Tag: siasatan SPRM

  • Siasatan SPRM ke atas Muhyiddin untuk lumpuhkan Bersatu, kata Azmin

    Siasatan SPRM ke atas Muhyiddin untuk lumpuhkan Bersatu, kata Azmin

    AHLI Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa siasatan SPRM ke atas presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini sebagai satu permulaan kepada usaha melumpuhkan parti itu.

    Beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) berkata, ia juga permulaan gerakan yang akan berterusan terhadap parti itu.

    “Kita lihat ini satu permulaan gerakan masa yang akan berterusan kerana kita lihat ada usaha yang terancang melumpuhkan kebangkitan rakyat,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

    Lapor Malaysiakini, Azmin berkata demikian ketika mengulas tindakan SPRM memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan di ibu pejabat badan siasatan itu.

    Mengulas lanjut Azmin berkata, beliau yakin Muhyiddin tidak melakukan sebarang kesalahan.

    “Saya bersyukur dengan rakyat dan kepimpinan PN turun kerana kita yakin Tan Sri Muhyiddin tidak bersalah dan tidak wajar dituduh atas apa juga pertuduhan.

    “Bagaimanapun sebagai pendukung parti yang sentiasa menegaskan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan, integriti, menolak rasuah, kleptokrasi, kami akan terus bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

    Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.

    Pada 21 Februari, ketua penerangan Bersatu ketika itu Wan Saiful Wan Jan dikenakan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.

    Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap timbalan ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

    Turut didakwa adalah Teo Wee Cheng, yang menjalankan perniagaan di kawasan Pagoh, yang kebetulan adalah kubu bekas perdana menteri itu.

    Pertuduhan-pertuduhan itu adalah berkaitan skim Jana Wibawa – inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.

  • Siasatan LCS masih berjalan, kata Azalina

    Siasatan LCS masih berjalan, kata Azalina

    SIASATAN ke atas kes projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berjalan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Menurut beliau, beberapa kertas siasatan sudah dibuka dan keterangan daripada pelbagai pihak perlu diperoleh termasuk dari luar negara.

    “Bagaimanapun, terdapat kertas siasatan yang sudah lengkap, yang mana seorang bekas Panglima Tentera Laut Malaysia (TLDM) sudah dituduh dengan tiga pertuduhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan pada 18 Ogos 2022,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, lapor Berita Harian.

    Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai perkembangan siasatan LCS.

    Selain itu, Azalina memaklumkan, SPRM turut mengemukakan Surat Makluman Penyiasatan (SMP) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan untuk tindakan sewajarnya bagi menutup ruang dan peluang berlakunya perbuatan rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan ke atas projek LCS.

    “SPRM juga masih lagi dalam tindakan melaksanakan pemeriksaan untuk penambahbaikan tata kelola berkaitan dengan perolehan oleh kementerian,” katanya.

  • Siasatan SPRM terhadap Nazlan tak ikut protokol – Mahkamah Persekutuan

    Siasatan SPRM terhadap Nazlan tak ikut protokol – Mahkamah Persekutuan

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini memutuskan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dibuat tanpa mengikut protokol, kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Tengku Maimun yang mempengerusikan panel tujuh hakim berkata demikian dalam saman tiga peguam untuk mencabar siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan berhubung dakwaan RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

    “Badan penyiasatan seperti SPRM, mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum siasatan (dimulakan). Dan kegagalan tidak memaklumkannya, menunjukkan terdapat kekurangan bona fide di pihak mereka.

    “Pengumuman itu (yang dibuat oleh SPRM di media) sudah cukup untuk merosakkan kebebasan kehakiman,” katanya, menurut

    Peguam Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai memfailkan saman terhadap SPRM tahun lalu untuk mempersoalkan siasatan terhadap Nazlan.

    Ketiga-tiga mereka mendakwa bahawa siasatan SPRM adalah pencabulan kebebasan badan kehakiman dan pengasingan kuasa oleh cabang eksekutif.

