Tag: SM Faisal

  • SM Faisal, bekas isteri akan runding selesai kes luar mahkamah

    SM Faisal, bekas isteri akan runding selesai kes luar mahkamah

    MAHKAMAH Majistret hari ini diberitahu, Emilia Hanafi dan bekas suaminya, SM Faisal SM Nasimuddin akan berunding secara baik untuk menyelesaikan kes berhubung dakwaan wanita itu dicederakan oleh ahli perniagaan tersebut, di luar mahkamah.

    Peguam pemerhati Nazri Yahya yang mewakili Emilia, memaklumkan kepada Majistret Nadia Othman bahawa kedua-dua pihak berhasrat menyelesaikan kes di luar mahkamah secara serius, dan memohon untuk melapangkan prosiding perbicaraan pada hari ini sebelum mengetahui status rundingan pada tarikh akan datang.

    “Hari ini, Emilia yang merupakan saksi terakhir dan pengadu dalam kes ini, sepatutnya perlu memberi keterangan.

    “Bagaimanapun saya ingin memaklumkan bahawa pihak-pihak (Emilia dan SM Faisal) berhasrat untuk berunding secara serius untuk menyelesaikan kes.

    “Perkara ini sudah dimaklumkan kepada peguam SM Faisal dan kami akan memaklumkan status rundingan itu kepada mahkamah sebelum atau pada 30 Mac,” kata peguam itu pada prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin.

    Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal turut mengesahkan perkara itu dan rundingan akan dilakukan mengikut cadangan yang tertakluk kepada terma anak guamnya.

    “Saya memohon mahkamah merekodkan, sekiranya tiada penyelesaian, pihak kami tidak mahu membuang masa dan akan meneruskan perbicaraan pada 30 Mac.

    “Saya tiada bantahan terhadap permohonan untuk melapangkan kes hari ini,” katanya.

    Majistret Nadia kemudian menetapkan 30 Mac ini untuk mengetahui status rundingan berkenaan.

    Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, Akberdin mengesahkan rundingan itu termasuk kes tuntutan harta sepencarian dan mutaah pasangan itu di Mahkamah Syariah.

    “Kalau ada penyelesaian, kita berhasrat untuk selesai semua kes termasuk di Mahkamah Syariah. Ia bergantung kepada terma dan persetujuan kedua-dua pihak.

    “Kes ini sudah berjalan terlalu lama, kita mahu tamatkannya,” katanya.

    SM Faisal, 43, didakwa mencederakan Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang 22 Nov 2015, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama

  • SM Faisal, Caprice bincang selesai kes saman-Peguam

    SM Faisal, Caprice bincang selesai kes saman-Peguam

    PIHAK-pihak dalam kes saman Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap Caprice sedang berusaha menyelesaikan kes itu secara baik sebelum perbicaraan bermula pada 4 Okt 2023 di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

    Peguam Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili SM Faisal berkata jika tiada penyelesaian, mahkamah menetapkan 4 hingga 6 Okt tahun depan untuk mendengar kes berkenaan.

    “Pengurusan kes ditetapkan pada 3 Julai 2023 untuk arahan lanjut perbicaraan,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Azian Othman yang turut disertai peguam Harjoth Singh mewakili Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli.

    SM Faisal menyaman Ariz selaku defendan pada 15 Ogos lepas berhubung dakwaan memuat naik hantaran fitnah menerusi Instagram miliknya, dengan mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya Emilia Hanafi.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, SM Faisal selaku plaintif berkata pada 27 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.

    SM Faisal mendakwa pada 28 Jun, Ariz memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah, melalui Instagram defendan yang antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.

    Plaintif memohon ganti rugi am, punitif, teladan, teruk dan kos selain perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu.