katanya.

  • KP SPRM sahkan Muhyiddin didakwa esok, sumber kata ‘banyak pertuduhan’

    KP SPRM sahkan Muhyiddin didakwa esok, sumber kata ‘banyak pertuduhan’

    KETUA Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, mengesahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah esok.

    Setakat laporan ditulis, SPRM masih mengambil keterangan Muhyiddin yang tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pada 11.15 pagi tadi, lapor Bernama.

    Malaysiakini memetik sumber sebagai berkata, Muhyiddin akan menghadapi banyak pertuduhan jenayah di mahkamah di Kuala Lumpur esok.

    Menurut sumber yang dekat dengan siasatan, Presiden Bersatu itu akan didakwa bawah beberapa peruntukan mengikut Akta SPRM.

    Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada agensi antirasuah itu akan menahan Muhyiddin semalaman sebelum membawanya ke mahkamah, kerana pegawai penyiasat masih belum membuat keputusan.

    “Setakat ini saya tidak boleh menyatakan sama ada mereka akan menangkapnya.

    “Mereka akan memutuskannya selepas merakamkan kenyataannya,” kata sumber yang enggan dikenali itu.

    Muhyiddin malam tadi mengesahkan diarahkan SPRM untuk hadir ke ibu pejabatnya, hari ini tetapi tidak memberikan butiran siasatan.

    Bulan lalu, Muhyiddin disiasat berkaitan siasatan terhadap dua akaun bank Bersatu, yang telah dibekukan.

    SPRM membekukan akaun bank berkenaan untuk membantu siasatan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. Kedua-dua akaun itu dilaporkan mempunyai kira-kira RM40 juta.

    Muhyiddin adalah yang individu terbaru dalam siri pertuduhan yang dikenakan terhadap pemimpin Bersatu sejak pertengahan Februari.

    Pada 21 Feb, Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM6.96 juta pada 2022.

    Beberapa pertuduhan turut dikenakan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

    Menurut SPRM, pertuduhan itu berkaitan dengan skim Jana Wibawa, projek rangsangan oleh pentadbiran Muhyiddin ketika itu sebagai sebahagian daripada usaha bantuan wabak Covid-19.

    Perkembangan siasatan kes berkenaan mendapat liputan ramai pengamal media tempatan dan asing, selain penyokong PN yang berkumpul di luar bangunan SPRM sejak tujuh pagi.

  • Muhyiddin dijangka didakwa esok

    Muhyiddin dijangka didakwa esok

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan didakwa esok.

    Menurut Berita Harian, perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

    Menurut sumber, Muhyiddin akan berdepan empat tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Empat tuduhan salah guna kuasa itu dirangka mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikkut Seksyen 24(1) undang-undang sama.

    Mereka yang disabitkan kesalahan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

    Kedua-dua tuduhan pengubahan wang haram itu dirangka mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, bekas perdana menteri itu hadir ke ibu pejabat SPRM pada kira-kira 11 pagi untuk memberikan keterangan.

    Muhyiddin yang semalam menyangkal dakwaan ditahan di padang golf di Selangor, sebelum ini mengesahkan dipanggil SPRM bagi siasatan berhubung projek bawah Jana Wibawa, inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera, diperkenalkan pada November 2020 semasa beliau menjadi perdana menteri.

    Akaun Bersatu dibekukan SPRM sebulan lepas mengikut Amla.

    Bulan lepas, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan didakwa menerima rasuah RM6.9 juta dan meminta suapan dengan jumlah yang tidak dinyatakan berhubung projek jalan raya RM232 juta berkait program Jana Wibawa.

    Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad juga didakwa atas lima tuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung projek melibatkan Jana Wibawa.

    Sementara itu, Bendahari Agung Bersatu Salleh Bajuri dibebaskan oleh SPRM pada 3 Mac selepas dia ditahan dan direman selama dua hari. Menurut sumber, penahanan Salleh berkait siasatan ke atas program Jana Wibawa dan permohonan dalam talian Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN).

    AkuPN ialah inisiatif yang dilancarkan oleh Perikatan Nasional pada 2021 untuk membantu belia mendapatkan pekerjaan, menghadiri program peningkatan kemahiran atau memulakan perniagaan sendiri.

  • “Tujuan mereka hanya satu, untuk melumpuhkan PN”, kata Saifuddin

    “Tujuan mereka hanya satu, untuk melumpuhkan PN”, kata Saifuddin

    SIASATAN berkaitan rasuah terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan parti itu dikatakan akibat dendam.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, sebagai kerajaan yang sepatutnya reformis, tindakan itu seperti dendam politik yang tidak seharusnya berlaku.

