Tag: speaker

  • Speaker, pengerusi GLC DAP jarakkan lagi pengundi Melayu, kata penganalisis

    Speaker, pengerusi GLC DAP jarakkan lagi pengundi Melayu, kata penganalisis

    TINDAKAN DAP mencadangkan pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Selangor hanya mengesahkan persepsi yang ditakuti pengundi Melayu bahawa parti itu mendominasi kerajaan negeri, kata penganalisis.

    Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir, langkah itu hanya akan meletakkan DAP dalam kedudukan negatif dan memburukkan lagi imej mereka dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu.

    Katanya, jika diteruskan juga langkah tersebut ia akan memberikan implikasi yang lebih besar sehingga berkemungkinan menyebabkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    “Ini sudah tentu akan menjarakkan lagi orang Melayu, kerana salah satu faktor orang Melayu menolak PH dalam PRU lepas kerana adanya DAP dalam gabungan itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Dan keduanya DAP dianggap musuh orang Melayu jadi ia akan memburukkan keadaan maksudnya memberi implikasi. Kesannya orang Melayu akan semakin benci dan menjarakkan diri mereka dan ini sudah tentu akan dimanifestasikan dalam pilihan raya akan datang.”

    Jeniri mengulas laporan berhubung ketegangan yang berlaku dalam parti-parti gabungan kerajaan Selangor mengenai cadangan pelantikan pemimpin DAP sebagai speaker dan pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) di Selangor.

    Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebelum ini menggesa kerajaan Selangor melantik salah seorang bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu Ean Yong Hian sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), pelabuhan terbesar negara yang diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan yang diterajui Loke sendiri.

    Selain itu, Loke juga menamakan Lau Weng San untuk jawatan speaker, sebagai bentuk pampasan kepada parti itu kerana bersetuju memberi laluan kepada UMNO di kerusi DUN Dusun Tua.

    Mengulas lanjut, Jeniri berkata pelantikan bekas ADUN sebagai pengerusi GLC  turut mencetuskan kontroversi kerana ia bercanggah dengan prinsip DAP sebelum ini yang menolak pelantikan politik dalam GLC.

    “Tapi sekarang mereka sendiri tidak berpegang pada prinsip. Kalau ini boleh berlaku pengundi akan tolak mereka kalau tengok masa PRN pengundi India berkurang 15%.

    “Apatah lagi pengundi Melayu PH yang memikirkan hak dan kepentingan mereka,” katanya.

    Anwar ditunggang DAP?

    Sementara penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Shamsul Amri Baharuddin berkata, di atas kertas, daripada segi bilangan kerusi, memang permintaan DAP itu wajar.

    Katanya, ini memandangkan bilangan ADUN DAP yang menang lebih ramai berbanding komponen parti lain dalam PH dan Barisan Nasional (BN).

    Bagaimanapun beliau mempersoalkan mengapa senario itu tidak berlaku di Negeri Sembilan yang mana sepatutnya BN lebih layak untuk mendapat jawatan tinggi namun terpaksa memberi laluan kepada rakan gabungan lain.

    “Dalam konteks PH memang DAP boleh meminta apa yang mereka fikirkan patut kerana bilangan ADUN mereka terbesar.

    “Tapi di Negeri Sembilan 14 UMNO menang 14 kerusi, DAP 11 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lima kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) satu kerusi tapi mengapa UMNO tak dipilih Menteri Besar atau Speaker,” soalnya.

    Katanya, kesan daripada langkah tersebut hanya akan menebalkan lagi stereotaip bahawa PKR dan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditunggang DAP.

    “Tanpa DAP bahawa PKR tinggal terkontang-kanting dan terapung macam teratai di dalam kolam,” katanya.

    Perpecahan Melayu untungkan DAP

    Sementara penganalisis politik, Ahmad Atory Hussain dari UUM berkata, perpecahan parti Melayu memberi keuntungan kepada DAP.

    “Walaupun DAP kita tengok menang kerusi paling banyak tapi itu hanya dalam PH sahaja. Tapi kalau kita tengok bilangan wakil rakyat dalam DUN Selangor, ADUN Melayu paling banyak.

    “Namun apa berlaku sekarang ini adalah akibat daripada perpecahan parti Melayu. Dan bilangan 15 kerusi dimenangi DAP yang terlihat paling kuat, dan kukuh.

    “Jadi sebab itu mereka boleh buat desakan tersebut. Ia tidak menghairankan,” katanya.

    Tambahnya, tindakan DAP itu juga tidak menggambarkan usaha untuk mengekang imej bahawa parti itu yang mendominasi PH.

    “Imej itu satu hal realiti satu hal lagi. Imej yang mereka bawa tak nak gambarkan PH didominasi DAP.

    “Tapi realiti tak begitu. Macam saya katakan itulah akibatnya daripada perpecahan parti Melayu dan pengundi Melayu sendiri yang memilih PH,” katanya.

  • Persidangan Dewan Rakyat batal selepas pembubaran Parlimen

    Persidangan Dewan Rakyat batal selepas pembubaran Parlimen

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang sebelum ini dijadual bersidang selama 32 hari, dibatalkan selaras dengan pembubaran Parlimen.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata berikutan itu, Persidangan Kamar Khas, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas, turut dibatalkan.

    “Saya telah menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa hari ini (10 Okt) yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalankan kuasa yang diberikan kepada Baginda di bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan Pesekutuan.

    “Justeru urusan selanjutnya akan terletak kepada bidang kuasa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan proses pilihan raya umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan, mengumumkan pembubaran Parlimen dan menyatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

    Perdana Menteri berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang dijadual bersidang selama 32 hari, hanya sempat bersidang selama lima hari bermula 3 Okt, dengan tumpuan kepada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 (Bajet 2023) yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lepas (7 Okt).- BERNAMA