Tag: sogok

  • Wanita cuba sogok polis RM21,000 bebaskan tunang terbabit kes dadah

    Wanita cuba sogok polis RM21,000 bebaskan tunang terbabit kes dadah

    SEORANG wanita ditahan selepas cuba menawarkan wang tunai RM21,000 kepada dua anggota polis yang menahan tunangnya kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

    Wanita terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kira-kira 12.30 tengah malam tadi dan diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata wanita berusia 22 tahun cuba menawarkan wang tunai itu kepada seorang Inspektor dan Sarjan yang menyiasat kes seorang lelaki, yang ditahan petang semalam.

    Beliau berkata terdahulu lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada kira-kira 5.30 petang ketika memandu sebuah kereta jenis Myvi di kawasan perumahan di Jalan Ipoh di sini.

    Beliau berkata hasil pemeriksaan polis menemukan 16 paket plastik disyaki dadah jenis methamphetamine dan heroin dianggarkan seberat 171.58 gram dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan dadah RM16,968.

    “Keputusan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis tetrathydrocannabinol dan memiliki satu rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

    “Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.- BERNAMA

  • Lelaki ditahan cuba sogok polis RM10,000

    Lelaki ditahan cuba sogok polis RM10,000

    Oleh: Bernama

    SEORANG lelaki ditahan selepas cuba menyogok wang tunai RM10,000 kepada pihak polis bagi membebaskan dua rakannya yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di hadapan sebuah hotel di Jinjang, di sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata suspek berusia 28 tahun sebelum itu telah pun diberikan amaran untuk tidak berbuat demikian, namun tidak mengendahkannya menyebabkan dia ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama bahan bukti.

    Lelaki itu ditahan pada 7.45 malam hari sama di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

    “Terdahulu, dua rakannya ditahan dalam serbuan pada 3.45 petang di hadapan sebuah hotel di Jinjang kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dan hasil pemeriksaan polis menemukan 10 paket plastik berisi bahan, disyaki dadah jenis ganja seberat 130.5 gram, dianggarkan bernilai RM13,000.

    “Ujian saringan air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek pertama positif dadah metaphetamine dan ganja selain mempunyai 25 rekod jenayah dan tujuh rekod jenayah berkaitan dadah, manakala suspek kedua negatif dan tidak memiliki rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beh berkata kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga 10 Ogos depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.- BERNAMA