Tag: solat

  • Solat Aidilfitri: Pemakaian pelitup muka ikut SOP Fasa Peralihan ke Endemik

    Solat Aidilfitri: Pemakaian pelitup muka ikut SOP Fasa Peralihan ke Endemik

    PEMAKAIAN pelitup muka semasa menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau amat digalakkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

    Beliau dalam kenyataan hari ini berkata negara masih berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, justeru prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka sekiranya berada di kawasan ramai orang dan sesak.

    Katanya Jakim atas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengadakan perbincangan bersama Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah mengenai SOP pemakaian pelitup muka bagi jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di masjid atau surau.

    “Memandangkan SOP ini masih berkuat kuasa maka Jakim ingin menasihatkan kepada semua umat Islam agar mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati dengan kawalan kendiri sekiranya mereka berada di mana-mana tempat perkumpulan ramai dan sesak termasuk di masjid serta surau,” kata Hakimah.

    Semalam, Mohd Na’im dilaporkan berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Hakimah dan Luqman bagi melihat keperluan mewajibkan pemakaian pelitup muka oleh jemaah ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri.

    Mohd Na’im berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan mewajibkan atau menggalakkan pemakaian pelitup muka ketika solat Aidilfitri sebagaimana dilakukan Perlis.

    Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilaporkan bertitah jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di seluruh Perlis digalakkan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri berikutan terdapat peningkatan penularan kes COVID akhir-akhir ini. – BERNAMA

  • Selangor benar rapat saf solat jemaah 1 April

    Selangor benar rapat saf solat jemaah 1 April

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya solat berjemaah tanpa penjarakan sosial di masjid dan surau seluruh negeri Selangor berkuat kuasa 1 April ini.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan tersebut dibuat selepas baginda mengadakan satu rundingan bersama beberapa agensi kerajaan negeri dan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.

    “Baginda telah berkenaan membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara penting terutamanya langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan mendalam akibat COVID-19 selain memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta masjid dan surau terus berfungsi sebagai pusat ibadah umat Islam.

    “Baginda juga berkenan solat tarawih dibenar dilaksanakan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini di semua masjid dan surau di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Shahzihan berkata, para jemaah dikehendaki mengikuti beberapa ketetapan yang ditetapkan seperti hanya individu lengkap vaksin sahaja dibenarkan hadir ke masjid atau surau.

    “Individu berumur 18 tahun dan ke bawah lengkap dua dos vaksin dibenarkan hadir ke masjid dan surau selain perlu membawa sejadah dan memakai pelitup muka.

    “Individu yang bergejala diminta menangguhkan sebarang aktiviti di masjid dan surau sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah lain,” katanya.

    Mohd Shahzihan berkata, baginda turut menzahirkan rasa bimbang dengan penularan wabak COVID-19 yang masih tinggi di Selangor dan menasihati rakyat di negeri itu untuk terus berhati-hati serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan oleh kementerian dari semasa ke semasa.

    “Di Selangor mencatatkan jumlah kematian sebanyak 10,413 setakat 19 Mac lalu dengan lebih 50 peratus daripadanya adalah orang Melayu.

    “Oleh yang demikian, baginda menasihati rakyat Selangor agar tetap berhati-hati dan terus mematuhi SOP serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa,” katanya. – BERNAMA