Tag: spr

  • Najib hilang kerusi Parlimen Pekan selepas 14 hari

    Najib hilang kerusi Parlimen Pekan selepas 14 hari

    DATUK Seri Najib Razak akan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan secara automatik selepas 14 hari, bermula hari ini jika tiada sebarang prosedur mahkamah atau pengampunan diraja diterima dalam tempoh berkenaan.

    Memetik laporan Berita Harian, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, ia selaras Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan seseorang individu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 ribu ringgit serta dia mendapat pengampunan bebas.

    Ketika ini, katanya, Parlimen perlu menunggu notis rasmi daripada Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan mengenai hukuman yang dijatuhkan kepada bekas Perdana Menteri itu.

    “Sekarang sudah tiada lagi rayuan kerana hukuman diputuskan di Mahkamah Persekutuan, namun Perkara 48(4)(b) juga ada menyebut jika ada apa-apa prosiding mahkamah lain, maka kedudukan Najib kekal sehingga prosiding itu selesai.

    “Saya perlu meneliti dahulu sama ada prosiding itu termasuk semakan, kerana proses semakan ini ada dalam tatacara mahkamah.

    “Jika termasuk dan Najib memfailkan semakan itu dalam 14 hari, maka kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pekan kekal sehingga prosiding semakan tamat.

    “Pada masa sama, Perkara 48 juga peruntukkan jika dalam 14 hari terdapat permohonan untuk pengampunan diraja, maka kedudukannya kekal sehingga proses pengampunan selesai,” katanya kepada BH, hari ini.

    Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

  • PRN Johor berlangsung pada 12 Mac – SPR

    PRN Johor berlangsung pada 12 Mac – SPR

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SURUHAN Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Februari ini manakala pengundia awal pada 8 Mac.

    Tarikh-tarikh penting tersebut diumumkan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-15 di Pusat Konvensyen Persada, Johor Bahru hari ini.

    Beliau menambah, PRN diadakan bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN, Suhaizan Kayat berhubung pembubaran DUN Johor ke-14 pada 23 Januari lalu,

    Abdul Ghani memberitahu, pelaksanaan PRN adalah seperti yang termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

    Beliau berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac.

    PRN Johor

    Abdul Ghani menjelaskan, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari lalu.

    “Daftar tersebut mengandungi 2,597,742 pengundi terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan, 11,576 anggota polis bersama pasangan serta 376 pengundi tidak hadir luar negara.

    “Bagi urusan permohonan pengundi pos di luar dan dalam negara bermula hari ini. Bagi pengundi luar negara dan sembilan agensi sektor keselamatan, tarikh tutup mengundi pada 18 Februari.

    “Bagi petugas media, pilihan raya, pegawai SPR, polis dan anggota tentera pula tarikh tutup mengundi pada 24 Februari,” ujarnya.

    Bagi permohonan pengundi pos pula, beliau berkata, ia dilaksanakan secara dalam talian melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my.

    “Bagi kelayakan pengundi pos kategori luar negara yang dilaksanakan sebelum ini telah dimansuhkan antaranya ialah bermastautin di luar negara kecuali wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia,” katanya lagi.

    Abdul Ghani berkata, sebanyak 55 pusat penamaan calon (PPC) dan 56 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan, manakala 1,021 pusat mengundi biasa pula mengandungi 4,638 tempat mengundi (saluran) dan 64 pusat mengundi awal menggunakan 82 tempat mengundi.

    Menurut beliau, semua 962 pusat mengundi biasa akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang dan baki 59 pusat dibuka mengikut waktu diwartakan, manakala 29 pusat mengundi awal pula dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang. Baki 26 pusat mengundi awal akan dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang.

    “Seramai 49,290 petugas akan dilantik untuk mengendalikan proses PRN yang dianggarkan menelan belanja sebanyaj RM96 juta,” tambahnya.

  • SOP Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan PRN Melaka

    SOP Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan PRN Melaka

    BERIKUT adalah maklumat tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini:

    • SOP khas ini akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses penjalanan PRN Melaka iaitu taklimat petugas, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.
    • Sepanjang tempoh berkempen, calon atau parti hanya dibenarkan untuk membuka satu Bilik Jawatankuasa (Bilik Gerakan Utama) untuk satu Dewan Undangan Negeri (DUN) dan TIADA Bilik Gerakan Kecil atau tempat perkumpulan lain bagi calon atau parti dibenarkan.
    • Bagi mematuhi penjarakan fizikal, ceramah yang menghimpunkan orang ramai TIDAK DIBENARKAN.
    • Aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan aktiviti walkabout adalah TIDAK DIBENARKAN.
    • Calon boleh memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium dalam talian atau melalui saluran media massa dan media sosial.
    • Calon DIBENARKAN untuk berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu yang ditetapkan dalam permit. Calon perlu mendapatkan permit dari pihak polis. Tempoh masa dan lokasi untuk berkempen adalah tertakluk kepada permit yang diluluskan oleh pihak polis.
    • Kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara TIDAK DIBENARKAN berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah.
    • Calon-calon yang bertanding masih tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
    • Maklumat lanjut berkenaan SOP Pencegahan Covid-19 PRN Melaka boleh diperolehi di portal spr.gov.my.
  • SPR terima 44,321 permohonan pendaftaran pemilih baharu

    SPR terima 44,321 permohonan pendaftaran pemilih baharu

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menerima 44,321 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak bagi tempoh antara 1 April hingga 30 Jun lalu.

    Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, sebanyak 21,567 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar memohon berbuat demikian dalam tempoh sama.

    Untuk itu beliau berkata, SPR akan melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST2/2021 yang mengandungi permohonan pendaftaran pemilih baharu dan pertukaran bahagian pilihan raya pemilih berdaftar itu selama 14 hari mulai 3 hingga 16 Ogos ini di 822 tempat pameran di seluruh negara.

    “Semakan RDPT ST2/2021 boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan seperti berikut, pertama hadir ke 822 tempat pameran di seluruh negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan atau melayari portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri.

    “Selain itu semakan boleh dibuat dengan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan dan menyemak buku RDPT ST2/2021 yang disediakan (sila hubungi PPN untuk janji temu atau maklumat waktu operasi pejabat) atau melayari portal rasmi SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Ikmalrudin, semua pemohon dinasihatkan menyemak nama mereka dalam RDPT ST2/2021 dan sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

    Jelas beliau, bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST2/2021 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

    Beliau menambah, Borang B dan Borang C boleh dimuat turun menerusi portal Pejabat Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.

    “Semasa tempoh Pameran RDPT ST2/2021, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

    “Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST2/2021 boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya.