Tag: Singapura

  • Singapura lapor lebih 1,000 kes Covid-19 untuk hari kedua

    Singapura lapor lebih 1,000 kes Covid-19 untuk hari kedua

    SINGAPURA, yang kini menghadapi gelombang jangkitan COVID-19 sejak 23 Ogos, telah mencatatkan lebih 1,000 kes baharu untuk hari kedua berturut-turut pada Ahad.

    Dalam data yang dikeluarkan pada Ahad, Kementerian Kesihatan republik itu memaklumkan telah mengesan sejumlah 1,012 kes baharu – termasuk 919 dalam masyarakat, 90 di asrama pekerja migran, dan tiga kes import.

    Pada Sabtu, sebanyak 1,009 kes jangkitan dikesan di sini. Kali terakhir republik ini melaporkan lebih 1,000 kes harian adalah pada April tahun lalu.

    Menurut kementerian sepanjang 28 hari lalu, daripada 11,196 individu yang dijangkiti, 98.1 peratus tidak mengalami gejala atau bergejala ringan, 1.7 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dan 0.04 peratus meninggal dunia.

    Sehingga tengah hari Ahad, jumlah keseluruhan kes ialah 77,804 dengan 7,144 kes aktif.

    Setakat ini, 60 orang telah meninggal dunia kerana COVID-19 di republik ini.

    Pada 18 September, 82 peratus penduduk Singapura telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 manakala 84 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.-BERNAMA

  • Padah hina penguat kuasa miskin, 2 wanita Singapura didenda

    Padah hina penguat kuasa miskin, 2 wanita Singapura didenda

    TINDAKAN biadab dua wanita Singapura menghina seorang anggota penguatkuasa republik itu dengan komen kasar mengundang padah apabila kedua-duanya didenda SGD$3,000 (RM9,262) oleh sebuah mahkamah, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, hari ini.

    Beritamediacorp melaporkan, antara kata-kata penghinaan yang dilontarkan dua wanita berusia 50 tahun itu kepada pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) termasuk:”bercakap baik-baik dengan orang kaya” dan memanggil pegawai itu “perempuan gila”.

    Mahkamah diberitahu bahawa, Chee Kam Fah dan Koh Lee Yen merokok di luar pusat beli-belah Lucky Plaza di Orchard Road pada pagi 21 September tahun lalu.

    Mereka yang melakukan kesalahan kerana menyalakan rokok di luar kawaan yang ditetapkan kemudiannya dihampiri Asyikah Suri Kamsari, seorang pegawai polis tambahan yang dikerahkan NEA sebagai pegawai penguat kuasa.

    Asyikah ketika kejadian sedang menjalankan tugasnya bersama seorang rakan sekerjanya.

    Kedua-dua pegawai itu kemudian meminta butiran Kam Fah dan Lee Yen untuk mengeluarkan saman.

    Namun ketika Asyikah memasukkan butiran Kam Fah ke dalam terminal elektronik yang dipegangnya, wanita itu berkata dengan marah: “Gaji kau berapa? 1,000 sahaja sebulan, aku rasa.”

    Dia juga berkata: “Cakap baik-baik dengan orang kaya, kau budak miskin”, “Aku bilang kau, kau jalan hati-hati, kau jatuh… jangan langgar kereta” dan “Apa susah, bayar aje, aku ada duit (kata kesat)”.

    Lee Yen yang kemudian turut serta berkata: “Kau diam dan minta IC” serta “Kau selamanya miskin, kau tahu ke tidak?”

    Dia juga menuduh Asyikah “gadis gila” yang gajinya juga tidak cukup untuk membeli bantal untuk menangis. Dia turut menghina ibu bapa pegawai berkenaan dalam bahasa Kantonis.

    Kam Fah kemudian mengeluarkan sekeping nota SGD$1,000 (RM3,087) dan menayangkannya di hadapan muka pegawai itu sambil berkata beliau patut diam sahaja dan mengambil wang tersebut.

