Tag: solat tarawih

  • Tarawih 10 minit: JAIPk siasat, beri teguran

    Tarawih 10 minit: JAIPk siasat, beri teguran

    SUSULAN video tular sekumpulan jemaah menunaikan solat tarawih dengan cepat di sebuah masjid, semalam Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan membuat siasatan lanjut berhubung bacaan imam dalam solat berkenaan.

    Menurut Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim, tindakan lanjut termasuk teguran akan diberikan sekiranya didapati bacaan berkenaan tidak menepati hukum tajwid.

    “Setakat ini belum ada laporan dibuat, namun sekiranya kami dapati bacaan imam tidak menepati hukum tajwid, maka teguran akan diberikan kepada pihak berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Video berdurasi 1 minit 29 saat itu dimuat naik di laman Twitter sejak Jumaat menunjukkan sekumpulan jemaah menunaikan solat tarawih di sebuah masjid di Perak.

    Keadaan itu menjadi pertikaian orang ramai apabila solat lapan rakaat itu didirikan dengan cepat dan hanya selesai dalam tempoh 10 minit.

  • Kubah masjid runtuh, 12 orang cedera di Sulawesi

    Kubah masjid runtuh, 12 orang cedera di Sulawesi

    SEKURANG-kurangnya 12 orang cedera apabila sebahagian kubah masjid di Sulawesi Selatan, Indonesia runtuh.

    Masjid di daerah Ujung Tanah, Makassar yang dibina pada 1993 dilaporkan runtuh ketika ratusan jemaah termasuk kanak-kanak berkumpul untuk menunaikan solat Tarawih.

    Datuk Bandar Makassar Danny Pomanto berkata mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital tentera, pusat kesihatan masyarakat Pattingalloang dan Hospital Akademis Jaury.

    Beliau juga mengarahkan semua pihak berkuasa yang berkaitan memberi sokongan kepada mangsa yang cedera dan mengarahkan penutupan sementara masjid.

    Siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama jabatan kerja awam bandar untuk mengenal pasti punca kejadian, ketua polis Pelabuhan Makassar Yudi Frianto dipetik media sebagai berkata.- BERNAMA

  • Tiada SOP khas untuk solat tarawih – Idris

    Tiada SOP khas untuk solat tarawih – Idris

    KERAJAAN tidak akan membuat sebarang prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk solat tarawih, sebaliknya hanya menggunakan garis panduan sedia ada. 

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata pihaknya juga tidak bercadang membuat sebarang penambahan dalam SOP sedia ada yang sudah disediakan kerajaan sebelum ini. 

    “Tiada SOP khusus untuk solat tarawih, semua solat sama saja seperti yang dilakukan sekarang,” katanya selepas melancarkan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022, di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

    Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menetapkan jarak jemaah antara satu sama lain untuk melaksanakan solat jemaah atau solat Jumaat sejauh satu meter dan wajib memakai pelitup muka. 

    JAKIM turut menetapkan solat jemaah dan solat Jumaat dilakukan antara 10 hingga 15 minit dengan imam digalakkan membaca surah atau ayat pendek. 

    Bagi solat Jumaat, teks khutbah perlu dipendekkan sebaik mungkin dengan menjaga rukun asal. 

    Sementara itu, mengulas mengenai terdapat premis menggunakan perkataan halal yang tidak diperakui, Idris berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat pemantauan. 

    “Kita sentiasa kerjasama dengan KPDNHEP untuk melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan sekiranya menerima laporan berkaitan hal berkenaan. Kita akan ambil tindakan dan tidak akan membiarkan perkara itu berlaku,” katanya. 

    Semalam, media melaporkan seorang pemilik premis makanan di Melaka didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menggunakan perkataan halal tanpa perakuan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada buku menu.