Tag: simpanan KWSP

  • Simpanan KWSP, peribadi lesap, wanita rugi RM1.18 juta

    Simpanan KWSP, peribadi lesap, wanita rugi RM1.18 juta

    SEORANG wanita berusia 55 tahun rugi RM1.18 juta setelah terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram, yang dimaklumkan kepadanya menerusi panggilan telefon.

    Menurut laporan polis dibuatnya semalam, pekerja teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta di Bintulu itu menerima panggilan telefon pada 22 Mei lalu daripada seorang lelaki tidak dikenalinya yang mendakwa dari Putrajaya.

    Pemanggil itu mendakwa mangsa ada mendaftarkan nombor telefon di Kota Kinabalu, Sabah yang digunakan untuk memfitnah Kementerian Kesihatan, menurut laporan itu.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, panggilan berkenaan kemudiannya disambungkan kepada dua individu, kononnya ‘Sarjan Wong’ dan ‘Inspektor Khoo’ dari Kota Kinabalu, yang menuduh mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.

    “Setelah itu, mangsa dimaklumkan oleh suspek bahawa Bank Negara mahu memeriksa wangnya. Mangsa dikehendaki membuka akaun bank baharu atas namanya dan memindahkan wang ke akaun itu bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mangsa yang panik membuka tiga akaun bank di Bintulu pada 23 Mei dan 9 Jun, kemudian memindahkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan banknya, masing-masing berjumlah RM881,000 dan RM300,000, ke dalam akaun bank baharu tersebut.

    Wanita itu turut diarahkan oleh ‘lnspektor Khoo’ untuk memberikan maklumat akaun bank baharu itu berserta nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian kepada suspek.

    “Mangsa juga dikehendaki mematahkan dan membuang ketiga-tiga kad ATM (bagi akaun-akaun baharunya),” kata Mohd Azman.

    Tambahnya, mangsa hanya menyedari tertipu setelah memberitahu perkara itu kepada suaminya, serta menghubungi pihak bank tentang transaksi terbabit.

  • Simpanan KWSP sokong pinjaman bank idea ‘dangkal’ – Bersatu

    Simpanan KWSP sokong pinjaman bank idea ‘dangkal’ – Bersatu

    CADANGAN kerajaan membenarkan pencarum KWSP menggunakan simpanan Akaun 2 mereka untuk menyokong permohonan pinjaman disifatkan Bersatu sebagai “dangkal”.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, ia membuktikan kerajaan tidak kompeten kerana tidak memikirkan kesan negatif bakal berlaku.

    “Jika ramai yang membuat pinjaman menggunakan Akaun 2 sebagai sandaran dan tidak mampu membayar pinjaman itu, dan bank hanya boleh mengambil tindakan hanya selepas simpanan KWSP itu matang untuk dikeluarkan.

    “Ia bakal menyebabkan krisis perbankan yang sangat kritikal,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut Razali berkata, rakyat yang berdepan masalah kewangan kini tidak mampu untuk membayar pertambahan hutang dan ramai yang mengadu Akaun 2 sudah digunakan untuk membayar pinjaman rumah.

    Menurut beliau, pembangkang bersedia untuk bersama kerajaan mencari “penyelesaian yang logik”.

    “Kita boleh turut menjemput individu dan NGO yang memperjuangkan pengeluaran KWSP bersasar ini untuk duduk bersama,” katanya.

    Semalam, Kementerian Kewangan menjelaskan simpanan KWSP boleh digunakan untuk menyokong permohonan pinjaman.

    Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan simpanan persaraan itu boleh digunakan sebagai cagaran pinjaman.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, kerajaan sedang memuktamadkan inisiatif untuk membenarkan ahli KWSP menggunakan simpanan dalam Akaun 2 sebagai sandaran bagi mendapat pembiayaan institusi perbankan.

    Katanya, inisiatif itu tidak akan membebankan rakyat kerana kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islam) yang dikenakan bank yang terlibat dalam inisiatif ini dijangka antara 4% hingga 5%.

  • Simpanan KWSP pencarum Melayu rendah, kerajaan diminta cari penyelesaian

    Simpanan KWSP pencarum Melayu rendah, kerajaan diminta cari penyelesaian

    AHLI ekonomi mahu kerajaan mencari jalan meningkatkan simpanan persaraan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), terutama ketika situasi dalam kalangan pencarum Melayu membimbangkan.

    Pensyarah dari Universiti Tun Abdul Razak, Barjoyai Bardai berkata, simpanan median RM5,000 pencarum Melayu bermakna tujuh juta ahli KWSP daripada kalangan kumpulan itu tidak akan mempunyai wang mencukupi menjelang persaraan.

    Menurutnya, sasaran simpanan asas minimum KWSP adalah RM240,000 yang sepatutnya menjana pulangan 6% setahun. Ini bermakna, pesara boleh mendapat RM1,000 sebulan.

    “Jika seseorang bersara dengan simpanan RM50,000 dalam KWSP, ini bermakna mereka hanya mendapat pulangan tahunan RM250 sebulan. Itu tak cukup.

    “Bayangkan situasi mereka bersara kurang daripada RM50,000. Ini menggusarkan,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Minggu lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, simpanan median KWSP dalam kalangan Melayu menurun daripada RM16,900 kepada RM5,500 susulan pengeluaran ketika pandemik Covid-19.

    Ahmad berkata, ia menjadi penyebab utama kerajaan tidak membenarkan pengeluaran sekali lagi.

    Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, sekiranya masalah simpanan rendah tidak diselesaikan, ramai orang Melayu berusia terpaksa berterusan bekerja selepas bersara. Katanya, pasaran kerja akan penuh dengan orang berusia.

    “Apa akan jadi mereka yang tidak mampu lagi bekerja? Mereka akan menjadi beban kepada kerajaan kerana mereka perlu dibela.”

    Mengulas pemberian ‘one-off’ RM500 kepada ahli KWSP berumur 40 hingga 54 yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 dalam Akaun 1, Barjoyai berkata, ia tidak banyak membantu memandangkan jumlah itu sedikit.

    Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengumumkan pemberian ‘one-off’ tersebut dalam pembentangan Belanjawan 2023, sambil menambah inisiatif itu memanfaatkan dua juta ahli KWSP melibatkan kos RM1 bilion.

    Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago pula mencadangkan dasar perlindungan sosial baharu dilaksana demi memastikan simpanan mencukupi apabila tiba persaraan.

    “Masalah utama dalam KWSP adalah orang ramai tidak mempunyai simpanan cukup, jadi anda tidak menyimpan secukupnya untuk berdepan kos sara hidup.”

    Beliau mencadangkan penubuhan dana bagi mereka yang bersara, namun tidak mempunyai simpanan mencukupi.

    “Kita boleh mencari jalan bagi meningkatkan dana, seperti bon atau sumbangan. Dana itu sendiri mesti diuruskan KWSP atau Perkeso.

    “Tetapi, ideanya adalah membantu agihan dana kepada yang memerlukan. Dalam pada itu, kerajaan perlu memacu usaha menambah kemahiran demi membantu pekerja mendapat lebihan wang, jadi mereka mampu menyimpan untuk persaraan.”