    Tanpa disedari kedua-dua wanita itu, semua tindakan mereka dirakam menerusi kamera lekap tubuh Asyikah.

    Sementara itu, Pegawai Pendakwa Negara Nasri Haron meminta denda S$3,000 hingga S$4,000 bagi setiap wanita itu.

    Beliau memberitahu mahkamah, serangan lisan itu “meleret dan berakhir dengan penghinaan serta menjatuhkan maruah mangsa”, yang sekadar menjalankan tugasnya.

    Kedua-dua wanita berkenaan yang tidak diwakili peguam berkata dalam rayuan masing-masing bahawa mereka berada dalam keadaan tertekan ketika itu.

    Kam Fah melalui seorang jurubahasa berkata, Asyikah “tiba-tiba berjalan ke arah saya jadi pada ketika itu, saya tidak tidak tentu arah”.

    Katanya, dia seorang ahli perniagaan dan amat tertekan akibat pandemik Covid-19.

    Apabila Hakim Daerah Asbendar Kaur bertanya Lee Yen mengapa kawannya melayangkan nota SGD$1,000, wanita itu berkata mereka menyangka boleh membayar saman pada ketika itu juga.

    Dia mendakwa pernah ditangkap membuang puntung rokok sebelum ini dan membayar denda S$300.

    Dakwanya lagi ada dua lelaki lain yang merokok di luar kawasan yang dibenarkan tetapi Asyikah “melepaskan mereka begitu sahaja”.

    “Sebab itu saya menggunakan bahasa seperti ini. Saya juga tidak suka menggunakan bahasa begini.”

    Hakim memberitahu mereka bahawa isu tekanan bukannya alasan untuk mereka berkelakuan sedemikian.

    Kedua-duanya boleh didenda sehingga SGD$5,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

  • Singapura umum strategi baharu kawal Covid-19

    Singapura umum strategi baharu kawal Covid-19

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SINGAPURA mengumumkan langkah kawalan baru semalam untuk memastikan keadaan terkawal susulan
    peningkatan dua kali ganda melebihi 1,200 kes Covid-19 mingguan.

    Langkah itu bertujuan memberi republik itu masa untuk menyuntik vaksin kepada lebih ramai orang, sekali gus membendung penularan coronavirus tanpa perlu kembali kepada langkah kawalan yang ketat bagi memutuskan rantaian jangkitan.

    Menteri Kewangan, Lawrence Wong yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) COVID-19 berkata, beberapa strategi sudah di kenal pasti bagi tujuan itu.

    “Amaran risiko kesihatan (HRW) dan pemberitahuan risiko kesihatan (HRA) akan dikeluarkan apabila kelompok baru dikesan, di mana sebaik sebuah kelompok dikenal pasti, HRW dan HRA akan dikeluarkan kepada individu yang terdedah untuk membendungnya secepat mungkin.

    “Mereka yang menerima HRW wajib mendapatkan ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) dan mengasingkan diri sehingga mereka mendapat keputusan negatif daripada ujian pertama mereka.

    “Mereka juga akan diminta melakukan ujian pantas antigen (ART) selepas itu, dan satu lagi ujian PCR pada hari ke-14,” katanya.

    Tambah Lawrence, mereka yang menerima HRA tidak diwajibkan tetapi digalakkan menjalani ujian PCR secepat mungkin.

    Untuk kedua-dua HRW dan HRA, individu harus mengurangkan interaksi sosial mereka selama 14 hari.

    Pekerja lebih banyak sektor termasuk kakitangan barisan hadapan, pengangkutan awam dan pekerja pasar raya, kini harus menjalani ujian rutin berjadual pantas secara mandatori.

    Ujian sedemikian juga harus dilakukan lebih kerap untuk pekerja terbabit iaitu daripada dua minggu sekali kepada seminggu sekali manakala syarikat dalam sektor tidak wajib menjalani ujian mandatori diberi lapan kit ART bagi setiap pekerja.

