Tag: soffian santong

  • Suami isteri aktif edar dadah ditahan, pelbagai dadah hampir RM300,000 dirampas

    Suami isteri aktif edar dadah ditahan, pelbagai dadah hampir RM300,000 dirampas

    POLIS Pulau Pinang menahan sepasang suami isteri berusia 42 dan 46 tahun yang aktif mengedar pelbagai jenis dadah dalam serbuan di Gelugor, Ahad lalu dan merampas pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM282,464.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pasangan tersebut ditahan di tepi jalan di pukul 12 tengah hari yang mana ketika itu, polis turut menemukan satu peket plastik dadah syabu seberat 310 gram bernilai RM31,000 bersama suspek wanita.

    Jelasnya, hasil soal siasat dan dipandu arah oleh suspek, polis kemudian menyerbu sebuah kondominium di Gelugor dan menjumpai sejumlah dadah yang disimpan di situ.

    Antaranya, kata beliau, sebanyak tujuh peket plastik setiap satu berisi dadah syabu seberat 6,48 kilogram (kg) bernilai RM233,604 dan sembilan ketulan mampat daun-daun kering ganja setiap satu dibalut dengan plastik lutsinar seberat 6,28 kg.

    Selain itu, ujarnya, turut ditemukan adalah sebanyak lima peket plastik lutsinar setiap satu berisi daun-daun kering ganja seberat 856 gram dengan nilai keseluruhan RM17,860.

    “Pasangan ini mempunyai rumah sendiri di Batu Uban, namun mereka menyewa kondominium tersebut dengan harga RM1,300 sebulan untuk dijadikan tempat penyimpanan serta pembungkusan semula dadah-dadah berkenaan sebelum dijual,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di Georgetown hari ini.

    Tambah Soffian, siasatan awal mendapati, kegiatan mengedar dadah itu hanya dilakukan oleh si suami, namun diambil alih isterinya selepas dia menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung dan buah pinggang.

    Jelasnya, pasangan suami isteri yang merupakan penganggur dan tidak mempunyai anak itu mengedar dadah kepada pembeli di sekitar negeri ini menggunakan motosikal.

    Katanya, hasil saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah dan turut mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah.

    “Ujar beliau, kes itu disiasat di bawah seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek ditahan reman bermula 6 Mac hingga 12 Mac ini,” katanya.

    Tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (perlucuthakan harta) 1988 yang mana barang kemas yang dianggarkan bernilai RM12,800 dan kenderaaan yang dianggarkan bernilai RM11,000 turut disita.

  • Polis buru suspek ragut beg tangan

    Polis buru suspek ragut beg tangan

    POLIS Daerah Timur Laut, Pulau Pinang sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki meragut beg tangan seorang wanita di Lorong Selamat, George Town dalam kejadian semalam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, video kejadian ragut itu dikesan tular selepas dimuat naik di laman Facebook ‘We are Malaysians’ kira-kira pukul 8 pagi ini.

    Jelas beliau, polis juga telah menerima laporan mengenai kejadian ragut itu kira-kira pukul 1.55 tengah hari semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun mendatangkan cedera.

    ”Melalui rakaman kamera papan pemuka kereta milik suami mangsa, mangsa diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna hitam.

    ”Lelaki tersebut menghampiri dan meragut beg tangan mangsa yang disangkut di atas bahu kanannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan selain turut mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM2,800.

    Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

  • Polis siasat warga asing disamun, dirogol di Tanjung Tokong

    Polis siasat warga asing disamun, dirogol di Tanjung Tokong

    POLIS sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian seorang wanita warga asing yang disamun sehingga mengalami kecederaan dan mendakwa dirogol ketika sedang berjalan kaki di kawasan Tanjung Tokong, di sini Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Soffian Santong berkata berdasarkan siasatan awal, mangsa berusia 24 tahun itu mendakwa dia sedang berjalan kaki di kawasan tersebut pada 7.30 malam sebelum bahagian belakang kepalanya dipukul dan menyebabkannya terjatuh serta pengsan.

    “Mangsa kemudiannya tersedar daripada pengsan dan berada di kawasan semak berhampiran dia berjalan kaki, serta mendapati telefon bimbit dibawanya hilang manakala bahagian kepala sakit dan mukanya cedera dipercayai akibat terjatuh selepas dipukul.

    “Wanita itu mendakwa dia kemungkinan turut dirogol dalam kejadian itu dan mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan, dia membuat laporan polis berhubung insiden tersebut pada 4.30 pagi Isnin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Katanya terdapat dua saksi yang melihat mangsa berjalan kaki di kawasan tersebut iaitu sebelum kejadian dia disamun, namun mereka telah berjoging ke hadapan dan tidak perasan wanita itu disamun.

    Soffian berkata berdasarkan laporan awal daripada doktor di HPP, tidak terdapat kesan koyakan baru pada kemaluan wanita itu namun pihaknya masih menunggu laporan lengkap perubatan berhubung perkara tersebut.

    Katanya ketika ini polis masih mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut, agar menyalurkannya kepada polis.

    “Tiada kamera litar tertutup di kawasan kejadian itu namun polis sedang mendapatkan maklumat daripada saksi yang berada di situ bagi membantu siasatan lanjut kes itu,” katanya.

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun dengan mendatangkan cedera.

    Tular di media sosial, gambar seorang seorang wanita mendakwa dirogol dan dipukul ketika berjalan kaki di kawasan Tanjung Tokong sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai ramai kerana bimbang kejadian serupa berlaku lagi.- BERNAMA