Tag: sindiket dadah tumpas

  • Sindiket dadah tumpas, pasangan kekasih dicekup

    Sindiket dadah tumpas, pasangan kekasih dicekup

    SATU sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang tumpas selepas polis menahan pasangan kekasih berusia 20 tahun dalam serbuan di sebuan hotel di Pusat Perdagangan One Puchong, di Serdang 10 Ogos lalu.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalangan berkata, menerusi penahanan itu polis menemui 6 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dipercayai untuk diedarkan oleh suspek lelaki tempatan dan wanita warga Vietnam berkenaan.

    Menurutnya, hasil penahanan suspek, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kemudian menyerbu sebuah kondominium yang disewa sindiket berkenaan sejak Januari di Kepong, Kuala Lumpur.

    “Pasukan serbuan berjaya menemui dan merampas dadah jenis syabu seberat 21kg, 9,600 biji pil erimin 5, dan 6,000 biji pil ekstasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Serdang, hari ini.

    Anbalangan berkata, polis percaya kedua-dua suspek berkenaan berperanan sebagai pengedar untuk pasaran di Lembah Klang dan usaha mengesan saki baki serta dalang sindiket sedang dijalankan.

    Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber semua bahan narkotik berkenaan dibawa masuk sama ada produk buatan tempatan atau dari luar.

    “Sumber dadah ini kita sedang siasat sama ada dari dalam atau luar negara dan kita juga sedang siasat dengan lebih lanjut peranan kedua-dua suspek ini.

    “Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan mengisi dadah berkenaan dalam peket lebih kecil untuk dijual di sekitar Lembah Klang termasuk di pusat-pusat hiburan,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata, nilai rampasan dadah dalam serbuan pertama dianggarkan berjumlah RM 215,000 manakala rampasan kedua RM992,000.

    “Kedua-dua suspek direman bermula 10 hingga 24 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

  • Sindiket dadah antarabangsa tumpas, rampasan RM1.2 juta

    Sindiket dadah antarabangsa tumpas, rampasan RM1.2 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor merampas dadah bernilai RM1.03 juta hasil selepas melakukan tujuh serbuan di Johor Bahru dan Iskandar Puteri kelmarin.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan itu dilakukan pada pukul 1.45 petang hingga 11 malam menerusi satu operasi khas sebelum menahan 10 warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun.

    Katanya, serbuan pertama melibatkan sebuah rumah dalam kawasan berpagar dan berkawal yang dijadikan makmal memproses dadah.

    “Menerusi serbuan ini, kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun selain menemui sejumlah dadah dan peralatan memproses dadah.

    “Selepas itu kita membuat enam serbuan susulan yang membawa kepada tangkapan sembilan lagi suspek termasuk dua wanita berusia 20 hingga 34 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek negatif dadah serta enam daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

    Pihaknya percaya sindiket tersebut yang sudah beroperasi sejak sebulan lalu bersedia untuk membuat pengedaran dadah di negara jiran berdasarkan daripada keadaan dadah telah siap dibungkus untuk diseludup.

    Ayob Khan menunjukkan 10 suspek yang ditahan terlibat dalam sindiker pengedaran dadah antarabangsa

    Katanya, modus operandi digunakan sindiket itu yang dipercayai aktif sejak sebulan lalu adalah dengan bersembunyi dalam premis perumahan berpagar dan berkawalan bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Mereka menyewa rumah untuk dijadikan stor dan memproses dadah untuk pasaran tempatan dan negara jiran,” ujarnya.

    Ayob memberitahu, dalam serbuan itu pihaknya merampas sebanyak 25.2 kilogram heroin dalam bentuk kiub bernilai RM336,000 dan 14 kilogram serbuk ecstasy bernilai RM700,000.

    “Daripada jumlah bekalan ini, boleh dikatakan untuk aktiviti pengedaran bagi digunakan seramai 176,666 penagih,” katanya.

    Tambah beliau, jumlah sitaan harta benda termasuk empat kereta bernilai RM194,000, keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1.2 juta.

    Suspek lelaki berusia 30 tahun katanya, direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala sembilan suspek lain akan diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.