Tag: sokong

  • UMNO sokong Anwar PM hingga akhir penggal

    UMNO sokong Anwar PM hingga akhir penggal

    SETIAUSAHA Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO kekal komited dalam menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hingga tamat penggal demi kestabilan politik negara.

    Beliau berkata ia selaras dengan resolusi yang dicapai dalam Pehimpunan Agung UMNO bulan lepas. 

    “Jadi apabila kita sokong kerajaan ini maksudnya Anwar adalah Perdana Menteri yang kita ada (hingga akhir penggal)… supaya wujud kestabilan dalam negara kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Inkubator Sukan Dron di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

    Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata demikian ketika menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan hasrat untuk melihat Anwar kekal sebagai Perdana Menteri terakhir dilantik di bawah pemerintahan Seri Paduka semasa pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 hari ini.

    Beliau menyeru Ahli Parlimen lain untuk bukan sahaja menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah tetapi juga memastikan kestabilan politik negara dicapai.

    Ahli Parlimen Pontian itu berkata arena politik negara kini sudah stabil dengan wujudnya Kerajaan Perpaduan yang memperolehi sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat iaitu lebih dua pertiga majoriti.

    “Sejak Pilihan Raya Umum 2004, kali ini baru kita dapat majoriti sebanyak ini,” katanya.

    Terdahulu, ketika bertitah di Parlimen hari ini, Al-Sultan Abdullah menyambut baik permuafakatan dicapai Kerajaan Perpaduan yang selari dengan hasrat baginda untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

    Seri Paduka turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar kerana dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

    Baginda juga meminta semua pihak berlapang dada dan menerima serta menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 dengan hati yang terbuka. – BERNAMA

  • Saintis tak sokong vaksinasi remaja berusia 12-15 tahun

    BADAN penasihat vaksin United Kingdom (UK) enggan memberikan ‘lampu hijau’ untuk memberikan vaksin kepada kanak-kanak sihat berusia antara 12 hingga 15 tahun atas alasan kesihatan.

    Memetik BBC, Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) berkata, kanak-kanak berisiko rendah dari koronavirus dan suntikan vaksin hanya memberikan manfaat yang sedikit.

    Empat ketua pegawai perubatan di UK kini diminta untuk memberikan keputusan muktamad dan mempertimbangkan kesan yang lebih luas vaksin terhadap sekolah dan masyarakat.

    Setiausaha Kesihatan UK, Sajid Javid berkata keputusan mengenai perkara itu akan dibuat tidak lama lagi.

    JCVI pada masa sama menasihatkan untuk memperluas program vaksin sedia ada dengan memasukkan 200,000 remaja tambahan yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.

    Doktor mendapati kanak-kanak dengan masalah jantung, paru-paru dan hati yang kronik mempunyai risiko Covid jauh lebih tinggi daripada kanak-kanak yang sihat.

    Keputusan untuk tidak mengesyorkan vaksin kepada semua kanak -kanak yang sihat adalah berdasarkan pada kebimbangan mengenai kesan sampingan vaksin Pfizer dan Moderna yang sangat jarang berlaku yang menyebabkan keradangan jantung dan boleh menyebabkan berdebar-debar dan sakit dada.

    Data dari Amerika Syarikat (AS) yang mana jutaan remaja telah divaksinasi menunjukkan, terdapat 60 kes keadaan jantung untuk setiap juta dos kedua yang diberikan kepada kanak-kanak lelaki berusia 12 hingga 17 tahun (berbanding lapan dari satu juta gadis).

    Perancis, Itali, Israel dan Ireland juga menawarkan vaksin kepada semua kanak-kanak dalam kumpulan usia ini.

    Tetapi kerana kanak-kanak berisiko rendah terkena koronavirus, JCVI memutuskan bahawa vaksinasi hanya akan menawarkan “kelebihan marginal” dan oleh itu terdapat bukti “tidak mencukupi” untuk menawarkan vaksinasi secara besar-besaran kepada peringkat usia ini.

  • Rakyat tak akan sokong parti yang cuba jatuhkan kerajaan – Wan Junaidi

    Rakyat tak akan sokong parti yang cuba jatuhkan kerajaan – Wan Junaidi

    PARTI politik yang cuba menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum undi percaya terhadap Perdana Menteri dilakukan pada sidang Parlimen September ini, tidak akan mendapat sokongan rakyat yang mahu kerajaan menangani masalah COVID-19 yang kritikal sekarang.

    Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam keadaan negara sekarang rakyat menaruh keyakinan terhadap kerajaan untuk mengatasi kesan ekonomi berikutan pandemik itu.

    Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, tindakan mereka bukan sahaja menjejaskan usaha kerajaan dalam menangani COVID-19, malah menjejaskan kestabilan politik negara serta ekonomi yang hanya merugikan rakyat.

    “Jika ada undi percaya pada September ini, sebaiknya adalah untuk pertahankan kerajaan sekarang (PN) sehingga habis penggal, kemudian barulah diadakan pilihan raya.

    “Sarawak satu contoh moral yang baik dari segi politik… tidak main politik banyak sangat. Kita tangani masalah COVID-19 ini dulu. Jika tidak, dengan sendirinya masalah ekonomi kita akan terjejas dan pembangunan akan jadi lembap,” katanya selepas merasmikan pembukaan cawangan baru Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change Bank Rakyat di sini, hari ini.

    PBB merupakan parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang turut melibatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), yang mengekalkan pendirian mereka untuk terus menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Terdahulu semasa berucap di majlis itu, beliau berkata kementeriannya akan memastikan rakyat di kawasan luar bandar mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan, yang dilihat mampu memberikan pengalaman dan kemudahan lebih baik kepada peniaga dan penduduk di sekitar.

    Justeru itu katanya, dengan pembukaan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change ini, ia akan boleh di memanfaatkan 16,373 penduduk di daerah kecil itu.

    Di Sarawak, Bank Rakyat mempunyai 14 Cawangan iaitu di Bintulu, Kapit, Kota Padawan, Kota Samarahan, Limbang, Matang Jaya, Miri, Mukah, Permy Jaya, Sarikei, Satok, Sibu, Simpang Tiga dan Sri Aman selain mempunyai dua buah lagi cawangan Rakyat Xcess dan Ar- Rahnu X’Change di Betong dan Lundu.- BERNAMA