Tag: Sorok dadah

  • Sorok 10 plastik heroin dalam plastik kurier elak dihidu polis

    Sorok 10 plastik heroin dalam plastik kurier elak dihidu polis

    SEORANG penganggur lelaki berusia 30 tahun dita han polis di Kepala Batas, Pulau Pinang Selasa lalu bersama-sama 10 plastik dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram.

    Dadah bernilai RM60,300 itu dijumpai disorok dalam bahagian but kereta jenis Proton Wira yang dinaiki suspek dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari.

    Ketika dijumpai, dadah itu didapati dibungkus menggunakan plastik lutsinar yang kemudiannya diletakkan dalam bungkusan plastik kurier bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika ditahan suspek dipercayai dalam proses untuk menghantar bekalan dadah tersebut kepada ahli sindiket yang lain.

    Beliau berkata, suspek juga dipercayai baru berjinak-jinak dalam kegiatan tersebut memandangkan dia tiada rekod lampau berkaitan dadah

    “Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak kira-kira dua bulan lalu manakala suspek yang ditahan memiliki satu rekod jenayah berkaitan kes melarikan orang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, Kepala Batas hari ini.

    Dalam pada itu, Noorzainy berkata, polis sedang mengesan saki-baki ahli sindiket atau rakan-rakan suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

    “Suspek kini direman selama enam hari sehingga Isnin depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Dua wanita ditahan sorok dadah dalam pakaian dalam

    Dua wanita ditahan sorok dadah dalam pakaian dalam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BAHAGIAN Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan dua wanita warganegara asing yang menyembunyikan dadah dalam bengkung pakaian ditahan di kilometer 37 Jalan Tawau-Semporna, Tawau Rabu lalu.

    Wanita berkenaan masing-masing berusia 38 dan 40 tahun ditahan bersama-sama seorang lelaki tempatan, 48, pada pukul 5.50 pagi.

    Ketika ditahan dua wanita itu menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 2,016.99 gram yang dibungkus dalam bungkusan berwarna coklat.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kesemua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau ketika terserempak dengan kereta dinaiki suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan ke atas dua wanita mendapati terdapat bungkusan berwarna coklat yang disembunyikan di sebalik bengkung yang dipakai mereka.

    “Ada dua bungkusan mengandungi 20 plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

    Tambah Peter, siasatan awal pihaknya mendapati, kesemua dadah itu dibawa masuk ke Tawau untuk diseludup ke negara jiran Indonesia.

    Katanya, kesemua dadah yang ditahan dianggarkan bernilai RM72,720.

    Kes di siasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.