Tag: Sokong PN

  • Zuraida tak tanding PRN, fokus MN, sokong PN

    Zuraida tak tanding PRN, fokus MN, sokong PN

    BEKAS Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin tidak berhasrat bertanding dalam mana-mana pilihan raya negeri akan datang.

    Sebaliknya bekas Meneri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu akan menyokong calon Perikatan Nasional (PN).

    “Dari segi bertanding, saya tidak lagi memainkan peranan penting,” katanya kepada FMT apabila ditanya sama ada beliau bercadang bertanding dalam PRN sebagai calon bebas atau atas tiket parti lain.

    Zuraida berkata demikian selepas menghadiri majlis Hari Wanita Antarabangsa anjuran Institut Wanita Berdaya di Klang.

    Katanya, buat masa ini, tumpuannya untuk membantu Muafakat Nasional (MN) yang disertainya Disember lalu bagi mendapatkan dana.

    Zuraida dipecat Parti Bangsa Malaysia (PBM), bersama 10 individu lain Disember lalu, selepas gagal menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan parti itu.

    Bekas ahli Parlimen tiga penggal itu bertanding sebagai calon PBM pada Pilihan Raya Umum ke-15 dalam usaha mempertahankan kerusinya, tetapi tewas kepada Rodziah Ismail dari Pakatan Harapan (PH) dalam pertembungan sembilan penjuru.

    Zuraida kemudiannya menyertai MN, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Annuar Musa dan dilantik sebagai timbalan presidennya Januari lalu.

    Awal bulan ini, Zuraida dilaporkan berkata, beliau akan menyokong PN dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang mungkin diadakan pertengahan tahun ini susulan kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan.

  • Ulama ajak sokong PN elak kumpulan ancam Islam

    Ulama ajak sokong PN elak kumpulan ancam Islam

    ULAMA dari Pusat Pengajian Pondok terkenal di Kelantan berharap pengundi membuat pilihan terbaik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini bagi mengelakkan peristiwa 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) berulang.

    Pengerusi Madrasah Diniah Bakriah Pasir Tumboh, Abdul Halim Derani berkata, PH mengamalkan pemerintahan lebih liberal yang menjadi ancaman besar kepada umat Islam.

    Oleh itu kata beliau, umat Islam yang layak mengundi dinasihat memilih Perikatan Nasional (PN) yang lebih ‘ringan’ kemaslahatan berbanding PH dan Barisan Nasional (BN).

    “Parti mana-mana pun ada salahnya dan silapnya cuma hendaklah kita pilih mana-mana yang lebih baik daripada yang baik, kurang mudarat kepada Islam.

    “Keburukan itu ada sedikit sebanyak dan kita cari keburukan sikit dan kebaikan itu lebih banyak dari sudut Islam,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Abdul Halim yang juga Pengerusi Jemaah Tadbir Pondok Pasir Tumboh berkata, proses pemilihan pemimpin melalui pilihan raya perlu diikuti oleh semua warga negara yang layak.

    Menurutnya, buat masa sekarang hanya satu gabungan sahaja yang dilihat mampu mengemudi pentadbiran negara selepas 19 November ini iaitu PN.

    Kata beliau juga PAS pula berjaya mentadbir Kelantan sejak 32 tahun lalu kemudian melebarkan kekuatan ke Kedah dan Terengganu, membuktikan kerajaan negeri terbabit bebas daripada sebarang rasuah.

    Jelas beliau juga mengundi bukan hanya memberi manfaat di atas dunia sahaja, malah ia akan dipertanggungjawab di akhirat kelak jika tidak ditunai dengan sempurna.

    “Oleh itu saya harap semua umat Islam memberi sokongan penuh kepada PN supaya negara kita selamat daripada anasir yang mengancam agama Islam dan penganutnya.

