Tag: Shuib Sepahtu

  • Shuib nafi suaranya dalam video tular, skandal dengan usahawan

    Shuib nafi suaranya dalam video tular, skandal dengan usahawan

    PELAWAK popular, Shuib Sepahtu menafikan suaranya dalam video usahawan, Watie Hanafiah yang sedang bermain golf yang tular dalam aplikasi TikTok, baru-baru ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Shuib menjelaskan, tidak adil menuduhnya mempunyai skandal dengan Watie, sebelum Allahyarham Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia lagi.

    “Saya menafikan apa yang berlegar dalam media sosial berhubung video yang menunjukkan Watie sedang memukul bola golf dan kedengaran seperti suara saya.

    “Ada netizen menuduh saya sudah lama mempunyai skandal dengan Watie sejak 2019.

    “Tuduhan ini sangat tidak adil untuk saya mahupun arwah Siti Sarah,” katanya menerusi nota suara dihantar kepada media.

    Shuib dalam laporan itu lagi berkata, video yang dimuat naik bertarikh April 2019, sedangkan dirinya mula memegang kayu golf pada Mei 2020.

    “Jika lihat semula tarikh tertera pada video yang tular itu pada April 2019, sedangkan saya hanya mula memegang kayu golf selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Ketika itu, kerajaan memberikan kelonggaran kepada sukan golf, jadi saya buat keputusan mencuba aktiviti baru bagi mengelakkan kebosanan, malah, saya ada menghubungi Sharnaaz Ahmad untuk menyatakan hasrat berkenaan.

    “Netizen yang tidak percaya boleh semak semula gambar yang dimuat naik dalam akaun Instagram,” katanya.

    Menjawab suara lelaki yang kedengaran seperti suaranya, Shuib berkata, ia mungkin berlaku secara kebetulan.

    “Kalau dengar semula rakaman ini memang perkataan ‘nice’ disebut mirip suara saya, tetapi individu dalam video berkenaan bukan saya.

    “Suara memang tak sama langsung. Mungkin satu ayat boleh kedengaran sama, tetapi itu bukan suara saya dan ia sangat kelakar.

    “Setakat suara, semua orang boleh tiru dan mungkin ia satu kebetulan yang tidak disangka-sangka,” katanya.

    Terdahulu, nama Shuib menjadi bualan netizen dalam aplikasi TikTok selepas tular video memperlihatkan seorang wanita sedang bermain golf berlatar belakang suara lelaki.

    Rata-rata netizen mendakwa suara dalam video berkenaan adalah Shuib, memandangkan pelawak itu kini sedang digosipkan menjalinkan hubungan dengan usahawan berkenaan.

    Gosip hubungan rapat Shuib dengan usahawan berkenaan mula tersebar selepas seorang pengguna TikTok memuat naik video, baru-baru ini.

    Menerusi video itu, pengguna itu mendakwa Shuib dan Watie memakai baju sedondon ketika menghadiri beberapa konsert, baru-baru ini.

    Shuib dan arwah Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 2011. Bagaimanapun, arwah Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos, tahun lalu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz akibat COVID-19.

  • Abang Allahyarham Siti Sarah ditidurkan

    Abang Allahyarham Siti Sarah ditidurkan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    ABANG kepada Allahyarham Siti Sarah, Ahmad Firdous Raissuddin dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang dan telah ditidurkan oleh doktor ekoran keadaan kesihatannya yang menurun akibat jangkitan Covid-19.

    Shuib Sepahtu yang abang iparnya berkata, Ahmad Firdous ditidurkan sejak pukul 5 pagi bagi membolehkan paru-parunya berehat.

    “Assamualaikum semua… Allah Maha Besar, Allah Maha Kuasa. Baru dapat panggilan bahawa abang ipar saya dimasukkan ke ICU.

    “Saya mohon mendoakan Ahmad Firdous Raissuddin diberi kesembuhan segera… Amin Ya Rabbal Alamin,” luah suami kepada Allahyarham Siti Sarah dalam hantaran di Instagramnya, hari ini.

    Bacaan oksigen dalam tubuh Ahmad Firdous dilaporkan menurun pada 93 peratus ketika pasukan perubatan datang ke rumahnya untuk membawanya ke hospital.

    Ahmad Firdous dan isterinya positif Co-19 sementara dua anak pasangan itu dilaporkan bebas daripada jangkitan virus berkenaan.

    Pada Isnin lalu, Siti Sarah yang juga penyanyi popular negara meninggal dunia akibat Covid-19 selepas 48 jam ditidurkan di ICU, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur.

    Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak sekitar pukul 1.20 tengah hari.

    Tiga hari sebelum pemergiannya, Siti Sarah melahirkan anak keempat melalui pembedahan yang diberi nama Ayash Affan.

    Selain Shuib dan Ayash Affan, Allahyarham Siti Sarah turut meninggalkan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

  • Sempat buat panggilan video terakhir, Shuib janji jaga empat anak sebaik mungkin

    Sempat buat panggilan video terakhir, Shuib janji jaga empat anak sebaik mungkin

    SELEBRITI dan usahawan, Shuib Sepahtu berjanji akan menjaga empat cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dengan sebaik mungkin.

    Perkara itu dinyatakan Shuib, 37, semasa ditemui pemberita di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurutnya, Allahyarham isterinya sempat menghadiahkannya dan anak menerusi kehadiran cahata mata keempat, Ayash Affan yang dilahirkan Jumaat lalu.

    “Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Ternyata Allah lebih menyayanginya,” katanya.

    Allahyarham sempat memeluk anaknya sebelum dimasukkan ke hospital.

    Selain Ayash Affan, tiga lagi anak Shuib dan Siti Sarah ialah Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Matin, 6.

    Mengulas lanjut, Shuib memberitahu, dia sempat membuat panggilan video ketika arwah isterinya, Siti Sarah sedang nazak menerusi bantuan jururawat dan doktor.

    Jelasnya, dia dan tiga anaknya dapat melihat air mata membasahi pipi arwah ketika panggilan video itu seolah-olah memahami apa yang diungkapkan.

    “Itulah kali terakhir saya dan anak-anak dapat menatap wajah arwah ketika masih bernyawa.

    “Ketika itu, saya nampak air mata berlinangan di pipinya, seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dengannya.

    Sementara itu, Shuib berkata, jenazah Siti Sarah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari, hari ini.

    Shuib memberitahu, dia bersyukur apabila Allahyarham isterinya diberi peluang untuk dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan ibunya.

    “Saya bersyukur pihak hospital membenarkan jenazah isteri dikebumikan di sana. Entah kenapa saya terasa lokasi itu adalah tempat terbaik untuk arwah isteri saya,” katanya.

    Menurut Shuib, urusan tayamum dan solat jenazah akan diuruskan pihak hospital.

    Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia HCTM, Kuala Lumpur, pada pukul 5,13 pagi hari ini.

    Allahyarham dalam keadaan koma selepas dan bertarung nyawa akibat Covid-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.

    Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar pada petang pada Jumaat lalu.