Tag: sjr

  • Sekatan jalan raya Putrajaya tamat tengah malam tadi

    Sekatan jalan raya Putrajaya tamat tengah malam tadi

    SEKATAN jalan raya (SJR) di Putrajaya ditamatkan 12 tengah malam tadi selepas beroperasi selama sembilan bulan sejak 13 Januari lepas.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, walaupun SJR ditamatkan namun orang awam dingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19.

    Beliau berkata, operasi pematuhan akan dipergiatkan dengan penambahan anggota untuk memastikan orang awam memasuki Putrajaya patuh SOP sama ada bagi tujuan riadah atau pelancongan domestik.

    Penamatan SJR itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung rentas daerah dibenarkan di Lembah Klang, membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang beralih kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam kenyataannya semalam memaklumkan dua SJR ditutup iaitu di Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kanagapuram di bawah laluan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

    Bagaimanapun, katanya empat lokasi SJR dikekalkan iaitu di Plaza Tol Sungai Buloh, Plaza Tol Kota Damansara, Plaza Tol Damansara dan Plaza Tol Subang. – Bernama

  • Pemandu kereta rempuh khemah SJR diburu polis

    Pemandu kereta rempuh khemah SJR diburu polis

    SEKUMPULAN anggota keselamatan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Talak, Chabang Empat Tumpat berdepan detik cemas apabila sebuah kereta tiba-tiba merempuh khemah di kawasan itu.

    Dalam kejadian di kampung yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada pukul 11.45 pagi itu mengejutkan beberapa anggota keselamatan yang kemudiannya lari menyelamatkan diri.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, sebuah kereta Proton Iswara hitam secara tiba-tiba merempuh khemah di SJR berkenaan.

    Beliau berkata, anggota polis kemudiannya bertindak mengejar kenderaan terbabit apabila melihat pemandu mengundurkan kenderaannya.

    “Namun pemandu berjaya melepaskan diri dan gagal dikesan. Anggota sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan,” katanya hari ini.

    Ab Rashid berkata, tiada anggota tercedera akibat rempuhan itu dan hanya beberapa barangan rosak.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967.