Tag: spnb

  • Husam sahkan dilantik Pengerusi SPNB

    Husam sahkan dilantik Pengerusi SPNB

    BEKAS naib presiden Amanah Husam Musa mengesahkan pelantikannya sebagai pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang baharu.

    Bagaimanapun bekas exco kanan Kelantan itu enggan mengulas lanjut mengenai pelantikan tersebut buat masa ini.

    “Ambo (saya) belum masuk pejabat lagi, insya-Allah hari Khamis cadangnya. Nanti selepas itu (bagi kenyataan),” katanya ringkas, lapor Malaysiakini.

    Husam berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelantikannya selepas dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

    Terdahulu portal berita tempatan yang memetik sumber turut melaporkan pelantikan Husam.

    Ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 Husam pernah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

    Pada pilihan raya umum lalu Husam dicalonkan PKR untuk mewakili PH di Parlimen Pasir Mas, namun tewas kepada penyandangnya daripada PAS Ahmad Fadhli Shaari.

  • Ahli Parlimen Parit dilantik Pengerusi Bukan Eksekutif SPNB

    Ahli Parlimen Parit dilantik Pengerusi Bukan Eksekutif SPNB

    AHLI Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) yang baharu berkuat kuasa 15 Julai lepas.

    SPNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lantikan Mohd Nizar itu adalah bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha yang telah memegang jawatan itu sejak 2 April, tahun lepas.

    Menurut kenyataan itu, Mohd Nizar memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Utara Malaysia serta Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Institut Agama Islam Negeri Imam Bonjol di Sumatera Barat, Indonesia.

    Selain memegang portfolio sebagai Ahli Parlimen, Mohd Nizar juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Perak, Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, serta Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan Parit.

    “Kami mengalu-alukan pelantikan pengerusi baharu SPNB dalam barisan kepimpinan syarikat dan berharap beliau akan dapat menyuntik semangat untuk SPNB terus mencapai kecemerlangan di masa hadapan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Pengurusan pemilikan rumah PPR diambil alih SPNB tahun ini – Zuraida

    Pengurusan pemilikan rumah PPR diambil alih SPNB tahun ini – Zuraida

    Oleh: Bernama

    PENGURUSAN pemilikan setiap unit rumah bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang baharu serta siap pada tahun ini akan diambil alih oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Beliau berkata perkara itu bagi mempercepatkan serta memudahkan proses pengurusan pemilikan kepada pemohon yang layak dan mereka boleh mendiami kekosongan unit dalam tempoh enam bulan melalui polisi berkenaan.

    Katanya, polisi itu juga bagi menambah baik proses pengurusan pemilikan yang sebelum ini diselia oleh agensi berkaitan di bawah kerajaan negeri.

    “SPNB juga akan memain peranan menguruskan penyelenggaraan serta pemantauan di PPR dan sebagainya untuk kita mengelakkan rumah-rumah ini (PPR) disalah guna oleh pembeli atau penyewa kerana kerajaan telah memberi subsidi bagi setiap unit rumah ini iaitu hampir RM140,000.

    “Jadi sudah tiba masanya, KPKT memastikan bahawa pemilik-pemilik yang layak untuk mendapatkan rumah ini menghargai subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi di PPR Bukit Belah, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Zuraida berkata melalui kaedah itu, ia juga bagi mengelakkan PPR yang telah siap dibina daripada terbiar, tidak terurus, serta menjadi lokasi kegiatan vandalisme dan sebagainya.

    Beliau turut berkata setakat ini, sebanyak 11 PPR baharu telah siap dibina yang membabitkan lebih 40,000 unit rumah, iaitu di Pahang (empat), Kelantan (tiga), Langkawi (dua) dan Johor (dua).

    Sementara itu, mengulas mengenai penyalahgunaan pembeli unit PPR, Zuraida menjelaskan ia merangkumi tindakan pemilik menyewakan rumah mereka kepada orang lain termasuk warga asing.

    “Kebiasaannya perkara ini banyak berlaku di Lembah Klang. Namun, penguatkuasaan sentiasa dijalankan malah apabila adanya pemantauan daripada SPNB, sesiapa yang menyewakan, kita akan pantau dan akan suruh mereka keluar,” katanya.- BERNAMA