Tag: Sibu

  • Bayi ditemukan lemas dalam parit

    Bayi ditemukan lemas dalam parit

    SEORANG bayi lelaki berusia 18 bulan ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit di hadapan kediamannya di Jalan Kwong Ming, Sibu, hari ini.

    Mayat Sia Chin Hang dijumpai dalam anggaran jarak 600 meter dari kediamannya oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 2.10 petang.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pukul 1.24 tengah hari dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi kejadian.

    Katanya, operasi SAR dimulakan empat anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dalam parit berhampiran rumah mangsa.

    “Pada pukul 2.10 petang mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam parit dianggarkan sedalam dua hingga tiga meter oleh pasukan SAR,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Kata jurucakap itu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

    “Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Operasi SAR ditamatkan pada 4.23 petang,” katanya.

  • Kubur di Sibu diceroboh, dirosak

    Kubur di Sibu diceroboh, dirosak

    SEBANYAK 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim, Jalan Tun Abang Haji Openg di Sibu, diceroboh dan dirosakkan disyaki dilakukan seorang lelaki kurang siuman semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata siasatan awal mendapati batu nisan pada 11 kubur berkenaan dicabut kemudian dipercayai dihempas sehingga pecah dan patah manakala empat daripadanya mengalami kerosakan pada jubin lot kubur dipercayai akibat dihempas batu nisan.

    Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 1.58 tengah hari di Balai Polis Pusat Sibu semalam dan siasatan dijalankan sejurus selepas itu.

    “Tiada sebarang senjata atau peralatan mencurigakan dijumpai di tempat kejadian. Usaha sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek terlibat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

    Zulkipli turut menasihatkan masyarakat Islam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sebaliknya segera menyalurkan sebarang maklumat kepada polis atau tampil ke balai-balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Hakimi Abd. Azid (01131873715).

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Bekalan air di Sibu terjejas akibat himpunan serpihan balak

    Bekalan air di Sibu terjejas akibat himpunan serpihan balak

    LEMBAGA Air Sibu (SWB) tidak dapat mengekstrak air dari Sungai Rejang akibat berlaku pelodakan serius, susulan kejadian himpunan serpihan kayu balak di kawasan hulu Sungai Baleh di Bahagian Kapit, semalam.

    Dalam notis kepada pelangganya menerusi Facebook, SWB memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Salim dan Loji Rawatan Air Bukit Lima beroperasi pada kapasiti minimum, sekali gus memberi kesan terhadap bekalan air ke seluruh kawasan Sibu.

    “Kita akan cuba memulihkan bekalan dengan kadar segera. Sebarang kesulitan amat dikesali,” menurut SWB dalam kenyataan itu.

    Semalam Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Baleh Tan Sri Dr James Masing berkata himpunan balak tersebut berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan hulu Baleh.

    Beliau yang berang dengan kejadian itu, mendesak supaya lesen bagi pemilik-pemilik konsensi balak berkenaan tidak diperbaharui bagi mengelak insiden yang sama berulang.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew menggesa kerajaan Sarawak untuk menyiasat punca berlakunya himpunan balak tersebut, yang pernah berlaku pada 2010 sehingga menyebabkan ikan-ikan mati akibat kandungan bahan tercemar yang tinggi dan kandungan oksigen yang sangat rendah di dalam air.

    “Kesilapan sama berulang lagi hari ini, kami berhak mendapat jawapan daripada kerajaan negeri. Ini adalah isu alam sekitar yang serius, ikan-ikan yang bernilai di Sungai Rejang mungkin hilang jika isu ini tidak diselesaikan dan dibiar berulang lebih kerap,” tegas beliau menerusi satu kenyataan.

    Beliau mendesak kerajaan mengeluarkan laporan siasatan secepat mungkin dan langkah-langkah yang telah dilakukan sejak insiden himpunan kayu balak pada 2010 dan faktor berulangnya kejadian ini.

    Dalam pada itu, bekas presiden Kelab Rotary Sibu Dr Gregory Hii Sui Cheng meminta pemilik konsensi balak untuk mengamalkan kaedah yang lebih baik agar serpihan balak tidak dihanyutkan ke dalam sungai sehingga menyebabkan hakisan tebing sungai dan pencemaran yang teruk.

    “Pencemaran sungai ini telah memberi kesan kepada kita susulan gangguan bekalan sumber air minum,” kata Hii.

    Beliau turut merayu kepada penduduk di tebing sungai dan penghuni kota, supaya mengelak daripada membuang sisa domestik ke dalam sungai yang akan memburukkan lagi masalah kelodak dan pencemaran sungai itu.

    “Sungai perlu dijaga dan hargai, oleh itu saya merayu kepada semua supaya peliharalah kebersihan sungai kita dan hentikan mencemarinya,” katanya.- BERNAMA