    Kerajaan akan beri syarikat lapan kit ART bagi setiap pekerja untuk memudahkan ujian kakitangan setiap minggu selama dua bulan dan semua syarikat dijangka dapat memulakan ujian mingguan untuk kakitangan mereka di lokasi.

    Ujian itu boleh dilakukan individu di rumah atau di tempat kerja tetapi majikan harus mempunyai proses memastikan ujian dilakukan dengan betul dan melaporkan keputusannya kepada agensi kerajaan masing-masing. – AGENSI

  • Singapura sambut kelahiran pertama anak panda gergasi

    Singapura sambut kelahiran pertama anak panda gergasi

    SINGAPURA pada Sabtu menyambut kelahiran anak pertama panda gergasi ‘Jia Jia’ dengan pasangannya ‘Kai Kai’, di Safari River.

    Menurut Wildlife Reserves Singapore (WRS), jantina anak panda seberat 200 gram itu belum dapat dipastikan dan akan diumum kemudian.

    “Pada Julai, imbasan ultrasound menunjukkan tanda-tanda Jia Jia hamil dan sejak itu pihak kami senantiasa memantau perkembangannya,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif WRS Dr Cheng Wen-Haur, dalam satu kenyataan di sini.

    Dr Cheng yang juga Ketua Sains Hayat berkata panda gergasi betina itu mengalami kepseudobuntingan, iaitu keadaan bunting yang tidak benar walaupun terdapat simptom.

    “Pada 10 Ogos ketika doktor haiwan menjalankan pemeriksaan ultrasound mendapati adanya janin dan degupan jantung ,” kata Dr Cheng.

    Pada April tahun ini, menurut WRS Kai Kai yang berumur 13 tahun dan Jia Jia, 12 tahun mula menunjukkan tanda-tanda ingin mengawan. Tempoh bunting untuk panda adalah lima bulan.

    WRS dan Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan China untuk Panda Raksasa (CCRCGP) kemudian bekerjasama untuk memulakan pelan pembiakan.

    Kai Kai dan Jia Jia yang berasal dari Pusat Panda Ya’an Bifengxia, Chengdu, China tiba di Singapura pada 6 September 2012.- BERNAMA

  • Komander Singapura dikenakan tindakan disiplin tidak pakai pelitup muka ditempat awam

    Komander Singapura dikenakan tindakan disiplin tidak pakai pelitup muka ditempat awam

    TINDAKAN seorang komander Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bercakap kepada rekrut kumpulan Latihan Asas Tentera (BMT) dekat stesen MRT Pasir Ris tanpa memakai pelitup muka dengan betul mengundang padah apabila dia bakal dikenakan tindakan disiplin.

    Jurucakap Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) dalam satu kenyataan berkata, satu siasatan oleh SAF mendapati komander berkenaan melanggar langkah-langkah pengurusan selamat yang telah ditetapkan.

    “Langkah-langkah pengurusan selamat adalah penting bagi memastikan latihan dan operasi SAF dapat dijalankan dengan selamat dan para komando kami harus menunjukkan contoh positif serta melaksanakan peraturan itu untuk melindungi diri mereka serta para pelatih,” kata MINDEF dalam satu kenyataan, semalam.

    Dalam satu video yang tular di Facebook, seorang lelaki berpakaian kemeja-t putih dilihat bercakap kepada sekumpulan rekrut SAF dengan pelitupnya di bawah dagunya sambil dia memegang minuman.

    Gambar-gambar lain menunjukkan lelaki itu sedang merokok di kawasan tersebut.

    Singapura semalam melaporkan 136 kes jangkitan baharu tempatan Covid-19.

    “Untuk mengekalkan tahap kesediaan operasi dan keselamatan latihan dalam sekitaran endemik Covid-19, SAF melaksanakan “langkah-langkah selamat, praktikal dan mampan,” kata MINDEF, bulan lalu.

    Ini termasuk “strategi serampang tiga mata” iaitu vaksinasi, ujian dan proses pengawasan lebih baik serta operasi berkumpulan.