Tag: Shamsul Anuar Nasarah

  • Pemilihan UMNO: Reezal tanding naib presiden, Shamsul Anuar pertahan MKT

    Pemilihan UMNO: Reezal tanding naib presiden, Shamsul Anuar pertahan MKT

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden UMNO pada pemilihan parti yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Bekas ahli Parlimen Kuala Batas itu mengemukakan borang pencalonan bagi merebut jawatan berkenaan di ibu pejabat UMNO, hari ini.

    “Saya menawarkan khidmat sebagai satu calon yang boleh (bertugas) 24 jam, sebab saya bukan lagi anggota pentadbiran.

    “Barangkali dalam tiga itu kalau perwakilan untuk memberi timbangan menjaga parti 24 jam, pertimbangkanlah Reezal Merican,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat UMNO, menurut laporan Malaysiakini.

    Reezal, 50, berkata dia menjadikan pengalamannya dalam parti sejak berusia 28 tahun sebagai asas untuk bertanding jawatan berkenaan.

    Jawatan naib presiden UMNO menjadi tumpuan selepas jawatan utama parti presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti Mac ini.

    Sehingga kini, tujuh pemimpin sah menawarkan diri bagi merebut tiga tempat untuk jawatan itu.

    Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid sah mempertahankan jawatan yang disandang mereka, sementara Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung BN Zambry Kadir, Ahli MKT Johari Ghani dan bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad telah menawarkan diri untuk bertanding.

    Bagaimanapun seorang lagi penyandang jawatan naib presiden Ismail Sabri Yaakob belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan ataupun tidak.

    Mengulas lanjut, Reezal berpendapat demokrasi dalam UMNO masih subur apabila ramai yang menawarkan diri untuk merebut jawatan, walaupun dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

    “Saya risau kalau ada pemilihan ramai yang tak bertanding, seolah-olah mahu ditinggalkan, tapi (jangkaan) itu meleset.

    “Ada bahagian yang (pertandingan) tiga empat penjuru, alhamdulillah ramai nak menggalas amanah jawatan penting dalam parti,” katanya.

    Shamsul Anuar tak jadi tanding naib presiden

    Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah menamatkan spekulasi turut merebut jawatan itu apabila dia memutuskan untuk mempertahankan kedudukannya dalam MKT.

    “Saya memahami dan menghormati pandangan, permintaan semua pihak. Bagaimanapun setelah membuat pertimbangan mendalam dan sewajarnya saya memutuskan untuk mempertahankan kedudukan saya sebagai ahli MKT UMNO.

    “Maka dengan rendah diri, saya sekali lagi menawarkan diri dan ingin mempertahankan jawatan sebagai ahli MKT UMNO Malaysia bagi sesi 2023-2026,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

    Dia juga berikrar akan melakukan apa saja untuk UMNO selagi “perjuangan parti tidak lari dari prinsip dan ideologinya”.

    Dua lagi yang akan mempertahankan kedudukan dalam MKT adalah Setiausaha Politik kepada Ahmad Zahid Hamidi, Razlan Rafii dan Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil.

    “Saya ingin terus bersama kepimpinan tertinggi Umno untuk membantu memperkasakan parti yang memerlukan sokongan di semua peringkat,” kata Razlan.

    Isham pula berkata dia ingin terus membawa suara akar umbi UMNO ke peringkat kepimpinan tertinggi.

    “Saya ingin serahkan kepada akar umbi Umno untuk menentukan sama ada saya layak diberi mandat untuk terus berada di dalam MKT,” katanya lagi.

  • Riwayat politik Anwar akan berakhir di Tambun

    Riwayat politik Anwar akan berakhir di Tambun

    TINDAKAN berani Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal mengundang padah.

    Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana pengundi di Perak mempunyai peluang terbaik untuk menamatkan riwayat politik cikgu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.

    “Malah, ini kesempatan terbaik kepada orang Perak untuk menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim, biar Tambun menjadi bukti sejarah Anwar Ibrahim hilang pengaruh di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Shamsul Anuar menegaskan, untuk mengalahkan Presiden PKR itu juga bermakna, BN perlu bekerja keras memberi penjelasan mengapa perlu Anwar dikalahkan di situ.

    Namun beliau yakin pertembungan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada calon BN dan kehadiran Anwar sebagai calon akan meningkatkan motivasi serta semangat jentera BN Tambun dan BN Perak untuk bekerja dengan lebih kuat lagi.

    Sehubungan itu beliau berharap pengundi di Tambun sedar bahawa kepimpinan PH termasuk Anwar sering bertukar kawasan bertanding setiap kali PRU kerana ketika menjadi wakil rakyat di kawasan sebelumnya mereka tidak bekerja untuk rakyat.

    “Sebab itu mereka berpindah kawasan. Anwar Ibrahim dari Port Dickson ke Tambun. Jadi pemilih di Parlimen Tambun jangan tersilap langkah. Terbaik pilihan ialah BN.

    “Kita mesti menjadikan PRU15 medan menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dua watak ini telah merugikan negara sejak sekian lama,” katanya.

  • Tidak terima maklumat ganti Shamsul Anuar – Mahdzir

    Tidak terima maklumat ganti Shamsul Anuar – Mahdzir

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesahkan tidak menerima sebarang makluman mengenai desas-desus yang mengatakan beliau dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang baharu.

    “Saya tidak ada menerima sebarang makluman mengenai berita yang disebarkan sejak semalam,” kata Pengerusi Tenaga Nasional Berhad itu di laman Twitter beliau hari ini.

    Beliau pada masa sama turut berkongsi artikel media tempatan yang menyiarkan berita mengenai pelantikan itu.

    Portal media tempatan melaporkan Ahli Parlimen Padang Terap itu dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli bagi menggantikan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang meletak jawatan serta merta, semalam.

    Menurut Shamsul Anuar, keputusan meletak jawatan itu dibuat dengan mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

    “Sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak dan kepada semua warga Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli.

    “Tumpuan saya selepas ini ialah memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar,” katanya.