Tag: sindir

  • Siasat pihak kutip dana PRU guna akaun peribadi: Pas sindir Isham

    Siasat pihak kutip dana PRU guna akaun peribadi: Pas sindir Isham

    KETUA Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pihak yang mengutip derma pilihan raya, tetapi menggunakan akaun peribadi sendiri.

    Tanpa merujuk kepada mana-mana parti atau pemimpin berkenaan, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu juga tidak membantah sekiranya SPRM turut menyiasat akaun bank PAS.

    “Boleh, dialu-alukan untuk siasatan (akaun bank Pas),” katanya dalam satu kenyataan, lapor Agenda Daily.

    Beliau dipercayai mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isham Jalil yang mengalu-alukan tindakan SPRM menyiasat sumber dana parti Bersatu, termasuk membekukan akaun bank.

    Isham dalam kenyataan dipetik daripada laporan NST berkata agensi anti rasuah itu juga perlu menyiasat dana sekutu rapat Bersatu, Pas.

    Beliau yang tidak terkejut dengan pembekuan akaun bank Bersatu berkata, SPRM juga perlu meneliti akaun PAS dan penglibatan parti itu dalam penyalahgunaan dana Covid-19 sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.

    “Memang bagus…tetapi saya harap SPRM tidak akan berhenti bersama Bersatu… saya tertanya-tanya bila pula giliran Pas,” kata Isham.

    Bagaimanapun, kenyataan Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkaitan kutipan derma pilihan raya, tetapi menggunakan akaun peribadi sendiri itu, dipercayai merujuk kepada Isham.

    “Cumanya, apa kata kita mulakan dengan orang yang lancarkan derma pilihan raya tapi menggunakan akaun peribadi?

    “Lebih teruk lagi, orang jenis ini pula yang beria-ia menyuruh siasat akaun parti lain.

    “Atau pada hakikatnya, sudah tiada air muka lagi untuk dijaga…?” kata Ahmad Fadhli.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, Isham yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Shah Alam melancarkan kutipan dana pilihan raya menggunakan akaun peribadi.

    Bagaimanapun, tindakan Isham itu mendapat perhatian daripada Twitter apabila akaunnya digantung.

  • Hassan sindir pihak cuba diamkan pengkritik kerajaan

    Hassan sindir pihak cuba diamkan pengkritik kerajaan

    AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyindir mereka yang cuba mendiamkan kritikan terhadap kerajaan perpaduan.

    Menerusi puisi yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Hassan dipercayai merujuk kepada kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang semalam mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) agar tidak membuat kenyataan yang boleh menjejaskan pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Shabery memberikan amaran tentang “virus” yang menggulingkan pentadbiran PH pada 2020 selepas hanya 22 bulan memerintah dan menurutnya “virus” itu kelihatan masih aktif dan boleh menuntut “mangsa kedua”.

    Katanya lagi, pemimpin PH mesti mengelak daripada mengkritik kerajaan secara terbuka kerana ia dianggotai pelbagai parti dan gabungan. Sebaliknya, beliau menggesa agar mereka menggunakan saluran dalaman yang tepat untuk menyampaikan kesangsian.

    Shabery menambah, kerajaan kini berada di atas “jambatan Bailey”, yang katanya boleh runtuh jika ahli-ahli parti dalam kerajaan saling menentang.

    Bagaimanapun, Hassan dilihat mempersendakan Shabery dalam puisinya dengan antara lain berkata, “Jangan bising-bising lagi … nanti tercabut skru-skru Jambatan Bailey ini”.

    “Atas nama kestabilan”, katanya, “jangan digoncang perahu ini, nanti karam semua,” tulisnya, lapor Free Malaysia Today.

    Kata Hassan lagi, rasuah tidak boleh disebut-sebut lagi dan perkataan “kluster” dan “mahkamah” ialah istilah “sensitif” ketika ini.

    “Kluster mahkamah” merujuk kepada pemimpin UMNO terkemuka, termasuk presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang sama ada sedang dibicarakan atau telah disabitkan dengan tuduhan seperti pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

  • DAP pun tak isytihar harta, KJ sindir PKR

    DAP pun tak isytihar harta, KJ sindir PKR

    CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menyindir PKR berkaitan pengisytiharan harta dengan berkata, DAP juga tidak berbuat demikian.

    “Kalau PKR nak buat boleh. Tiada masalah.

    “Tapi rakan PKR pun tak buat. DAP pun tak buat. Tapi biarlah, itu pendirian (parti) masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas hadir melancarkan pengorepasian Hospital Cyberjaya.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya pendiriannya berhubung pengisytiharan harta seperti dilakukan oleh PKR, dan adakah parti-parti lain perlu melakukan perkara yang sama.

    Semua calon PKR dikehendaki mengisytiharkan harta mereka kepada parti, tetapi keputusan untuk menerbitkannya tidak pernah berlaku sebelum ini.

    Semalam Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, parti itu tidak bercadang untuk mewajibkan semua calon mereka yang bertanding pada PRU15 mengisytiharkan harta.

    Menurut Loke, DAP tidak mempunyai polisi yang mana mewajibkan calon pilihan raya perlu mengisytiharkan harta mereka.

    Mengulas lanjut, Khairy berkata, pengisytiharan harta sudah menjadi amalan yang dilakukan oleh BN.

    Bagaimanapun, Khairy berkata, mereka akan mengisytiharkan harta selepas membentuk kerajaan dan dilantik menjadi menteri di peringkat persekutuan.

    “Saya pun dah isytihar harta kepada SPR dan harta saya berada dalam julat harta yang dibenarkan oleh SPRM,” katanya, lapor Free Malaysia Today.