PERDANA Menteri mengesahkan terdapat juga anggota Parlimen kerajaan yang disiasat berkaitan dakwaan rasuah selain pemimpin pembangkang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau ada bertanya perkara tersebut kepada pihak penguatkuasa dan mereka sahkan ada siasatan terhadap pemimpin kerajaan.
Namun katanya, sama ada pendakwaan dibuat atau tidak bergantung kepada Jabatan Peguam Negara.
“Tentang siasatan dana politik, saya terbuka, tiada masalah tapi kena faham undang-undang. Sekarang ini membolehkan derma kepada parti politik.
“Yang dikaitkan dengan pendakwaan sebelum ini, pendakwaan yang terkait dengan kontrak diberikan.
“Jadi kalau ada cadangan, ada permasalahan, kekhuatiran bawah ada unsur rasuah dalam derma kepada Keadilan (Parti Keadilan Rakyat), itu boleh dibangkitkan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) pada sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Anwar Ibrahim, dana politik, pembangkang, kerajaan,
DAKWAAN seorang wanita yang menerima wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dalam jumlah yang berbeza-beza akan disiasat Kementerian Pendidikan (KPM).
Menerusi kenyataan KPM memaklumkan, pihaknya telah menerima satu video yang tular dalam aplikasi TikTok tersebut.
Menurutnya lagi, wanita berkenaan yang juga ibu kepada tiga orang anak belajar di sekolah sama mendakwa menerima jumlah bayaran BAP yang berbeza-beza.
“KPM akan menyiasat perkara tersebut dengan kerjasama pihak yang terlibat bagi mendapatkan maklumat lengkap berkaitan.
“Ini supaya tindakan yang tegas dapat dilaksanakan sekiranya wujud kebenaran seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.
Sementara itu, KPM turut memohon kerjasama semua murid, ibu bapa atau penjaga membuat aduan secara rasmi melalui SISPAA KPM di https://moe.spab.gov.my.
Selain itu, orang ramai juga boleh membuat aduan melalui telefon sepanjang waktu pejabat beroperasi di talian 03-8884 6456.
KPM katanya, akan memastikan semua butiran pengadu akan dirahsiakan demi menjaga kebajikan pihak yang membuat aduan.
Terdahulu, tular seorang wanita mempersoalkan tindakan seorang guru yang didakwa sengaja mengurangkan jumlah asal wang BAP.
Berdasarkan rakaman video di TikTok itu, wanita berkenaan mendakwa guru tersebut tidak jujur apabila hanya menyerahkan RM100 sahaja kepadanya ketika hadir mengambil wang BAP bagi tiga orang anaknya.
Kerajaan memperuntukkan BAP sebanyak RM150 kepada semua murid yang masih bersekolah dan diagihkan secara tunai pada bulan ini.
DUA ahli UMNO mendesak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meneliti laporan persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan akan datang.
Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir menegaskan, usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.
Menurut beliau, peraturan UMNO, Perenggan 10 menyatakan semua usul perlu disampaikan selewatnya 14 hari sebelum hari persidangan dan tujuh hari jika diusulkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Dalam UMNO ada klausa, boleh masukkan usul pada hari persidangan tapi dengan dua syarat iaitu MKT mesti menerangkan usul terbabit, tapi ini tidak berlaku… MKT tidak langsung menerangkannya, keduanya, usul itu mesti ‘public interest’, tapi usul berkenaan tidak, ia hanya untungkan dua orang sahaja.
“Sebab itu hari ini kita bawa ke ROS kerana kita rasa memang apa yang diputuskan pada PAU betul tetapi apabila ia bercanggah dengan perlembagaan parti ia tidak boleh diguna pakai,” katanya selepas menghantar surat aduan kepada ROS hari ini.
Yang turut bersama beliau ialah seorang lagi ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom.
Kata Muhammad Aizat Fikri, mereka mengadakan pertemuan dan menyerahkan aduan terbabit kepada Pengarah Bahagian Siasatan ROS.