    Hakim lain yang turut mendengar tuntutan peguam itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Zabidin Mohd Diah, dan hakim Nallini Pathmanathan, Vernon Ong, Harmindar Singh Dhaliwal, serta Rhodzariah Bujang.

    Pada masa sama, Tengku Maimun juga mempersoalkan tempoh siasatan dan berkata, pada masa itu, spekulasi berleluasa bahawa rayuan SRC International Najib Razak akan didengar.

    Pada 28 Julai 2020, Nazlan mensabitkan kesalahan Najib atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dalam akaun bekas perdana menteri itu.

    “Keinginan untuk mengetahui masa siasatan terhadap Hakim Nazlan, dilakukan tanpa rundingan dengan badan kehakiman, juga menimbulkan keraguan sama ada siasatan itu (dilakukan secara) bona fide,” katanya.

    Tengku Maimun juga berkata, pendakwa raya juga mesti berunding dengan ketua hakim negara “semasa memberi arahan untuk siasatan dan berhubung keputusannya untuk mendakwa”.

    “Walaupun badan penyiasat berhak menyiasat secara perlembagaan dan pendakwa raya mempunyai budi bicara sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya, kuasa ini mesti dilaksanakan dengan suci hati.

    “Jika siasatan dibuat untuk tujuan kolateral, maka ia boleh diketepikan,” katanya.

    Peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth mewakili Haris, Ain dan Sreekant manakala Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili SPRM.

    New Sin Yew muncul untuk Badan Peguam Malaysia sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).

  • Beku akaun proses siasatan, bukan bersalah

    Beku akaun proses siasatan, bukan bersalah

    Oleh BADLISHAH MAT

    PEMBEKUAN akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bernilai lebih RM40 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah proses biasa dalam menjalankan siasatan.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pembekuan akaun tersebut bukan bermakna parti tersebut bersalah tetapi bagi memudahkan proses siasatan.

    “Beku akaun tu bukan bersalah, itu proses siasatan. Ada sesetengah orang yang anggap apa-apa yang beku itu salah, dak (bukan) belum lagi. Nak siasat, supaya akaun itu tak berlaku transaksi, maka dibekukan sementara,” katanya.

    Beliau mengulas tentang akaun Bersatu yang dibekukan bagi membantu siasatan berhubung kononnya terdapat penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion.

    Terdahulu, Menteri Besar Kedah itu menghadiri Majlis Penyampaian Geran dan Hari Apresiasi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Langkawi di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, hari ini.

    Tambah Muhammad Sanusi, tiada larangan untuk mana-mana parti politik menerima sumbangan daripada pihak tertentu bagi kegunaan parti kerana tiada akta mengenai dana politik di negara ini.

    Jelas Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu, mana-mana pihak boleh memberikan sumbangan kepada parti politik yang dikehendakinya dan parti politik mempunyai hak untuk menerima sumbangan tersebut.

    “Dulu nak dibentang di Parlimen akta dana politik ini, untuk larang parti-parti terima derma. Habis parti nak bergerak macam mana? Larat (mampu) kah orang nak jadi macam Pas semua. Pas tak apa, tok lebai tin milo. Kami guna duit poket kami,” katanya.

    Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, penduduk yang tidak berjaya memohon unit kediaman di dua projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Langkawi tidak patut tuding jari kepada kerajaan negeri kerana prosesnya dikendalikan Kerajaan Persekutuan.

    Katanya, proses permohonan dan pemilihan PPR adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) termasuk proses tapisan, temuduga, dan pemilihan penghuni.

    “Kita pernah hantar senarai yang diuruskan kerajaan negeri tetapi KPKT ada senarai sendiri dan saya harap pada masa depan KPKT akan terus memberikan projek-projek PPR ini untuk beberapa lokasi lagi, kita akan sediakan tanah,” katanya.

    Tambahnya, setakat hari ini beliau dimaklumkan terdapat kira-kira 200 kekosongan lagi bagi kedua-dua PPR tersebut dan proses rayuan sedang diuruskan oleh KPKT untuk diberikan kepada pemohon yang layak.