Tag: SKMM

  • Maklumat peribadi bocor: Sesetengah nombor akaun bank tidak sah

    Maklumat peribadi bocor: Sesetengah nombor akaun bank tidak sah

    SIASATAN Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mendapati, sesetengah maklumat nombor akaun Maybank yang bocor dan dipaparkan dalam sebuah laman sesawang didapati tidak sah atau tidak wujud.

    Ini berikutan tiada urusniaga boleh dilakukan dengan nombor akaun berkenaan.

    Menteri KKD, Fahmi Fadzil berkata, hasil siasatan awal susulan kebocoran maklumat peribadi didakwa membabitkan 13 juta pengguna di jaringan gelap atau ‘dark web’ itu mendapati potensi data yang didakwa bocor itu adalah merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku pada tahun 2018.

    “Bagaimanapun, pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

    “Manakala siasatan mengenai kebocoran data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam laman sesawang berkenaan akan diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk tindakan selanjutnya memandangkan ia adalah di luar bidang kuasa Akta 709,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Media sebelum ini melaporkan CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) diarah menyiasat dakwaan berlaku kebocoran baharu maklumat peribadi membabitkan 13 juta pengguna di ‘dark web’ yang dikatakan membabitkan pengguna Astro, Maybank dan SPR.

    Arahan itu dibuat Fahmi susulan tular satu hantaran di Twitter yang memuat naik beberapa tangkap layar jaringan gelap, menunjukkan senarai ratusan daripada 13 juta maklumat individu yang didakwa diperoleh daripada SPR, Maybank dan Astro.

    Tangkap layar itu menunjukkan senarai berkenaan membabitkan nama penuh, alamat, nombor telefon dan nombor kad pengenalan pengguna dari pelbagai negeri.

    Dalam pada itu, Fahmi berkata, notis sekatan turut dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan menghalang orang awam mengakses laman sesawang berkenaan.

    “KKD melalui JPDP dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia sedang mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro berhubung dakwaan kebocoran data bagi memastikan kesahihan pemilikan data.

    “KKD memandang serius dakwaan kebocoran data yang dibuat sebuah laman sesawang pada 25 Disember 2022 yang lalu,” katanya.

  • Celcom, Digi, U Mobile diberi notis Arahan Suruhanjaya SKMM

    Celcom, Digi, U Mobile diberi notis Arahan Suruhanjaya SKMM

    TIGA syarikat telekomunikasi telah dikenakan Arahan Suruhanjaya kerana didapati gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar dan menambah baik kualiti perkhidmatan di beberapa kawasan di Langkawi termasuk Lebuhraya Langkawi dan kawasan pelancongan.

    Syarikat telekomunikasi itu ialah Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd dan U Mobile Sdn Bhd.

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Arahan Suruhanjaya yang didaftarkan pada 19 Mei 2022, menuntut ketiga-tiga syarikat itu untuk membuat penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kualiti pengalaman pengguna pada tahap yang baik dan memenuhi Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).

    “Kegagalan syarikat telekomunikasi dalam memenuhi Arahan Suruhanjaya berkenaan piawaian kualiti ini boleh mengakibatkan syarikat telekomunikasi tersebut dikenakan penalti berat sehingga RM200,000 di bawah Seksyen 109 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM),” menurut SKMM.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada 14 Jun lepas telah mengarahkan SKMM untuk membuat pemetaan dan audit kualiti perkhidmatan capaian Internet di seluruh Malaysia.

    Annuar dilaporkan berkata, SKMM perlu menggunakan undang-undang yang ada dalam akta berkaitan terhadap pihak telco yang didapati tidak mencapai tahap sepatutnya dan mengeluarkan arahan bagi mewajibkan mereka memperbaiki mutu perkhidmatan.

    Susulan itu, SKMM memaklumkan pihaknya telah menjalankan audit teknikal ke atas perkhidmatan jalur lebar di bawah MSQoS di 3,038 lokasi di seluruh negara, dengan kesemua lokasi itu dipilih berdasarkan rekod lokasi aduan yang diterima.

    Daripada 3,038 lokasi tersebut, 40 notis wajib kepatuhan yang melibatkan 449 lokasi terawal gagal telah dikeluarkan dari 1 Januari hingga 15 Jun lepas, jelas SKMM.

    SKMM memberitahu, aktiviti proses audit merupakan rutin yang sering dilakukan oleh pihaknya bagi memantau tahap prestasi kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan.

    “Bermula pada tahun lepas, SKMM telah menjalankan transformasi terhadap semua pejabat negeri dan satu daripada penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan menambah peralatan dan pasukan audit yang dahulunya enam pasukan, kini terdapat 14 pasukan untuk menjalankan audit di lapangan.

    “SKMM turut memperketatkan penguatkuasaan MSQoS Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Tanpa Wayar, jika sebelum ini audit dijalankan di beberapa wilayah, kini ia dijalankan di seluruh lokasi,” menurut SKMM. – BERNAMA

  • Klip video raya: Aliff Syukri beri keterangan hampir 5 jam

    Klip video raya: Aliff Syukri beri keterangan hampir 5 jam

    USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman hari ini memberi keterangan hampir lima jam di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Putrajaya berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri yang dikatakan kontroversi.

    Beliau dengan memakai kot kelabu serta berseluar hitam tiba di SKMM pada pukul 9.58 pagi dan keluar pada pukul 2.41 tengah hari.

    Ditemui pemberita usai memberi keterangan, Aliff Syukri memohon kemaafan daripada masyarakat yang tersinggung dengan video berkenaan dan meminta supaya tidak melibatkan keluarganya dalam perkara itu.

    “Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, terima kasih kepada SKMM kerana memberi layanan yang baik. Saya mohon maaf kepada semua masyarakat yang tersinggung dengan lagu dan video saya,” katanya.

    Klip video raya berkenaan memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut, mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.

    Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata SKMM telah memberi notis kepada individu yang dikenal pasti dalam video berkenaan untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu.

    Menurut Annuar, penelitian peringkat awalan SKMM mendapati ada sebab untuk siasatan dilaksanakan dan susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA