Tag: Sithambaram

  • Rayuan Najib serba tidak menjadi selepas pertukaran peguam – TPR

    Rayuan Najib serba tidak menjadi selepas pertukaran peguam – TPR

    MAHKAMAH Persekutuan Putrajaya hari ini diberitahu rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas keputusan perbicaraan SRC International Sdn Bhd serba tidak menjadi setelah beliau menukar peguam mewakilinya tahun lepas.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk V Sithambaram merujuk kepada pertukaran peguam daripada Shafee & Co kepada pasukan guaman baharu terdiri daripada Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST).

    “Mengapa Najib yang diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam kes SRC International dari peringkat Mahkamah Tinggi pada 2018 dan hanya menukar peguam pada 2022 sebelum pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan, Ogos tahun lepas.

    Jika tidak kerana pertukaran peguam ini, saya tidak fikir semakan ini akan dibawa ke mahkamah hari ini. Sementara tertuduh berhak memilih peguam, peguam perlu bersedia untuk bertindak dan sanggup melakukannya pada hari ditetapkan. Sebenarnya mereka tidak mahu untuk meneruskan kes ini, kerana itulah mereka mahukan penangguhan ini,” katanya.

    Menyentuh kedudukan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam Maybank Bhd sebelum ini, pihak pendakwaan berkata ia bukanlah satu rahsia dan peranan Mohd Nazlan dalam bank itu adalah tidak relevan dengan kes Najib berkaitan SRC International.

    “Ia sudah tentunya bukan suatu isu dalam semakan ini.” kata pihak pendakwaan.

    Sementara itu, Muhammad Shafee berkata ia adalah kali pertama pertukaran peguam berlaku dalam kes Najib dan ia dilakukan dengan niat baik.

    Beliau berkata, bahkan pertukaran peguam itu kerana mahkamah tempatan tidak membenarkan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw dari United Kingdom untuk diterima masuk sebagai peguam cara dan peguam bela bagi mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya.

    “Justeru, tiada agenda untuk mengatur penangguhan.” kata peguam veteran itu.

    Kedua-dua mereka berhujah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, yang mempengerusikan panel lima hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

    Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda.

    Pendengaran bersambung 9 pagi esok. – BERNAMA

  • Hantaran Facebook suami Tengku Maimun adalah komen umum rakyat – DPP

    Hantaran Facebook suami Tengku Maimun adalah komen umum rakyat – DPP

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini diberitahu hantaran Facebook suami Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 2018 tidak menunjukkan beliau mempunyai permusuhan peribadi terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi sebaliknya komen umum tentang rakyat di media sosial.

    Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk V. Sithambaram berkata ini kerana hantaran itu adalah ulasan peribadi semata-mata mengenai senario politik yang membawa kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14. 

    “Tiada kaitan antara hantaran itu yang disiarkan pada 11 Mei 2018 dengan rayuan Najib di hadapan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lepas. Adalah sukar dipercayai bahawa pemohon (Najib) hanya menyedari mengenai hantaran FB ini pada 22 Ogos tahun lepas iaitu beberapa jam sebelum pendengaran rayuan pada 23 Ogos tahun lepas.

    “Pemfailan permohonan penarikan diri (Ketua Hakim Negara) adalah percubaan terakhir yang terdesak untuk tidak meneruskan pendengaran rayuan. Kebetulan luar biasa apabila pemohon mendapat tahu daripada hantaran FB awam beberapa jam sebelum tamat pendengaran rayuan pada 23 Ogos tahun lalu.

    “Yang Arif, sebenarnya mereka tahu mengenai hantaran itu tetapi mendapati ia tidak layak untuk permohonan menarik diri sebelum itu. Permohonan dalam tempoh 11 jam itu adalah usaha terdesak semata-mata untuk menangguhkan rayuan,” tegasnya.

    Berhubung pelantikan firma Tetuan Zaid Ibrahim Suflan Th Liew (ZIST), DPP itu berkata tujuan utama kes SRC International dikendalikan oleh firma tersebut pada tahun lepas adalah bagi memohon  penangguhan.

    Sithambaram berkata firma itu tidak sepatutnya mengambil alih kes itu daripada Tetuan Shafee & Co jika mereka tidak bersedia untuk meneruskan rayuan pada tarikh yang ditetapkan bagi pendengaran itu pada Ogos 2022.

    “Tetuan ZIST mengambil alih kes itu dengan tujuan semata-mata untuk meminta penangguhan kes. Perlu diingat bahawa tarikh pendengaran rayuan utama telah ditetapkan empat bulan lebih awal atas permintaan peguam cara pemohon, Tetuan Shafee & Co.

    “Walaupun Najib mempunyai hak untuk melantik peguam cara pilihannya, ia harus dilakukan lebih awal agar tidak mengganggu tarikh pendengaran yang telah ditetapkan empat bulan lebih awal dengan persetujuan semua pihak,” katanya sambil menambah tindakan peguam cara atau peguam pemohon tidak boleh dibiarkan kerana jika sebaliknya, ia bermakna penangguhan sentiasa boleh diperoleh oleh peguam cara atau peguam baharu yang mengambil alih kes-kes pendengaran yang telah ditetapkan.

    Menjelaskan tindakan bekas peguam Najib, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang melepaskan dirinya daripada mewakili bekas perdana menteri itu, timbalan pendakwa raya menegaskan Mahkamah Persekutuan mempunyai budi bicara sama ada untuk membenarkan peguam menarik diri, terutama di tengah-tengah perbicaraan.

    Sithambaram berkata peguam yang tidak diberi penangguhan rayuan tidak dibenarkan menggunakan kaedah pintu belakang untuk menangguhkan rayuan dengan strategi taktikal untuk melepaskan dirinya.

    Beliau seterusnya berhujah bahawa tindakan melucutkan Tetuan Shafee & Co daripada mewakili pemohon adalah satu langkah strategik oleh Najib untuk menangguhkan rayuan tersebut.

    “Kami mengatakan ini kerana firma itu terus mewakili pemohon dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada setiap masa yang berkaitan. Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir mewakili Najib dalam permohonan penarikan diri (hakim) dalam rayuan ini. Justeru, pelepasan Tetuan Shafee & Co merupakan satu tindakan meragukan untuk memaksa mahkamah menangguhkan rayuan tersebut.” 

    Timbalan pendakwa raya kanan itu berkata demikian pada pendengaran permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda. – BERNAMA