Ahli UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir (tengah) dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom (kiri) berjalan keluar selepas menghantar surat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkenaan pelanggaran perlembagaan UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO 2022 lalu di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Putrajaya, hari ini.
GAMBAR : Warta Rakyat
“ROS kata mereka akan siasat, kalau ada asas mereka akan panggil pihak berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, usul tambahan terbabit juga tidak membawa suara hati akar umbi sebaliknya dikemukakan oleh wakil UMNO Negeri Sembilan pada PAU terbabit.
“Kita minta kelulusan usul itu pada PAU di lihat semula, cara aturan usul itu dibawa tidak betul.
“Kita ahli UMNO yang punya suara dan saya minta juga kepada ahli di luar sana yang mana rasa takut, segan tidak payah segan, ini suara kita,” katanya.
Pada soalan sama ada beliau tidak takut berdepan tindakan tatatertib parti kerana membuat laporan kepada ROS, beliau berkata perkara itu terserah kepada parti.
“Kami tidak ada masalah (berdepan tindakan) kerana kami berjuang untuk perkara yang benar,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Fiqri Firdaus berkata, terdapat elemen kemandulan demokrasi UMNO pada usul tambahan terbabit.
“Apabila ada usaha sebegini, kaji balik. Daripada kuota, terus kepada 160,000 perwakilan, ia bersifat progresif.
“Jadi sekurang-kurangnya ia perlu di bawa ke 191 bahagian. Itu adalah salah satu rasional kenapa kami bawa ke ROS bagi memeriksa jika ada pertikaian terhadap usul berkenaan,” katanya, lapor Berita Harian.
PAU 2022 baru-baru ini meluluskan usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu dibuat sebelum 19 Mei depan, walaupun beberapa perwakilan membuat bantahan ketika berbahas Ucapan Dasar Presiden.
Antaranya, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, yang mewakili UMNO Wilayah Persekutuan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang mewakili Johor.
Peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi, turut mendakwa bahawa usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang diluluskan di PAU 2022 tidak sah kerana melanggar peraturan parti itu sendiri.
Bagaimanapun Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul tambahan berkenaan bukan usul haram seperti didakwa sebaliknya kaedah usul itu dibawa dibolehkan seperti mana Perkara 20 Peraturan Persidangan UMNO yang berkaitan dengan pindaan usul.
POLIS akan menjalankan siasatan terhadap pasangan dari Rusia yang dipercayai menceroboh bagi memanjat Menara Merdeka 118, di ibu negara, baru-baru ini.
Jelas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, pihaknya akan memanggil pasangan itu untuk dirakam keterangan.
“Kedua-dua individu berkenaan akan disiasat atas tuduhan menceroboh,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Berita Harian.
Terdahulu, gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.
Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.
Dalam hantaran dimuat naik Ivan di laman sesawang itu, dia memaklumkan pengalaman berada di atas puncak menara berkenaan sebagai sesuatu yang ‘gila’.
Sementara itu, Angela menerusi hantaran di Twitter, menulis dia tidak ditahan semasa memanjat menara terbabit yang belum lagi dibuka kepada umum.
“Saya sudah melakukan perbuatan ‘gila’ dan tidak ditahan. Ia pengalaman menakutkan, tetapi dengan penamat yang menggembirakan,” katanya.
Pasangan itu sememangnya dikenali dengan lagak aksi di beberapa bangunan tinggi di seluruh dunia.
POLIS menahan seorang wanita yang disyaki membakar helaian dua naskhah al-Quran di laluan tangga tempat letak kereta sebuah premis di Jalan Ampang, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan di lokasi kejadian pada 2 pagi selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 1.51 pagi.
“Wanita itu melakukan perbuatan tersebut lebih kurang pukul 1.15 pagi. Motif suspek bertindak sedemikian masih belum jelas.
“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati suspek menghadapi tekanan perasaan dan kesan daripada masalah keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan air kencing mendapati wanita itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan ujian saringan dadah negatif serta tidak mempunyai rekod masalah mental.
