Tag: sidang Parlimen

  • Adakah Rafizi menipu lagi?

    Adakah Rafizi menipu lagi?

    Oleh MOHAMAD KAMAL MOHAMED

    KELUCUAN hujah Rafizi Ramli dalam Sidang Parlimen hari ini ketika menggulung perbahasan Menteri Ekonomi menampakkan beliau agak keras mencuba (baca ; try hard) untuk mempertahankan pertikaian yang jelas nampak terhadap jawatan Menteri Kewangan yang dipegang oleh PMX. Beliau terlalu nampak mencuba.

    Beliau juga cuba untuk menyerang kerajaan terdahulu semasa musim Pandemik melalui rangsangan ekonomi yang diumumkan sebagai gelojoh. Beliau seolah terkhilaf dengan formula sendiri melalui fahaman mengikut mazhab ekonominya. Beliau secara angkuh mempertahankan formulanya tanpa langsung mahu mendengar hujahan ahli parlimen yang lain.

    Sepanjang perbahasan saya catatkan kekhilafan mazhab ekonomi Rafizi sebagaimana berikut;

    1. Beliau membuat tuduhan terhadap rangsangan ekonomi RM 600 bilion sebagai pendekatan gelojoh dan tidak berhemah. Hakikatnya beliau terkhilaf dengan rangsangan ekonomi yang diwujudkan semasa Pandemik yang memerlukan suntikan besar dalam apa jua cara untuk meningkatkan tahap ekonomi negara melalui kuasa beli rakyat.
    2. Peruntukan paling tinggi dalam belanjawan negara dengan 50% Peruntukan Pembangunan (Development Expenditure) dalam belanjawan 2023. Beliau telah merangkumkan 4 negeri Perikatan Nasional dengan peratusan besar 50% termasuk Sabah dan Sarawak. Walhal jika diperincikan peruntukan untuk empat buah negeri Perikatan Nasional bukanlah 50% tetapi hanyalah 17%.

    Rafizi samada secara sengaja atau berkepentingan politik telah mengulang-ulang rangkuman 50% pembangunan termasuk Sabah (18%) dan Sarawak (17%) seolah-olah Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis diutamakan dalam belanjawan.

    Politik desperado sebegini pada hemah saya adalah tidak wajar dan tidak boleh dipercayai. Malanglah ekonomi negara bermenterikan Rafizi.

    Salam hormat.

    Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan

  • Sidang Parlimen pertama 19 Dis bentang usul undi percaya kepada PM

    Sidang Parlimen pertama 19 Dis bentang usul undi percaya kepada PM

    Persidangan Parlimen ke-15, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan diadakan pada 19 Disember.

    Anwar yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan pada sidang itu bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri.

     “Usul pertama selain daripada angkat sumpah adalah usul dari kerajaan iaitu undi percaya. Jadi tidak  timbul keresahan kita tentang keabsahan yang ada,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai perdana menteri di Sungai Long Golf & Country Club, Kajang dekat sini  hari ini.

    Selain Pakatan Harapan (PH), beliau turut mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.

    “Soal kestabilan tidak sepatutnya berbangkit,” katanya.

    Anwar berkata pada sidang Parlimen itu juga kerajaan akan membentangkan dan meluluskan emolumen bagi penjawat awam terlebih dahulu, sebelum Bajet 2023 dibentangkan semula.

    “Bajet, sudah pasti kita ada emolumen jelas (kepada penjawat awam) pertama pada 19 Dis ini. Supaya penjawat awam tidak perlu risau.

    “Kemudian berikan tempoh kira-kira sebulan, kita akan bentangkan bajet baharu, atau mungkin bajet yang disemak semula,” katanya.

    Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Okt lepas oleh Menteri Kewangan ketika itu Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion, dan tiga hari kemudian Parlimen dibubarkan bagi memberi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini. – BERNAMA

  • Kenaikan pencen B40 antara fokus dewan rakyat hari ini

    Kenaikan pencen B40 antara fokus dewan rakyat hari ini

    KENAIKAN bayaran pencen bagi golongan B40 adalah antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) bertanya kepada Perdana Menteri sekiranya kerajaan akan menaikkan bayaran pencen bagi golongan itu selaras dengan kos sara hidup yang tinggi, selain ramai yang kehilangan sumber pendapatan ketika pandemik COVID-19 pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

    Turut terkandung dalam sesi itu adalah soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Menteri Kanan Kerja Raya mengenai cabaran dihadapi sektor pembinaan akibat COVID-19 dan bantuan dihulurkan kerajaan kepada sektor itu.

    Pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, isu status terkini Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 serta pelan tindakan kerajaan dalam mengembalikan hak keistimewaan Sabah dan Sarawak, dibangkitkan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri.

    Turut dibangkitkan ialah persiapan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menghasilkan vaksin sendiri serta vaksin terhadap varian baharu yang diajukan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian).
     
    Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memasuki hari ketiga, hari ini.

    Semalam, seramai 29 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan RMK12 selepas dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas.

    Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini. – Bernama

  • Sidang Parlimen kekal mengikut jadual

    Sidang Parlimen kekal mengikut jadual

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MESYUARAT Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadualkan bermula 6 September ini akan berlangsung mengikut jadual ditetapkan.

    Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, berkata setakat ini tiada perubahan pada tarikh persidangan dan mesyuarat itu akan berlangsung seperti biasa.

    “Setakat ini tiada notis perubahan dan tiada notis baharu dikeluarkan. Jika ada perubahan dari Ketua Majlis, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengeluarkan pemakluman,” katanya, hari ini.

    Berdasarkan takwim dan Aturan Urusan Mesyuarat disiarkan di portal rasmi Parlimen, Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 akan berlangsung bermula 6 hingga 30 September ini.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan, istiadat pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 6 September ini.

    Beliau dilaporkan berkata, istiadat itu akan berlangsung pada jam 10 pagi di Bangunan Parlimen Malaysia.

    “Mesyuarat pertama akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 sehingga 30 September 2021.

    “Mesyuarat kedua pula berlangsung selama 32 hari bermula 25 Oktober sehingga 16 Disember 2021,” katanya.

    Azhar Azizan dilaporkan berkata, semua ahli Dewan wajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelaksanaan Persidangan Parlimen yang ditetapkan dengan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan, bagi memastikan ia berlangsung dalam keadaan selamat.

    Sidang Dewan Rakyat yang membuka tirainya bulan depan, bakal menyaksikan perubahan Ketua Majlis selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 20 Ogos lalu.