Tag: Sijil vaksin palsu

  • Reman doktor jual sijil vaksin palsu sambung 2 hari

    Reman doktor jual sijil vaksin palsu sambung 2 hari

    PERINTAH tahanan reman terhadap seorang doktor klinik swasta yang didakwa menjual sijil vaksinasi COVID-19 palsu di Terengganu disambung dua hari lagi oleh Mahkamah Majistret Marang.

    Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan tahanan reman dilanjutkan sehingga Khamis ini terhadap doktor lelaki berusia 51 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dijalankan pihak polis.

    Sabtu lepas doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dilaporkan berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik berkenaan untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi palsu itu.

    Doktor berkenaan dipercayai mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi tanpa melakukan suntikan yang sebenar. – BERNAMA

  • Doktor kaut hampir RM1 juta jual sijil vaksin palsu

    Doktor kaut hampir RM1 juta jual sijil vaksin palsu

    POLIS Terengganu menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu di Marang, dekat Kuala Terengganu, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

    “Siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik ini (tujuan vaksinasi) dan daripada jumlah itu kita masih menyiasat berapakah jumlah sebenar yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapat sijil vaksinasi palsu.

    “Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi palsu ini, mereka perlu membayar antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

    Rohaimi berkata, individu dari luar Terengganu juga dipercayai turut menggunakan khidmat doktor tersebut bagi mendapatkan sijil vaksinasi palsu.

    “Kita dapati kebanyakan pelanggannya berurusan secara dalam talian, jadi kita akan cuba dapatkan maklumat daripada e-mel dalam komputer riba yang turut dirampas dari klinik berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, doktor yang mengaku dirinya sebagai golongan antivaksin itu, dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik yang lain.

    “Walaupun doktor itu mengaku antivaksin, beliau sudah menerima suntikan vaksin (COVID-19), mungkin atas sebab tuntutan kerjaya beliau sebagai doktor,” katanya.

    Katanya, suspek dipercayai menggunakan ejen yang diberi komisen sebanyak RM50 untuk mempromosikan khidmatnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Menurut Rohaimi, perbuatan doktor yang bertauliah itu bukan sahaja merupakan satu jenayah, malah boleh membawa musibah kepada kesihatan masyarakat.

    Pada sidang media sama, Pengarah JKN Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, klinik swasta berkenaan dibenarkan untuk memberi suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September tahun lepas dan semakan mendapati klinik itu telah membuat permohonan untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19, namun belum diluluskan.

    Kasemani berkata, terdapat klinik yang masih belum dilantik menjadi PPV, namun boleh memberikan suntikan secara berbayar bagi vaksin COVID-19 keluaran Sinovac sahaja.

    Beliau berkata, pemberian suntikan vaksin secara berbayar semakin berkurangan kerana sudah terdapat vaksin yang mencukupi untuk diberikan secara percuma di PPV yang dilantik.

    “Kita akan tunggu hasil siasatan polis untuk tindakan lanjut terhadap doktor dan klinik ini,” katanya dan menambah pendaftaran klinik serta lesen doktor tersebut boleh dibatalkan jika didapati bersalah. – BERNAMA

  • Polis Kedah buka siasatan isu penularan penjualan sijil vaksin digital palsu

    Polis Kedah buka siasatan isu penularan penjualan sijil vaksin digital palsu

    Oleh Rizqi Zabidi

    Polis Kedah membuka kertas siasatan berhubung laporan diterimanya mengenai penularan penjualan sijil vaksin digital palsu seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Aka 342) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

    Katanya, jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Polis Kedah ada menerima laporan mengenai penularan isu penjualan sijil vaksin digital palsu kira-kira pukul 9.44 malam, semalam.

    “Namun setakat ini tiada laporan diterima berkaitan pemilikan atau penjualan sijil tersebut.

    Justeru pihak polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh untuk memiliki sijil tersebut,” katanya.

    Tambahnya orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kes tersebut diminta tampil menyalurkannya kepada Polis Kedah di talian 04-7741275, Perkhidmatan Respons Kecemasan Malaysia (MERS) 999 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Noorulazanni Muhammad Noor di talian 011-10318409.

    Sebelum ini Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Datuk Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Noor memaklumkan, sijil digital tersebut dijual pada harga hanya RM15 dan memaparkan maklumat penerimanya.

    Antara maklumat tersebut termasuklah gambar pemilik serta tarikh dan lokasi dos vaksin diberikan.

    Tindakan tidak bertanggungjawab itu kata Mohd. Rushdan dikhuatiri menimbulkan kesukaran kepada pihak berkuasa untuk melakukan semakan terperinci.