Tag: sokong Hajiji

  • Tiga ADUN Warisan umum keluar parti, sokong Hajiji

    Tiga ADUN Warisan umum keluar parti, sokong Hajiji

    TIGA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Warisan (Warisan) mengumumkan keluar parti hari ini.

    Mohammad Mohamarin (ADUN Banggi); Chong Chen Bin (Tanjong Kapor); serta Norazlina Arif (Kunak) nekad keluar daripada parti tersebut.

    Ketiga-tiga mereka memaklumkan memilih menjadi ADUN Bebas dan menyatakan sokongan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

    “Setelah memperhalusi pelbagai aspek dari segenap sudut pertimbangan termasuk selepas mengambil kira hala tuju gabungan parti dan pandangan akar umbi di kawasan kami wakili.

    “… kami menyatakan sokongan kepada Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah dengan harapan kami dapat meneruskan khidmat baik kepada masyarakat yang kami wakili,” kata mereka dalam kenyataan berkenaan, hari ini.

    Selari dengan keputusan berkenaan, ketiga-tiga ADUN tersebut turut melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat bahagian atau Ahli Majlis Tertinggi.

    Mereka juga berpandangan sudah tiba masanya polemik politik dan sebarang tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kepada kerajaan perlu dihentikan.

    Ini kerana, mereka berkata perkara itu memberi kesan kepada usaha membangunkan negeri dan rakyat.

    “Kami akan bekerja bersama-sama Ketua Menteri dan kerajaan negeri untuk meneruskan momentum positif pembangunan negeri dan peningkatan hasil negeri melalui hala tuju Sabah Maju Jaya.

    “Kami juga bertekad untuk terus memberi tumpuan dan perkhidmatan yong lebih baik untuk rakyat di kawasan kami khasnya dan negeri Sabah serta Malaysia amnya,” kata mereka, lapor Astro Awani.

    Pada Pilihan Raya Negeri Sabah lalu, Mohammad menang dengan undi 1,773; Chen Bin (7,206); manakala Norazlina (3,861).
    Warisan menang 29 kerusi DUN pada pilihan raya berkenaan.

  • 5 ADUN UMNO serah SD sokong Hajiji, kata Shahelmey

    5 ADUN UMNO serah SD sokong Hajiji, kata Shahelmey

    ADUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya mengesahkan beliau dan empat wakil rakyat UMNO lain menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Hajiji Noor kekal sebagai ketua menteri Sabah.

    Menurutnya, beliau masih ahli UMNO dan menyerahkan kepada parti sekiranya mahu mengambil tindakan terhadapnya.

    “Pendirian saya teguh untuk sokong Hajiji sebagai ketua menteri, tidak berubah kerana bagi saya, bukan waktunya untuk menukar kerajaan buat masa ini.

    “Saya belum menukar kedudukan saya dalam parti, saya masih ahli UMNO dan jika ada sebarang tindakan yang perlu dibuat, saya serahkan kepada parti,” katanya ketika ditanya sama ada tindakannya itu bakal memberi kesan kepada kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Putatan mengikut Akta Anti-lompat Parti.

    Selain Shahelmey, empat ADUN UMNO lain yang menandatangani SD itu ialah Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Yusuf Yacob (Sindumin) dan Arsad Bistari (Tempasuk).

    Shahelmey berkata, beliau belum dipanggil atau bercadang menemui Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin.

    “Saya tidak mendapat maklumat yang beliau akan datang ke Kota Kinabalu dan buat masa ini, tiada apa yang berlaku.

    “Saya juga telah membantah keputusan beliau (Bung) sebelum ini, jadi tidak (akan bertemu dengan Bung),” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, Hajiji mengumumkan beliau memiliki sokongan 44 daripada 79 ADUN Sabah untuk terus kekal sebagai ketua menteri, menerusi akuan bersumpah yang diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin semalam.

    Beliau dilaporkan berkata, rombakan Kabinet negeri akan dilakukan kelak.

    Menurut sumber, Hajiji meminta anggota baharu Kabinet Sabah mengangkat sumpah esok dan sedang menunggu jawapan daripada pihak istana.