Tag: Simpang Jeram

  • PN mampu buat kejutan di Pulai, Simpang Jeram, kata Mohd. Amar

    PN mampu buat kejutan di Pulai, Simpang Jeram, kata Mohd. Amar

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu membuat kejutan dengan memenangi kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September ini.

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu berdasarkan keputusan pada pilihan raya negeri (PRN) di keenam-enam negeri baru-baru ini yang memperlihatkan kebangkitan sokongan kepada PN terus meningkat.

    “Perkara ini terbukti melalui pencapaian PN terutama di Selangor dan di Negeri Sembilan.

    “Di Negeri Sembilan walaupun tak banyak kerusi dimenangi, tapi kami berjaya memecahkan penguasaan Pakatan Harapan (PH) dan di Selangor juga kejayaan besar kerana kami berjaya menafikan majoriti dua pertiga PH (Pakatan Harapan) apabila memperolehi 22 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

    “Itu pun kalau tidak kerana ada beberapa isu dalaman, mungkin kami boleh menguasai Selangor baru-baru ini. Jadi, ini satu potensi yang besar dan insya-Allah kami boleh membuat kejutan dalam PRK ini serta tidak mustahil akan memenangi kerusi-kerusi itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Panchor, Kota Bharu hari ini.

    Pihaknya juga menaruh harapan tinggi dalam PRK di DUN Pelangai yang akan diadakan pada 7 Oktober ini dan akan meletakkan calon terbaik di kerusi Pulai serta Simpang Jeram bagi memastikan kemenangan PN.

    Beliau berkata, melihat kesan jangka panjang jika PN menang di Pulai dan Simpang Jeram, akan mengukuhkan lagi kedudukan gabungan politik antara Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Jika kami menang di dua kerusi itu, akan membuka laluan lebih mudah untuk PN menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

    “Terutamanya di Pulai kerana bagi kami, sudah meletakkan calon yang terbaik di kerusi itu yang mampu memenuhi aspirasi PN,” ujar Mohd. Amar.

    Dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu, penolakan terhadap UMNO terutama Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi amat ketara dalam pilihan raya lepas.

    Katanya, penolakan itu akan membantu memberikan kemenangan kepada PN dalam PRK di kerusi-kerusi dipertandingkan selain situasi politik membabitkan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang digantung keahlian dalam UMNO akan turut memainkan peranan.

    “Semua tokoh yang ada di Johor dan cenderung kepada PN, kami percaya boleh membantu PN untuk menarik undi terutama daripada penyokong-penyokong dan juga ahli-ahli UMNO sendiri.

    “Saya percaya penolakan terhadap UMNO akan terus berlaku. Jadi, kita yakin boleh ambil balik kerusi,” kata beliau, lapor Sinar Harian.

  • 3,500 polis bertugas penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram 

    3,500 polis bertugas penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram 

    SERAMAI 3,500 pegawai dan anggota polis di negeri ini akan ditugaskan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar, pada Sabtu ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata seramai 2,500 pegawai dan anggota ditempatkan di pusat penamaan calon PRK Pulai dan kawasan sekitarnya, manakala selebihnya di DUN Simpang Jeram.

    “Kesemua pegawai dan anggota ini termasuk kereta-kereta peronda akan digerakkan ke pusat penamaan calon dan kawasan sekitar untuk membuat pemantauan dan menjaga keselamatan bagi memastikan tiada sebarang gangguan berlaku,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

    Pada masa yang sama, Kamarul Zaman menasihati calon serta penyokong parti politik supaya mematuhi segala arahan dan peraturan yang diberikan pihak polis serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

    Beliau turut mengingatkan calon dan penyokong agar tidak mencetuskan sebarang provokasi serta saling menghormati antara satu sama lain.

    Sementara itu, beliau berkata 927 anggota polis akan mengundi awal pada PRK Parlimen Pulai, namun tiada anggota yang terlibat bagi pengundian awal PRK DUN Simpang Jeram.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada Sabtu ini, 5 September pengundian awal dan hari pengundian pada 9 September.

  • PRK:PN akan ‘all out’ di Pulai, Simpang Jeram

    PRK:PN akan ‘all out’ di Pulai, Simpang Jeram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini merupakan satu ‘isyarat baharu’ kepada Kerajaan Persekutuan.

    Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, keyakinan untuk menang adalah berasas terutama apabila gelombang rakyat menyokong PN sudah semakin terasa di negeri ini seperti yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.

    “Gelombang PRN di enam negeri akan benar-benar sampai ke Johor, dulu-dulu hanya sampai angin sepoi-sepoi bahasa ke Melaka dan Johor (semasa PRN di Melaka dan Johor).

    “Sekarang Insya-Allah akan sampai ke Pulai dan Simpang Jeram. PN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Pas tekad memperoleh kemenangan di Pulai dan Simpang Jeram.