    “Tetapi mereka melakukan perbuatan dendam. Tujuan mereka hanya satu, untuk melumpuhkan PN,” katanya kepada media di hadapan Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, perhimpunan tahunan parti berkenaan akan diteruskan.

    “Agenda perhimpunan tahunan sudah ditetapkan, namun bergantung kepada keadaan dan situasi semasa. Kita mungkin buat sedikit perubahan kepada agenda esok,” katanya.

    Beliau turut mengecam tindakan siasatan oleh SPRM yang disifatkan sebagai dendam politik ke atas PN.

    Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dijangka hadir ke ibu pejabat SPRM, 11 pagi ini.

    Beliau yang juga bekas Perdana Menteri dijadual memberi keterangan tetapi beberapa laporan mengatakan Pengerusi PN itu akan didakwa hari ini.

    Siasatan terhadap Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

  • Kes kait MB Selangor, projek pelebaran Sungai Klang diserah kepada SPRM

    Kes kait MB Selangor, projek pelebaran Sungai Klang diserah kepada SPRM

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kes mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ada kaitan dengan sebuah syarikat dianugerahkan tender projek pedalaman dan pelebaran Sungai Klang.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, oleh kerana dakwaan dibuat wakil Perikatan Nasional (PN) itu mengandungi unsur rasuah, maka pihaknya menyerahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

    “Setakat ini hanya satu laporan diterima dan ia dilihat mempunyai elemen rasuah, justeru kes berkenaan diserahkan kepada SPRM,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

    Semalam, PN Selangor menggesa PDRM menyiasat pembabitan Amirudin dengan sebuah syarikat didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri.

    Gesaan itu selepas tular di media sosial mendakwa Amirudin menyalah guna kuasa dan mempunyai konflik kepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.

    Namun semalam, Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin dilaporkan berkata, projek bagi tujuan meningkatkan kapasiti sungai untuk menangani isu pencemaran dan banjir itu, tidak membabitkan suntikan tunai daripada kerajaan Selangor.

    Beliau berkata, kos itu akan dibiayai melalui tanggungan premium tanah yang bakal dibangunkan berjumlah RM117 juta, tanggungan hutang RM54 juta dan selebihnya melalui penerokaan pembiayaan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor).

    Katanya lagi, kertas cadangan mengenai pendalaman serta pelebaran dibawa syarikat itu kepada kerajaan negeri selepas kejadian banjir besar pada 2021 dan anggaran kos projek RM700 juta diperolehi selepas sesi libat urus dengan agensi berkaitan serta pihak perunding.

    Semalam juga, Amirudin menyifatkan laporan polis dibuat PN terhadapnya berhubung ibarat menghantar ‘peluru kapur’, sebagai tindakan untuk menyerang kerajaan negeri pimpinannya, selain seolah-olah mahu menggambarkan bahawa terdapat kepentingan peribadi dalam isu berkait syarikat itu.

    Beliau menjelaskan, kehadirannya dan EXCO Selangor, Izham Hashim dalam syarikat terbabit bukan atas dasar peribadi, sebaliknya mewakili kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri dijamin dengan selesa, tidak terganggu dan tidak terkurang.

  • Lagi penjawat awam ditahan kes rasuah tengah laut

    Lagi penjawat awam ditahan kes rasuah tengah laut

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki berusia 34 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ di laut.

    Sumber memaklumkan, tindakan meminta dan menerima rasuah itu dipercayai sebagai balasan untuk pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

    Difahamkan kegiatan rasuah itu berlaku antara 2015 hingga 2022.

    “Suspek yang ditahan merupakan pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan di Langkawi.

    “Dia ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah, Alor Setar kira-kira pukul 9.30 pagi semalam,” katanya.

    Sumber memaklumkan, penahanan suspek dibuat susulan satu operasi khas dikenali sebagai Op Tunda di Kedah.

    Semalam seramai 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia 26 hingga 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkaitan.

    Sumber itu menambah, suspek terbaharu yang ditahan dibenarkan direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Alor Setar bermula hari ini.

    “Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret, Nurshahida Abd. Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar,” katanya.

    Dalam pada itu Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    “Kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Penolong jurutera JKR direman bantu siasatan terima rasuah lebih RM500,000

    Penolong jurutera JKR direman bantu siasatan terima rasuah lebih RM500,000

    SEORANG penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah berjumlah RM516,325, antara 2018 hingga 2022.

    Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu yang berkhidmat di Bahagian Jalan jabatan tersebut.

    Suapan yang dibuat dalam jumlah RM1,000 hingga RM95,000 itu didakwa sebagai balasan untuk mencadangkan syarikat proksi seorang kontraktor sebagai subkontraktor bagi projek pembaikan cerun dan membantu mendapatkan bayaran tuntutan.

    Lelaki itu ditahan 6.55 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.- BERNAMA