Noor Dellhan berkata suspek kini direman selama empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – BERNAMA
POLIS sedang menyiasat satu video berunsur fitnah terhadap seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas di Petaling Jaya di sini yang tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pihaknya mengesan video yang dimuat naik di aplikasi TikTok itu pada 6.30 petang semalam.
“Klip video dimuat naik pemilik akaun @goodmorninglim memaparkan seorang pegawai polis sedang bertugas semasa operasi penguatkuasaan lalu lintas berhampiran lampu isyarat Jalan PJS 3/44 bagi mengesan pemandu yang menggunakan alat komunikasi semasa memandu.
“Video tersebut turut disertakan dengan kapsyen menyindir iaitu “05/12 Look got people here (Lihat ada orang di sini) cari makan” dan emoji muka ketawa bersama karung wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perbuatan individu memuat naik video klip tersebut boleh mendorong masyarakat memandang serong terhadap tugas polis selaku penjawat awam dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan fitnah dan penyalahgunaan media sosial.
“Polis menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial, menyebarkan berita tidak benar dan membuat spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.
Semalam, tular di media sosial satu video berdurasi 25 saat dimuat naik individu berkenaan yang memaparkan seorang anggota polis trafik sedang menjalankan tugas berhampiran lampu isyarat di Petaling Jaya beserta kapsyen berunsur negatif. – BERNAMA
POLIS telah membuka kertas siasatan berhubung isu penahanan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya turut meminta kepada polis supaya siasatan ini dipercepatkan selain bersetuju ia diklasifikasikan sebagai kes curi.
“Isu ini timbul dalam masa terdekat sebab itu saya jawab kertas siasatan sudah kita buat dan dibuka. Polis akan lihat kembali kertas laporan dan saya bersetuju kalau kes curi, akan dimasukkan dalam kes curi.
“Kita mahu pastikan kes ini dipercepatkan. Kerajaan ini adalah kerajaan yang mengekalkan sikap benar-benar berintegriti,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Deo (PH) berhubung tindakan SPRM yang menyiasat sendiri kes melibatkan tiga pegawainya berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.
CUBAAN 19 warga Vietnam menyamar sebagai nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran Malaysia pada dua bot mereka gagal setelah taktik berkenaan berjaya dihidu penguat kuasa di perairan Kelantan, Selasa lepas.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata kedua-dua bot itu ditahan berasingan ketika menangkap ikan pada kedudukan 93 dan 95 batu nautika dari muara Tok Bali, pada pukul 9.31 pagi dan 10.21 pagi.
Cubaan 19 warga Vietnam menyamar sebagai nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran Malaysia pada dua bot mereka gagal setelah taktik berkenaan berjaya dihidu penguat kuasa di perairan Kelantan, Selasa lepas. Foto MARITIM MALAYSIA
Beliau berkata kedua-dua bot dengan 19 kru termasuk dua tekong berusia dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot dicat nombor pendaftaran Malaysia menggantikan nombor pendaftaran Vietnam. Kedua-dua bot itu disyaki menyamar dengan memalsukan nombor pendaftaran tempatan yang tidak wujud dalam sistem pangkalan data Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, di sini hari ini.
Syed Nor Adli berkata siasatan juga mendapati nelayan warga asing itu disyaki memalsukan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia
“APMM akan membuat siasatan lanjut sama ada terdapat sindiket yang memalsukan dokumen berkenaan,” katanya.
Tambah beliau dua bot itu dipercayai baru memasuki perairan negara berdasarkan hasil tangkapan salah satu bot dengan 50 kilogram sotong manakala bot kedua tiada sebarang hasil tangkapan dan bahan bekalan api diesel masih berbaki sebanyak 9,500 liter.
Katanya, pihaknya terpaksa menunda kedua-dua bot itu selama lebih 26 jam untuk sampai ke Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, berikutan salah satu daripada bot berkenaan mengalami kerosakan enjin.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.
“Nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM2.5 juta,” katanya.- BERNAMA