Tag: Shamsubahrin Ismail

  • Pengasas Premium Big Blue Taxi mengaku tak salah tipu bekas speaker DUN Melaka

    Pengasas Premium Big Blue Taxi mengaku tak salah tipu bekas speaker DUN Melaka

    PENGASAS Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi Shamsubahrin Ismail hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan menipu menjual kenderaan mewah serta menggunakan gelaran Datuk palsu.

    Tertuduh yang berusia 57 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

    Shamsubahrin dituduh memperdaya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, 62, bagi mendapatkan kenderaan jenis Toyota Alphard model 2019 berharga RM180,000 dan nombor pendaftaran kenderaan khas VVP 7 sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM95,000 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang kepada tertuduh sekiranya tidak diperdayakan.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Speaker Dewan Negeri, Dewan Undangan Negeri Melaka, Aras 2, Blok Laksamana, Seri Negeri pada 7 Dis 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, Shamsubahrin didakwa menggunakan gelaran dan kehormatan sebagai Datuk untuk tujuan keuntungan peribadi tanpa kebenaran bertulis oleh Ketua Menteri di tempat dan masa yang sama.

    Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) 1981 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 enakmen sama.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun atau maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan.

    Peguam Loh Chon Mee memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh mempunyai empat lagi kes yang masih berjalan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Selangor, membabitkan jumlah jaminan mencecah RM110,000.

    Mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta membenarkan syarat tambahan dimohon pendakwaan dan menetapkan 7 Feb untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – BERNAMA

  • Shamsubahrin didenda RM3,000 buat kenyataan kegentaran awam isu Rohingya

    Shamsubahrin didenda RM3,000 buat kenyataan kegentaran awam isu Rohingya

    AHLI perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail didenda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam berhubung pelarian Rohingya, dua tahun lepas.

    Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Shamsubahrin, 56, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalahnya pada tarikh jatuh hukum hari ini. Tertuduh membayar denda tersebut.

    Rakaman video berdurasi 51 saat turut dimainkan semula di dalam mahkamah hari ini dan tertuduh mengakui yang dia membuat kenyataan tersebut.

    Shamsubahrin didakwa secara sedar telah membuat kenyataan dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang awam pada 30 April 2020.

    Pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Aras 28, Menara KPJ, pada 12.30 tengah hari, 4 Mei 2020.

    Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi itu dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dengan alasan dia menghidap kanser dan pernah dijangkiti virus COVID-19.

    “Saya hanya mewakili B40 kerana ramai pemandu teksi adalah B40, yang hanya bergantung pada bantuan kerajaan sahaja serta ia tidak mencukupi,” kata tertuduh.

    Mengikut fakta kes, semasa pengadu (seorang anggota polis) melayari internet di pejabat JSJK Bukit Aman, beliau terlihat satu posting video telah dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Soleha Ali. – BERNAMA