Tag: Sindiket tumpas

  • Sindiket edar dadah RM2.5 juta guna kereta sewa tumpas

    Sindiket edar dadah RM2.5 juta guna kereta sewa tumpas

    TAKTIK satu sindiket pengedaran dadah menggunakan kereta sewa selain menyorok bahan terlarang berkenaan dalam bungkusan ‘teh Cina’ gagal mengaburi mata polis berjaya dibongkar selepas lapan individu termasuk dua wanita ditahan di Lembah Klang pada 23 September lalu.

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, menerusi beberapa serbuan berasingan berkenaan, pihak polis turut berjaya merampas dadah jenis methamphetamine bernilai RM2.5 juta.

    “Polis merampas 62 bungkusan ‘teh Cina’ berisi dadah jenis methamphetamine anggaran berat 63.1 kilogram dalam sebuah kereta jenis Hyundai Ionic yang diparkir di hadapan sebuah pasar raya di Seri Kembangan pada jam 6.30 petang.

    “Kami kemudian berjaya memberkas seorang lelaki dan wanita warga Vietnam di sebuah kondominium di Brickfields.

    “Hasil soal siasat, kami menahan lima lelaki dan seorang warga Thailand di tiga lokasi di Dang Wangi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

    Sharul Lalli berkata, modus operandi sindiket yang bergiat aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu itu menggunakan kenderaan sewa.

    “Kereta tersebut akan ditinggalkan sindiket berkenaan di sesuatu kawasan, kemudian individu lain akan mengambil kenderaan itu atau bungkusan dadah tersebut,” katanya.

    Sharul Lalli berkata, pihaknya turut menyita wang tunai RM126,000 dan lima buah kereta jenis Toyota Land Cruiser, Mercedes-Benz, Lexus, Proton Exora dan Nissan Serena.

    “Hasil semakan mendapati lima suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah dan dadah. Ujian saringan awal air kencing mendapati tiga orang positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua suspek berusia 31 hingga 53 tahun itu ditahan reman 11 hari dari 24 September hingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Sindiket pelaburan dalam talian tumpas

    Sindiket pelaburan dalam talian tumpas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BAHAGIAN Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama Bahagian Siasatan Risikan /Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, polis melakukan serbuan di sebuah premis di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

    “Seramai tujuh individu warga asing berumur 26 sehingga 35 tahun telah diberkas menerusi serbuan ini.

    “Turut dirampas ialah 14 unit monitor, tujuh unit pemprosesan pusat (CPU), 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua set modem dan satu set router,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 15 September ini untuk siasatan lanjut.

    “Siasatan awal mendapati sindiket mula beroperasi sejak Mac 2021 dan menyasarkan mangsa dari Korea.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan diminta menghubungi hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.