    “Kita akan ‘all out’ (bersungguh-sungguh) buat kerja semaksimum mungkin untuk pastikan kemenangan di dua tempat ini. Kita usaha ikhtiar, laksana segala tuntutan perjuangan, syarat-syarat menang dan seumpamanya, kita berdoa dan bertawakal pada Allah,” ujar beliau.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis pengumuman calon PN bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Bilik Gerakan Utama PN Pulai, Kempas, Johor Bahru hari ini.

    Turut hadir Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin,
    Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

    Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan Zulkifli Jaafar sebagai calon PN di Parlimen Pulai dan Dr. Mohd. Mazri Yahya sebagai calon DUN Simpang Jeram.

    Sementara itu, Dr. Sahruddin mahu semua semua pihak berganding bahu dan mendekati pengundi untuk menyampaikan mesej pentingnya mengundi PN.

    Bekas Menteri Besar Johor itu turut mengakui gelombang rakyat terhadap PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan PRN sudah sampai di negeri ini.

    Dalam pada itu, Dr Dominic Lau memberitahu, di Parlimen Pulai terdapat 43 peratus pengundi Melayu, 40 peratus pengundi Cina dan 12 peratus pengundi Cina.

    Selain itu, beliau melihat isu berkaitan calon sudah selesai dan adalah penting untuk semua pihak dalam gabungan itu memberi sokongan penuh ketika berkempen nanti.

  • PRK:PN yakin rampas kerusi Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

    PRK:PN yakin rampas kerusi Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin menang di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kerana situasi politik kini berbeza jika dibandingkan dengan pilihan raya terdahulu.

    Calon PN DUN Simpang Jeram, Dr. Mohd. Mazri Yahya, 54, berkata, PN melihat peluang gabungan politik tersebut untuk menang PRK tersebut adalah lebih cerah disebabkan faktor itu.

    “Dia punya suasana berbeza, PRU14, PRU15 berbeza dengan PRK. PRK ini jauh berbeza. Mudah-mudahan dengan suasana berbeza ini dapat kekalkan suasana dan momentum PN di Johor,” katanya ketika ditemui pemberita. menjelaskan, keputusannya bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) bukan untuk mencari kekayaan atau kekuasaan.

    Sebaliknya kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu, beliau bersetuju menjadi calon selepas parti mahukannya bertanding lagi selain mahu berkhidmat kepada masyarakat di Simpang Jeram.

    “Saya tiada niat nak tanding PRK tapi sebagai ahli Pas dan AJK Pas Pusat selain mengikut arahan kepimpinan parti untuk bertanding di Simpang Jeram.

    “Pada mulanya perasaan itu berbelah bagi tapi atas dasar tanggungjawab kepada parti, saya rasa perlu (bertanding), Insya-Allah akan cuba sempurnakan amanah ini.

    “Mudah-mudahan masyarakat di Simpang Jeram dapat menerima saya dan cuba sumbang yang terbaik kepada masyarakat Simpang Jeram,” katanya ketika ditemui pemberita.

    Terdahulu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Dr. Mohd. Mazri sebagai calon DUN Simpang Jeram manakala Zulkifli Jaafar sebagai calon di Parlimen Pulai.

    Pengumuman itu dilakukan di Bilik Gerakan Utama PN Pulai, Kempas di Johor Bahru pada Khamis yang turut dihadiri Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali, Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

    Sementara itu, Dr Mohd Mazri berkata, keputusannya bertanding dalam pilihan PRK bukan untuk mencari kekayaan atau kekuasaan.

    Sebaliknya kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu, beliau bersetuju menjadi calon selepas parti mahukannya bertanding lagi selain mahu berkhidmat kepada masyarakat di Simpang Jeram.

    “Saya tiada niat nak tanding PRK tapi sebagai ahli Pas dan AJK Pas Pusat selain mengikut arahan kepimpinan parti untuk bertanding di Simpang Jeram.

    “Pada mulanya perasaan itu berbelah bagi tapi atas dasar tanggungjawab kepada parti, saya rasa perlu (bertanding), insya-Allah akan cuba sempurnakan amanah ini.

    “Mudah-mudahan masyarakat di Simpang Jeram dapat menerima saya dan cuba sumbang yang terbaik kepada masyarakat Simpang Jeram,” katanya.

    Sementara itu, Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai, 50, berkata, pihaknya melihat tiada apa yang mustahil untuk menang di Parlimen Pulai.

    “Kita kena kerja kuat, tiada apa yang tak boleh dapat kalau kerja kuat. Insya-ALLAH kita akan berusaha bersungguh-sungguh,” ujar beliau.

