Tag: Shahrizat Abdul Jalil

  • Shahrizat Jalil dilantik ahli MKT UMNO

    Shahrizat Jalil dilantik ahli MKT UMNO

    BEKAS Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil hari ini kembali dalam pentadbiran parti itu setelah dilantik sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

    Perkara itu diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media di Ibu Pejabat UMNO di ibu negara.

    Shahrizat tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Wanita UMNO baru-baru ini kepada Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Selain Shahrizat, Zahid turut mengumumkan beberapa ahli MKT lantikan lain termasuk Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Bendahari Agung.

    Ahli MKT lantikan lain termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

    Pengerusi negeri yang dilantik ialah Datuk Rozabil Abd Rahman dari Perlis; Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah); Ahmad Jazlan Yaakub (Kelantan); Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu); Datuk Musa Sheikh Fadzir (Pulau Pinang); Datuk Seri Saarani Mohamad (Perak); Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang); Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Selangor); Datuk Seri Johari Ghani (Kuala Lumpur); Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Melaka); Datuk Seri Jalaluddin Alias ( Negeri Sembilan); Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Johor) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Sabah)

    Sementara itu Ahli MKT lantikan dari Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri pula terdiri daripada Datuk Dr Fathulbari Mat Jahya (Perlis); Datuk Seri Abd Azeez Abd Rahim (Kedah); Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh (Kelantan); Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Terengganu); Datuk Dr Ir Shaikh Hussein Mydin (Pulau Pinang); Datuk Azian Osman (Perak); Datuk Seri Ab Hamid Nazahar (Pahang); Datuk Johan Abd Aziz (Selangor); Datuk Seri Dr Shafei Abdullah (Kuala Lumpur); Datuk Hashim Rusdi (Negeri Sembilan); Datuk Rais Yasin (Melaka); Datuk Seri Ahmad Maslan (Johor) dan Datuk Seri Abd Rahman Dahlan (Sabah).

  • Pemilihan UMNO: Noraini pertahan kerusi Ketua Wanita, hadapi Shahrizat

    Pemilihan UMNO: Noraini pertahan kerusi Ketua Wanita, hadapi Shahrizat

    KETUA Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.

    Perkara itu disahkan oleh pegawai Ahli Parlimen Parit Sulong yang dihubungi Free Malaysia Today.

    Terdahulu, Noraini menyerahkan borang pencalonannya di ibu pejabat UMNO di ibu negara pagi tadi.

    Beliau dijangka dicabar bekas ketua sayap, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

    Sebelum ini, Shahrizat mengesahkan bertanding jawatan ketua Wanita pada 17 Feb lepas, dengan visi untuk memperkukuh dan melebarkan sayap itu.

    Noraini menggalas jawatan ketua Wanita sejak 2018, mengambil alih daripada Shahrizat yang memimpin sayap itu dari 2009 hingga 2018.

  • Mahu perkuat pasukan, Shahrizat sah bertanding Ketua Wanita UMNO

    Mahu perkuat pasukan, Shahrizat sah bertanding Ketua Wanita UMNO

    PERNAH menerajui Wanita UMNO selama 10 tahun, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengesahkan akan kembali bertanding jawatan yang pernah disandangnya lima tahun lalu setelah menyerahkan kertas pencalonannya awal hari ini di Ibu Pejabat UMNO.

    Menurut bekas Ketua Wanita UMNO dari 2008 hingga 2018 itu, visinya kali ini adalah untuk memperkukuh Wanita UMNO dan melebarkan sayapnya.

    Beliau berkata, Wanita UMNO perlu inklusif dan sentiasa menunjukkan keberadaan sayap itu sebagai pasukan utama untuk membela rakyat seperti yang dilakukan selama ini.

    “Saya bertanding semula bagi jawatan Ketua Wanita UMNO untuk memperkuatkan pasukan ini dan melebarkan sayapnya. Kita perlu memenangi hati dan minda rakyat serta negara ini sekali lagi,” katanya, lapor New Straits Times.

    Mengulas lanjut Shahrizat berkata, beliau mendapat sokongan padu daripada penyokongnya untuk kembali menerajui pergerakan itu dan membuat kemunculan semula.

    Sebelum ini dilaporkan 147 ketua Wanita UMNO bahagian di seluruh negara menggesa Shahrizat menerajui sayap wanita parti itu memandangkan legasi dan reputasi bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu kekal walaupun selepas bersara daripada politik.

    Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata keputusan kolektif itu dibuat ketika pertemuan mereka dengan Shahrizat baru-baru ini.

    Shahrizat berkata kekuatannya untuk bertanding jawatan itu berdasarkan pengalamannya mengemudi pergerakan itu sebelum ini.

    Bercakap mengenai lawannya yang juga Ketua Wanita UMNO sekarang, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Shahrizat berkata, pertandingan itu bukan bersifat peribadi.

    Beliau berkata, pertandingan dalam jawatan adalah perkara biasa dan pergolakan dalam kempen, bukan sesuatu yang peribadi.

    “Saya memberi arahan kepada mereka yang menyokong saya untuk memulakan kempen secara bersih kerana kita sendiri mengetahui mengenai landskap politik sekarang.

    “Paling penting, mereka yang menyokong saya mesti tahu apa yang saya pegang dan ke mana saya mahu membawa Wanita UMNO ini. Ia bukan untuk memburuk-burukkan kem lawan,” katanya.

    Mengulas kes penyelewengan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), yang menamakan suami dan tiga anaknya sebagai defendan, beliau berkata ia adalah ujian yang perlu dilaluinya.

    “Ia tidak mencemarkan saya, malah UMNO juga tidak tercemar. Saya tidak mempunyai sebarang kes mengenai NFC, sebaliknya keluarga saya menjadi subjek penganiayaan politik.

    “Saya sudah diuji dan terus kuat dalam politik. Bagi saya, politik bukan untuk mereka yang lemah semangat,” katanya.