    “Setiap kita hendaklah mengundi jika layak, ingat kita bukan sekadar buang undi selesai dunia sahaja, bahkan apa yang kita undi ada kaitan di akhirat,” katanya

  • MCA, MIC pegang pendirian BN sokong kerajaan PN

    MCA, MIC pegang pendirian BN sokong kerajaan PN

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Parti teras Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Kedua-dua parti tersebut berpegang teguh kepada ketetapan dibuat komponen BN pada tahun lalu dan pendirian itu tidak berubah.

    Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, berkata Biro Politik parti itu sudah membuat keputusan untuk membawa ketetapan BN yang diluluskan tahun lalu ketika menyertai PN.

    “Keputusan itu adalah sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang. Selagi keputusan itu kekal, kita rasa terpanggil membawa laporan ini bersama dengan rakan seperjuangan dalam BN.

    “Kita akan bersama kerana kita mementingkan rakyat, soal COVID-19 yang sedang kita uruskan, dan akhirnya rakyat membuat keputusan,” katanya semasa membuat pengumuman itu di Auditorium Menara DBKL, Kuala Lumpur hari ini.

    Sementara itu Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, berkata partinya turut berpegang kepada pendirian sama dan segala keputusan seharusnya dibuat di peringkat tertinggi BN.

    “Setakat ini kita memang pegang kepada keputusan pucuk pimpinan MIC dan BN. MCA dan MIC tetap akur dengan keputusan BN sebab kami diberi peluang untuk bertanding atas tiket BN.

    “Maka segala keputusan harus dibuat di peringkat BN. Jadi sehingga sebarang (keputusan lain dibuat), kita teruskan sokongan kita (kepada kerajaan),” katanya.

    Saravanan berkata, persoalan terbesar ahli akar umbi BN ketika ini, adakah jumlah 41 kerusi yang dimiliki, apakah hala tuju gabungan itu selepas membuat ketetapan untuk tidak bekerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Bukan saya sahaja, satu Malaysia samar apa pendirian BN keluar (kerajaan)? Kerajaan jatuh? Apa nak jadi?

    “Dengan kes COVID-19 meningkat, ekonomi terjejas dan krisis politik lagi. Sampai satu Malaysia tidak tahu jawapan,” katanya.

  • Kenyataan 40 Ahli Parlimen BN sokong kerajaan PN sah

    Kenyataan 40 Ahli Parlimen BN sokong kerajaan PN sah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan dikeluarkan pada 29 Julai lalu yang menyatakan 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri adalah sah.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dicapai selepas beliau mempengerusikan perjumpaan bersama-sama 40 ahli Parlimen BN pada hari berkenaan.

    “Berita itu sah, memang 40 ahli Parlimen BN memberikan sokongan kepada kerajaan PN.

    “Cuma persoalan yang dibangkitkan pada hari berkenaan mengapa kami dalam kalangan ahli Parlimen BN menggunakan kepala surat BN.

    “Kami berpandangan, kami ahli Parlimen BN, takkan hendak guna kepala surat Pas, mestilah kita guna kepala surat BN sebab kita merupakan ahli Parlimen yang mewakili BN,” katanya.

    Ahli Parlimen Bera itu berkata demikian kepada pemberita selepas program penyampaian bakul makanan di Kampung Charuk Puting, Bera hari ini.

    Khamis lalu, Ibu pejabat BN menafikan kewujudan satu surat yang menggunakan logo dan alamat seperti tersebar dan tular pada hari berkenaan.

    Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Shafri Ab. Aziz memaklumkan, sebarang kenyataan hanya dikeluarkan melalui melalui Pengerusi atau Setiausaha Agung parti.

    Terdahulu, tular satu kenyataan menggunakan logo BN yang didakwa memetik kenyataan Ismail Sabri.

    Mengulas lanjut, Ismail berkata, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pun membenarkan ahli Parlimen menggunakan budi bicara sendiri untuk menentukan sokongan masing-masing.

    “Soal tarik sokongan tidak timbul, ahli Parlimen (BN) berpandangan kalau kita dibenarkan memberi sokongan kepada kerajaan (PN), kita tidak boleh ambil tindakan meruntuhkan kerajaan dengan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri,” katanya.