  • PN menang di Pulai, Simpang Jeram jika 90 peratus pengundi Melayu keluar

    PN menang di Pulai, Simpang Jeram jika 90 peratus pengundi Melayu keluar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) akan menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sekiranya 90 pengundi Melayu keluar mengundi pada 9 September ini.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut tidak mustahil walaupun sebelum ini ada pihak memaklumkan gabungan politik itu sukar menang di dua kerusi berkenaan.

    “Ada orang kata kepada saya, jika diikut pecahan pengundi ikut kaum, susah nak menang Tan Sri. Usaha ‘not impossible’ (tidak mustahil boleh menang)..
    ini (Parlimen Pulai) kawasan gelap, akan datang ini kawasan putih kerana dalam analisis hampir 80 peratus sokong PN.

    “Itu rahsia (formula PN untuk menang) tapi terdedah, kalau dapat menang, menang kita,” katanya berucap pada majlis pengumuman calon Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bilik Gerakan Utama PN Bahagian Pulai, Kempas, Johor Bahru hari ini.

    Turut hadir Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kedua-dua calon PN itu sudah ditapis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah dan tidak bangkrap.

    Katanya, PN tidak mahu kalah pada PRK tersebut dan berharap tiada masalah dalaman seperti yang berlaku dalam pilihan raya sebelum ini.

    “Siapa calon yang kita letak harap dapat sokong
    100 peratus,” ujarnya dan mahukan semua pihak bekerjasama dan terus menjalinkan hubungan baik dalam usaha menang dalam PRK tersebut.

    Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada Gerakan kerana berkorban menyerahkan kerusi Parlimen Pulai kepada Bersatu untuk ditandingi mewakili PN.

  • Zulkifli, Mazri calon PN PRK Pulai, Simpang Jeram

    Zulkifli, Mazri calon PN PRK Pulai, Simpang Jeram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, pada 9 September nanti.

    Sementara pakar bedah endovaskular, Dr. Mohd. Mazri Yahya pula diumumkan sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Pengumuman itu dilakukan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Bilik Gerakan Utama (BGU) PN Pulai, Kempas Baru, Johor Bahru, sebentar tadi.

    Hadir sama, Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

    Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept.

  • PRK Pulai, Simpang Jeram: 22 borang penamaan calon dijual setakat semalam

    PRK Pulai, Simpang Jeram: 22 borang penamaan calon dijual setakat semalam

    SEBANYAK 22 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sudah dijual setakat semalam.

    Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua borang berkenaan dibeli oleh parti Amanah, PAS, Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

    “Bagi DUN Simpang Jeram, tiga set (borang penamaan calon) dibeli Amanah, PAS (dua), PN (lima) dan Bebas (satu), manakala bagi Parlimen Pulai, PN membeli lima set, Amanah (empat) dan Bebas (dua),” menurut kenyataan itu di sini.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berasingan hari ini berkata pada hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon (PPC) dari 9 pagi hingga 10 pagi.

    Beliau berkata PPC bagi Parlimen Pulai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, manakala PPC bagi DUN Simpang Jeram ditetapkan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.

    “Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon,” katanya.

    Selain itu, bakal calon juga disaran untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran itu hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran, kata beliau.

    “Bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon,” kata Ikmalrudin.

    Beliau juga mengingatkan, setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi seorang pencadang dan seorang penyokong calon untuk memasuki PPC, selain penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jenis kenderaan tidak dibenarkan pada hari penamaan calon kerana ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Orang awam serta penyokong yang mengiringi calon pula dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC ditetapkan.

    Selain itu, calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan mempamerkan dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.

    “SPR menyeru kepada bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia dan PBT bagi memastikan proses penamaan calon dapat berjalan dengan baik dan lancar,” kata Ikmalrudin.

    Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept. – BERNAMA

  • PN Johor jangka saingan tiga penjuru di Pulai, Simpang Jeram

    PN Johor jangka saingan tiga penjuru di Pulai, Simpang Jeram

    PERIKATAN Nasional (PN) Johor menjangkakan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, berkata, ini susulan status Johor yang tidak melaksanakan konsep kerajaan Perpaduan seperti di peringkat kerajaan Persekutuan.

    Bekas Menteri Besar Johor itu menjelaskan, berdasarkan konsep berkenaan tidak mustahil Barisan Nasional (BN) berkemungkinan besar akan meletakkan calon di kedua-dua kerusi tersebut.

    “Sebagai penyandang kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Parti Amanah Negara (Amanah) sudah tentu mahu terus bertanding di situ.

    “Status Johor yang tidak melaksanakan konsep Kerajaan Perpaduan dalam pentadbirannya memungkinkan ada pertembungan dua parti dalam Kerajaan Perpaduan BN dan Pakatan Harapan (PH) di kedua-dua kerusi berkenaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

    Dr. Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong berkata, PN Johor semestinya akan bertanding dan meletak calon di dua kerusi berkenaan, lapor Sinar Harian.