Tag: speaker dewan rakyat

  • Speaker ada kuasa penuh tentukan nasib 4 Ahli Parlimen Bersatu – Shamrahayu

    Speaker ada kuasa penuh tentukan nasib 4 Ahli Parlimen Bersatu – Shamrahayu

    KEPUTUSAN sama ada empat Ahli Parlimen Sabah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya terletak di tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

    Berita Harian melaporkan Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, Johari memiliki kuasa penuh untuk membuat keputusan secara bersendirian.

    Katanya, tiada keperluan undang-undang untuk Johari merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, dan semua pihak perlu menghormati serta menerima sebarang keputusan nanti.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Johari perlu merujuk isu tersebut kepada jawatankuasa khas berikutan terdapat kemungkinan keputusannya tidak boleh dicabar di mahkamah.

    Sebelum ini, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpandangan, apa juga keputusan Johari tidak boleh dicabar di mahkamah.

    Ia berikutan klausa keistimewaan Parlimen dalam Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kesahan apa-apa prosiding Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.

    Kelmarin, Johari mengesahkan menerima notis pemakluman daripada Bersatu mengenai kekosongan luar jangka membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah, dan memiliki 21 hari untuk membuat keputusan mengenainya.

    Ia berikutan empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang), mengumumkan keluar Bersatu, namun kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Ditanya mengenai langkah yang boleh dilakukan Bersatu jika tidak bersetuju dengan keputusan Johari, Shamrahayu berpandangan mereka perlu menerima dan menghormati apa juga keputusan yang akan diumumkan.

    “Mereka kena terima apa saja keputusan Speaker kerana Speaker memang ada kuasa untuk menentukan perjalanan urusan Dewan Rakyat.

    “Saya juga berpandangan keputusan nanti tidak boleh dicabar di mahkamah. Apabila Speaker yang diberi kuasa membuat keputusan, maka ia bermakna ini adalah urusan Dewan Rakyat.

    “Mengikut undang-undang, Parlimen ada kuasa penuh terhadap perjalanannya urusannya. Maka, saya juga berpandangan keputusan Speaker membabitkan isu empat Ahli Parlimen Sabah ini tak boleh dicabar di mahkamah,” katanya.

  • Azhar sah kosongkan kerusi Speaker

    Azhar sah kosongkan kerusi Speaker

    TAN Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang 19 Disember depan.

    Beliau berkata, Parlimen yang bakal bersidang akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Rakyat.

    “Mengikut Perlembagaan Persekutuan, saya perlu mengosongkan kerusi pada tengah malam 18 Disember.

    “Jadi tiada Speaker sebelum dewan bersidang jam 10 pagi keesokan harinya,” katanya memetik laporan The Star.

    Jelas Azhar, Setiausaha Dewan Rakyat akan terlebih dahulu memanggil Ahli Parlimen untuk bersidang sebelum proses pemilihan Speaker baharu dibuat.

    “Jika ada satu nama yang dicadangkan, setiausaha akan umumkan Speaker dan jika ada lebih daripada seorang calon, undian akan dibuat,” katanya.

    Azhar yang dilantik sebagai Speaker pada Julai 2020 berkata, nama calon Speaker perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat selewat-lewatnya Isnin selaras dengan keperluan notis 14 hari.

    Ujarnya, sebaik sahaja dipilih, semua ahli Parlimen akan mengangkat sumpah di hadapan Speaker baharu sebelum mempengerusikan pelantikan timbalan Speaker.

    “Undian juga akan diadakan sekiranya lebih daripada satu nama dicadangkan untuk jawatan timbalan Speaker,” katanya.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Parlimen akan bersidang pada 19 Disember depan antaranya akan membuat usul undi percaya terhadap beliau selain usul-usul kerajaan yang lain.

    Pada 20 Disember, Dewan Rakyat dijadual turut bersidang bagi meluluskan mini bajet 2023 untuk pembayaran gaji penjawat awam.

    Ia susulan Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Oktober lalu tidak diluluskan kerana Parlimen dibubarkan tiga hari selepas itu.