Tag: sokongan

  • Peroleh 44 sokongan, Hajiji kekal Ketua Menteri Sabah

    Peroleh 44 sokongan, Hajiji kekal Ketua Menteri Sabah

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan beliau menerima 44 sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah sekali gus mengekalkan jawatannya.

    Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, kerajaan yang dipimpinnya kini masih dalam keadaan kukuh dan beliau akan terus mentadbir Sabah.

    “Kita mempunyai sokongan majoriti daripada 44 wakil rakyat, ADUN kita di DUN. Ini bermakna bahawa kerajaan yang ada ini, yang saya pimpin ini masih lagi utuh dan kuat dan akan terus mentadbir negeri Sabah.

    “(Sokongan dari) semua daripada wakil-wakil rakyat, yang saya boleh nyatakan di sini termasuk wakil rakyat PH dan juga daripada UMNO-BN dan GRS,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan beliau dengan ADUN GRS, PH Sabah dan BN Sabah di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ditanya mengenai surat Akuan Bersumpah (SD), beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan bahawa ia sudah dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin di Istana Seri Kinabalu semalam.

    “Kita sudah bagi kelmarin (SD), itu (pertemuan di istana),” katanya.

    Sebelum itu, ditanya mengenai rombakan Kabinet, beliau berkata, ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

    “Insya-ALLAH, kita akan buat rombakan Kabinet dalam masa terdekat,” katanya.

    Susulan kenyataan itu, sekali gus menamatkan kemelut politik yang berlaku di Sabah.

    Pergolakan politik berlaku apabila Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah pada Jumaat lalu.

    Sebelum itu, Hajiji telah mengadakan pertemuan dengan ADUN GRS, tujuh ADUN PH Sabah dan lima ADUN BN Sabah dan pertemuan itu berlangsung lebih sejam di kediaman rasmi Sri Gaya.

    Antara yang dilihat hadir di pekarangan Sri Gaya ialah ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya; ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; ADUN Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Gapari Kitingan, ADUN Dilantik Dr Aliakbar Gulasan, Datuk Seri Yong Teck Lee; ADUN Api-API, Datuk Christina Lew dan ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

  • Agong tolak gaji sejak Covid-19 melanda – PM

    Agong tolak gaji sejak Covid-19 melanda – PM

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah lebih awal tidak mengambil gaji, iaitu sejak COVID-19 melanda negara kerana Seri Paduka cakna dengan keadaan ekonomi yang menekan kehidupan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya nak maklumkan bahawa Tuanku Agong telah menolak gaji sejak COVID-19, lebih awal daripada saya. Baginda tidak menerima sebarang gaji oleh kerajaan sejak COVID-19. Saya ingat eloklah kita beri penjelasan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini  hari ini.

    Anwar sebelum ini menetapkan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan perdana menteri sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat terutama terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

    Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 Nov.

    Jemaah Menteri turut bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing sebanyak 20 peratus setiap bulan atas atas semangat keprihatinan terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini.

    Sementara itu, Anwar menyatakan keyakinan pemimpin parti politik Kerajaan Perpaduan akan menyokong usul undi percaya terhadapnya pada persidangan Parlimen 19 Dis ini.

    “Ketua parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan beberapa parti lain telah beri komitmen.

    “Insya-Allah, kita dapat teruskan dengan baik…minta doakan sebaiknya,” katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin akan memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat ketika usul undi percaya itu dibentangkan pada persidangan Parlimen itu, Isnin depan.

    Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis ini.

    Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

    Anwar semasa sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas berkata satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen pada 19 Dis bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri. – BERNAMA

  • PM hilang majoriti jika PN tarik sokongan – Anthony Loke

    PM hilang majoriti jika PN tarik sokongan – Anthony Loke

    KERAJAAN pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan hilang majoriti sekiranya Perikatan Nasional (PN) menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

    Memetik Astro Awani, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, bagaimanapun keputusan PN untuk menarik sokongan terhadap kerajaan semuanya terletak kepada Barisan Nasional (BN).

    Beliau menegaskan, sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, satu senario politik baharu akan berlaku.

    “Sama ada mereka menarik diri (daripada menyokong kerajaan) atau tidak, tiada siapa yang tahu. Satu hari mereka kata, mereka akan tarik diri dan pada hari lain pula pemimpin Bersatu kata ia bukan isu, (dan) mereka tidak pernah putuskan. Jadi, Bersatu pun tak konsisten.

    “Memang mereka ini takut hilang jawatan mereka, jadi bagi kita kalau mereka tarik sokongan, maka Ismail Sabri sudah hilang majoriti,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat DAP, di sini, hari ini.

    Hubungan Ismail Sabri dan PN khususnya Bersatu, selaku tonggak gabungan itu dilaporkan ‘dingin’ susulan beberapa tuntutan parti itu tidak diambil tindakan, termasuk persetujuan bertulis untuk melantik Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu.

    Satu pertemuan di antara pimpinan gabungan berkenaan dengan Ismail Sabri sepatutnya diadakan sebelum ini dipercayai bagi membincangkan terma-terma penting dalam perjanjian di antara PN dan Perdana Menteri, namun, didakwa dibatalkan pada saat-saat akhir.

    Rasa tidak puas hati Bersatu juga didakwa tercetus apabila Perdana Menteri masih mengekalkan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi walaupun Ahli Parlimen Ampang itu keluar dari parti itu pada Mei lalu.

    Mengulas lanjut, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, Pakatan Harapan (PH) setakat ini belum membuat sebarang keputusan dan mengadakan perbincangan.

    “Jadi jika senario itu berlaku (PN tarik sokongan), kita akan bincang dan putuskan apa (langkah) seterusnya.

    “PH tidak akan membuat sebarang komitmen sekarang… kita tunggu dan lihat keadaan. Kalau ia berlaku, kita akan bincang apakah tindakan kita seterusnya,” tambahnya lagi.